November 2, 2012

Melawat Muzium Sungai Lembing: Contoh Menarik Bagi Padat

Sungai Lembing, 02 Zulhijjah 1433 = 18 Oktober 2012 (Khamis):


Semasa menghadiri Hari Muzium Antarabangsa peringkat Negeri Pahang dari 17-19 Oktober 2012 bertempat di Pekan, antara acara yang menarik ialah lawatan ke Muzium Lombong Timah di Sungai Lembing, Pahang, iaitu sempena Karnival Masakan yang diadakan pada pagi hari Khamis tersebut. Pada penghujung Acara Karnival Makanan itu Penulis mengambil peluang melawat Muzium Melombong Bijih Timah yang terletak di atas sebuah Bukit Kecil tidak jauh dari Padang yang diadakan Karnival Makanan. Bangunan yang dijadikan Muzium ini ialah rumah kayu yang menjadi tempat tinggal bagi Ketua Pegawai British yang menguruskan Pentadbiran Perlombongan di sini pada zaman majunya. Pendakian ke puncak Bukit Muzium melalui jalan berliku secara sehala dan tidak muat untuk dua kenderaan.

Perusahaan Perlombongan Sungai Lembing ini bermula sejak 1906 diusahakan oleh satu Syarikat British yang diberi nama – The Pahang Consolidated Company Limited (PCCL). Sungai Lembing adalah satu kawasan 40 batu persegi yang dikelilingi bukit. Jauhnya dari Kuantan lebih kurang 20 km. Perlombongan di sini agak unik dan tidak bersifat terbuka, tetapi secara mengorek bukit secara terowong dan di dalam terowong ini di pasang rail bagi gerabak secara tolak bagi muatan bijih. Terowong dikorek ke dalam dari permulaan masuk ke dalam dan keluar ke permukaan terowong sebelah dalam bentuk U – Masuk keluar secara jalan sehala. Pekerja-pekerja masuk ke dalam terowong dengan menggunakan lampu carbide atau bateri.


Dengan pembukaan lombong ini Sungai Lembing yang berasal dari kawasan hutan – Nama sungai Lembing, menurut cerita pemburu rusa melontar lembing ke arah rusa, lembing jatuh ke sungai. Bila Sungai Lembing dibuka, lembing ini diketemui di dasar Sungai, lantas tempat itu dinamakan Sungai Lembing, bertukar menjadi pekan. Pekan ini terdiri dari dua barisan kedai berhadapan sebatang jalan berjumlah 50 kedai. Kedai adalah daripada kayu, manakala di bahagian sekitar adalah rumah kuarter dan perumahan pekerja. Pada peringkat puncak 1950an kependudukan di Sungai Lembing melebihi 10,000 orang. Kemajuan Sungai Lembing memajukan Kuantan yang asalnya sebagai kampong nelayan menjadi Bandar dan akhirnya mengambil alih Kuala Lipis sebagai Ibu Negeri Pahang.

Dalam meniti kemajuannya perusahaan bijih timah secara terowong ini pernah mengalami gangguan dan permasalahan. Misalnya pada 1921 berlaku kebakaran, 1926 berlaku banjir besar dan antara 1942 – 1945 penguasaan Jepun.. Selepas pengunduran Jepun perusahaan lombong kembali dipulihkan dan maju, namun selepas 1980an menurun dan 1985 .PCCL mengalami kerugian dan terpaksa ditutup pada tahun 1887. Sejak dibuka hingga tutup pengururusan lombong Sungai Lembing pernah ditadbir oleh 10 orang pengurus. Antaranya J.T. Mirium (1911-1929) dan 1985 Wang Lai.

Bagi memahami proses perlombongan kami melihat pameran perlombongan di dalam Muzium Sungai Lembing (dibuka 23 April 2005). Ia itu dari mesin-mesin pengorek, peralatan mengorek, troli, alat turun naik bagi pengeluaran bahan bijih, contoh bijih yang dikeluarkan, pengisian dalam troli dan pengeluaran ke luar dari dalam terowong dan pemindahan melalui pengangkutan melalui lori untuk dibawa ke Kuantan dan seterusnya melalui kapal ke Singapura dan ke London.

Selepas menyaksikan pameran peralatan dan mesin-mesin melombong bijih kami menaiki kenderaan bagi melihat terowong yang kebetulan antaranya sedang dibaikpulih sebagai produk pelancongan. Penulis turut masuk ke dalam terwong hingga ke had pekerja-pekerja sedang membaiki terowong dan bergambar dihadapan trowong. Di luar juga didapati patung-patung orang yang akan dijadikan contoh tentang pekerja-pekerja sedang dan progres bekerja. Selepas itu kami menyaksi alam keliling dan Pekan Sungai Lembing sendiri yang terus dikekalkan sebagaimana bangunan asal sebagai bahan warisan dan dijadikan muzium hidup yang terus dapat disaksikan hingga hari ini. Usaha kerajaan Negeri Pahan dan bahagian Pelancongan mengekal dan memulihara Pekan Sungai Lembing dengan keaslian alam sekitar merupakan satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong untuk terus datang bagi menghayati Pekan Sungai Lembing yang menjadi sumber ekonomi Negeri Pahang dan kini Warisan negeri yang menjadi tarikan pelancong.

Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini boleh dijadikan contoh bagi negeri Selangor bagi membuka Muzium Bijih Timah. Negeri Selangor pernah menjadi negeri pengeluar bijih timah dan mempunyai sejarah yang menarik berhubung dengan perusahaan bijih timah di negeri Selangor. Cara pengeluaran bijih di Selangor dilakukan dari kaedah yang kecil secara mendulang membawalah kepada kaedah yang lebih besar iaitu mengeluarkan secara kapal korek dan menggunakan sistem palong. Kita mempunyai tempat dan ruang untuk dijadikan bahan muzium secara life dengan menggunakan bekas-bekas perlombongan dan peralatan-peralatan yang pernah digunakan atau secara replica yang dipamerkan di dalam bangunan. Pameran hendaklah melengkapi dari kaedah mendulang dan pengeluran secara besar-besaran, bahan-bahan bijih mentah dan yang telah dibersih dan kegunaan-kegunaannya dapat dijadikan bahan pameran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment