BBB, 27 Zulkaedah 1433 = 13 November 2012 (Selasa):
Pada hari Deepavali ini Adun Bangi menerima beberapa Aduan mengenai tanah runtuh, Rekah Dan Kerosakan. Adun berjanji akan turun melawat mulai jam 3.00 petang. Pada asalnya hanya dua aduan dan makluman, tetapi bila turun padang, menjadikan tempat lawatan 5 tempat pada hari ini. Adun melawat dengan saudara Azizi.
1. Tanah Bertembok Runtuh – Rumah Jiran Rentak Di Kampung Bahagia, Bangi
Rumah PPRT Puan Bariah bt. Baharuddin (51) Ibu tunggal retak kerana tembok dan tanah runtuh dari rumah jiran di tepi berbukit menyebabkan dinding rumah Puan Bariah retak. Beliau dalam persiapan untuk mengahwinkan dua dari anaknya (Anak Sulung sudah bekerja dan yang bungsu belajar) secara serentak pada 24 November ini. Tanah rumah jiran lembut boleh runtuh lagi. Perlu dibersih runtuhan dan pembaikan. Rundingan dengan Puan Bariah, pemilik rumah jiran Tuan Haji Hamid, Tok Ketua Kg. Tok Azlan bin Nordin dan Tuan Haji Muhammad Setiausaha JKKK bersetuju pihak Haji Hamid berusaha mengupah pekerja pembersihan segera, untuk elak tanah rumah makin runtuh menimpa rumah jiran. Adun Bangi berjanji akan menampung sebahagian dari kos pembersihan dan kelak Adun akan membuat lawatan susulan. Sementara itu sebuah rumah terpencil , jalan tidak bertar – dulu Adun cadangan diturap - jalan ke rumah En. Mahat (52). Hari ini jalan ke rumah ini telah diturap pada 9 November lepas. Jalan sejauh 200 meter sudah digunakan secara elok.Ini memberi keseleseaan kepada En. Mahat dan Keluarga. Tanah En. Mahat ini merupakan satu dari 50 lot tanah yang di beri oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada penduduk di sini pada tahun 2010 lepas.
2. Rumah Sering Banjir, Walaupun Atas Bukit
Masalah rumah Puan Fatimah bt.Said, bahawa tanah rumahnya di Kg. Bahagia ini dikelilingi tanah tinggi dan kawasan rumahnya sebagai kawasan tadahan. Ada saluran culvert ke sebelah jalan, tapi biasanya bila hujan lebat saliran tak dapat menampung volume air menyebabkan kawasan rumah (dua rumah anak beranak) sering mengalami banjir yang agak teruk. Untuk mengatasi dicadangkan ditinggikan tepian longkang, namun bila hujan lebat tak dapat elak dari bahaya banjir. Untuk membuat terowong tambahan ianya memakan peruntukan yang tinggi. Bersetuju untuk menjemput dan mendengar pandangan dari Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Puan Faezah dan jurutera Daerah bagi mendapat nasihat dan pandangan dari mereka. Pandangan juga diminta, kerana pimilik rumah seberang jalan, bercadang untuk menambak tanah di tepi rumahnya untuk mengelak dari terhakis.
3. Pokok Tumbang Rosakkan Kereta di UKM
Kira-kira jam 4.00 petang semalam (Isnin) hujan lebat menyebabkan pokok yang agak besar terbongkah menimpa laluan pejalan kaki berbumbung dari berdekatan bulatan masuk ke UKM membawa kepada ke Kolej Kris Mas. Pokok tumbang dan runtuhan bumbung sepanjang satu perempat km, bagi pejalan kaki menimpa 25 buah kenderaan yang agak teruk rosak. Demikian menurut seorang Pengawal UKM yang tidak mau disebut namanya. Alhamdillah tiada sebarang kemalangan jiwa. Semasa kami tiba kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan buldozer sedang dilakukan. Begitu banyak kayu jatuh dan pecah. Kerugian termasuk 25 kereta rosak (9 buah yang rosak masih ada di tempat Parking). Bagi membaik pulih mungkin memakan kos yang tinggi.
4. Jalan Di Villa Sutra Bangi Retak
Kami juga pergi melawat jalan hadapan bagi Taman Villa Sutera di Jalan 1/3 Bandar Baru Bangi berikutan dari aduan yang diterima hari ini. Kedudukan kawasan ini berdepan dengan jalanraya dari Bulatan UKM ke Seksyen Satu dan 16 Bandar Baru Bangi. Tanah bahagian hadapan ini adalah tanah tambak yang dikukuhkan bahagian hadapan dengan benteng berpalang. Tanah pada bahagian hadapan ini adalah lembut. Pada musim hujan ini berlaku keretakan memanjang kira-kira ¼ km. Tempat-tempat retak ini direntang dengan tali tape plastic – larangan digunakan. Aduan telah dibuat kepada MPKj beberapa kali menurut pengadu. Kita berharap pihak MPKj mengambil tindakan segera, agar retak tidak membesar dan berlaku keruntuhan.
5. Tanah Runtuh Di Bukit Kondominium Bukit Mewah
Sementara itu pada Sabtu 10 November lepas semasa menyampaikan barangan sambut Deepavali kepada penduduk India di Taman Zamrud, Adun, Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli MPKj menerima aduan yang tanah runtuh berlaku di Bukit Kondo Mewah, Bukit Mewah. Adalah dibimbangkan jika keruntuhan besar berlaku bukan sahaja membahayakan kondo di atas bukit, tetapi akan menimpa rumah-rumah bahagian bawah di Jalan 3 Bukit Mewah dan jalan-jalan yang lain. Adun bersama Pengadu (En. Tan), Y.B.Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj dan En. Chandra Mohan juga Ahli MPKj sama melawat. Kawasan perumahan di sini ke bawah sering bermasalah dengan tanah runtuh, jalan rekah, tanah bergerak kerana ada larian air di bawah. Adalah dibimbangkan dengan musim hujan berterusan keadaan menjadi lebih teruk. Ahli-ahli MPKj berjanji akan membawa masalah ini ke MPKj.
Sekian.
No comments:
Post a Comment