November 15, 2012

Sambutan Hijratur Rasul Peringkat Dun Bangi

Pekan Bangi, 01 Muharram 1434 = 15 November 2012 (Khamis):


Secara tradisi kehadiran Hijratur Rasul S.A,W. disambut setiap tahun pada peringkat Dun Bangi dan tradisi ini diteruskan pada tahun ini dengan memilih Masjid Pekan Bangi sebagai lokasi sambutan pada tahun ini. Sebelum dari itu Ketua Lajnah Masjid-Surau Dun Bangi saudara Azemi Ahmad telah berunding dengan AJK Masjid Pekan Bangi yang diketuai Tuan Haji Abdul Halim selaku Nazir di Masjid berkenaan bagi mengadakan sambutan Hijratur-Rasul di Masjid Pekan Bangi.


Program bermula dengan Solat Duha berjamaah di Masjid Pekan Bangi dengan diimami oleh Ustaz Dr Shauki Othman Penceramah terkenal dari Universiti Pertanian Malaysia. Selepas itu ceramah ``Bicara Hijrah`` disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Dr. Shauki. Adun Bangi yang sama hadir dan berjamaah terpaksa memohon diri buat sementara, kerana terpaksa berkejar ke tempat lain menunaikan program di sana dan pulang semula jam 10.30.


Pagi ini selingan program hadirin diperdengarkan qasidah-qasidah oleh Tahfiz Asy-Syakirin dari Ma`had Tahfiz Asy-Syakirin, Bandar Seri Putra, Bangi. Hadir dalam majlis pada pagi ini ialah Tuan Haji Abdul Halim Nazir Masjid, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong Pekan Bangi, En. Azlan Nordin Ketua Kampong, Kampong Bahagia, Bangi, saudara Azemi Ahmad Ketua Lajnah Masjid-Surau Adun Bangi, Tuan Haji Othman Imam Satu dan AJK Masjid, ibu bapa dan para pelajar.


Adun Bangi berucap merasmikan Sambutan Hijratur-Rasul dengan mengucapkan Terima Kasih kepada pihak Masjid yang memberi kerjasama yang erat bagi Sambutan Hijratur-Rasul pada peringkat Dun Bangi di Masjid Pekan Bangi. Terima kasih juga kepada ibu bapa dan juga anak-anak yang turut hadir meramaikan Majlis sambutan. Adun menyebut bahawa Hijratur-Rasul adalah peristiwa yang amat penting di dalam Islam, bukan setakat sejarah, tetapi falsafah Hijrah itu sendiri. Melalui Hijrah berbagai transformasi berlaku baik dari segi pengukuhan akidah, perjalanan syariat, pembinaan ekonomi, perjalanan pentadbiran, bahkan pada mendirikan negera Islam yang pertama yang menjadi model bagi Negara-negara Islam yang diperkukuh dengan panduan Al-Qur`an dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Hijratur-Rasul juga menjadi inspirasi kehidupan dan jihad keislaman yang mendorong kepada peningkatan perjuangan umat dan pengisian. Semangat Hijrah dapat diaplikasikan di dalam semua cabang dan aspek kehidupan dan perjuangan. Sebab itu ubur Hijrah hendaklah terus menyala di dalam jiwa kita bagi menghijrahkan diri, keluarga, masyarakat, negeri, Negara dan umat kepada yang lebih baik menurut acuan keislaman. Pada hari ini juga kita akan meraikan pelajar-pelajar berjaya yang dengan kejayaan mereka mereka menghijrahkan diri mereka kepada keadaan yang lebih baik. Kita mengucapkan tahniah kepada mereka dan kepada mereka yang diraikan pada hari ini.


Selepas dari Ucapan Perasmian Adun menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang lulus pada peringkat pengajian tinggi – Ijazah, STPM, STAM dan SPM. Penyampaian penghargaan juga disampaikan kepada Mantan-Mantan AJK Masjid. Majlis diserikan bersama dengan salawat kepada Rasulullah S.A.W. di samping qasidah-qasidah. Akhir majlis ialah jamuan beramai-ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment