November 5, 2012

Doakan Kejayaan Anak-Anak Kita Dalam Peperiksaan: Selamat Menjawab Soalan

BBB, 20 Zulhijjah 1433 = 05 November 2012 (Isnin):


Pagi ini sebahagian dari anak-anak kita mengambil peperiksaan SPM. Malam tadi suasana begitu sejuk dan hening, kita sebagai ibu bapa dan guru-guru juga sama tafakkur dan menghening diri dan berdoa memohon Allah memberi ketenangan bagi anak-anak kita menjawab soalan-soalan peperiksaan yang mereka hadapi sebaik mungkin. Pagi ini kita melepaskan mereka ke Dewan Peperiksaan dengan sepenuh harapan mereka mampu menjawab soalan dan berjaya mencapai kejayaan di dalam semua mata pelajaran yang mereka hadapi.


Doa dan harapan pagi ini adalah lanjutan dari proses pendidikan terhadap anak-anak kita yang kita ikuti dan memberi sumbangan bagi kejayaan mereka. Usaha dan ikhtiar telah lama dan berterusan kita lakukan. Selain dari menghadiri kelas biasa, antara kita menghantar anak-anak kita ke kelas-kelas tuisyen, menghadiri kelas motivasi dan menghadiri berbagai-bagai pengajaran yang difikirkan dapat menambahkan kefahaman dan kemampuan mereka untuk menjawab soalan. Kini puncak bagi anak-anak kita menghadapi ujian adakah mereka faham dan mampu menjawab soalan ataukah mereka masih kurang menguasai subjek yang dipelajari. Kita mengharapkan kejayaan mereka.


Prihatin terhadap anak-anak menghadapi peperiksaan ini, bukan saja datang dari ibu bapa dan guru, tetapi pihak negeri sendiri seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang anak-anak mendalami mata-mata pelajaran yang ditawarkan bagi memasuki peperiksaan SPM. Sejak empat tahun lepas kerajaan negeri melalui Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Modal Insan menawarkan kelas tuisyen SPM bagi setiap kawasan Dun – sebanyak tiga kelas bagi sejumlah 100 orang pelajar. Kelas ini memberi bimbingan terhadap pelajar-pelajar yang dididik sejak awal tahun hingga menjelangnya peperiksaan. Keadaan juga berlaku di Dun Bangi.


Pagi Sabtu semalam (03 November) pertemuan terakhir di antara pelajar SPM, guru dan Adun diadakan bagi memberi galakan dan semangat bagi pelajar-pelajar menghadapi pelajaran. Untuk tidak menggangu konsentrasi pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan, pelajar-pelajar Tuisyen Rakyat berjumlah hampir 100 orang dijemput ke Dewan Bangunan Pusat Islam bagi pertemuan ringkas. Usaha menjemput mereka dilakukan oleh Pengurus Kelas Tuisyen saudarai Nor Aisyah Zainuddin dengan dibantu oleh seperti An-An, Sharina Rahman dan beberapa lagi dari Nisa` Serdang. Menurut Aisyah tidak semua pelajar dari Pusat Tuisyen Rakyat di Sungai Ramal Luar, Seksyen 16 dan Kelas di Pejabat Adun dapat hadir ke jemputan, mungkin mereka menumpu pada persiapan akhir bagi menghadapi peperiksaan. Aisyah memberi semangat pada pelajar-pelajar supaya berusaha dan bersedia menghadapi peperiksaan sesempurna yang mungkin dan mengingatkan tentang kaedah-kaedah menghadapi peperiksaan.


Adun Bangi yang berucap merasmikan Majlis Pertemuan mengucapkan terima kasih di atas jemputan. Beliau menasihati pelajar-pelajar supaya tenang, solat dan doa memohon pertolongan dari Allah.. Pelajar-pelajar dinasihatkan membuat ulangkaji secara ringan jaga kesihatan dan jangan berjaga malam. Masuklah di dalam Dewan Peperiksaan dengan tenang dan konfiden dan berdoa. Kami juga ibu bapa berdoa kepada Allah agar menurunkan ketenangan dan anak-anak mampu menjawab soalan-soalan dengan baik. Adun Bangi mengingatkan bahawa pihak Adun Bangi bukan saja memberi galakan sebelum peperiksaan, tetapi ganjaran menunggu selepas menghadapi peperiksaan sebagai insentif, bahkan hadiah bagi kejayaan. Adun menyampaikan cenderahati kepada pelajar-pelajar diikuti dengan jamuan.


Selamat Menghadapi Peperiksaan didoakan ketenangan dan mampu menjawab soalan dengan baik – insya Allah dan mencapai kejayaan.

Terima kasih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment