November 7, 2012

Menghadiri Hari PIBG 2012 SRA Pekan Bangi & Khatam Al-Quran KAFA Integrasi Al-Istiqamah BBB

BBB, 19 Zulhijjah 1433 = 04 November 2012 (Ahad):


Minggu terakhir sebelum tutup akhir tahun, banyak Sekolah mengadakan sama ada Hari Ihtifal, Hari PIBG, Hari Kecemerlangan, Khatam Qur`an dan sebagainya. Tujuannya menghargai kejayaan murid-murid di dalam pelajaran, merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak Sekolah, memberi peluang bagi murid-murid menunjukkan kebolehan dan bakat masing-masing dan berbagai kegiatan yang lain.

Pada pagi Ahad ini saja Adun mendapat 4 jemputan dari Sekolah yang meminta merasmikan Hari Sambutan Sekolah-sekolah berkenaan. Seawal pagi jam 8.30 Adun dijemput menghadiri Majlis Ihtifal Pasti D`Sutera, Balakong yang meminta peruntukan dari Adun Bangi. Walaupun D`Sutera berada di luar dari kawasan Dun Bangi, tetapi oleh kerana kegiatan yang disambut diadakan di Dewan Kolej Dar Al-Hikmah dibawah kawasan Dun Bangi, maka pertimbangan diberi terhadap permohonan. Namun oleh kerana dalam masa yang lebih kurang sama, Adun mempunyai jemputan di beberapa Sekolah yang lain, maka Adun hanya mengambil kesempatan hadir ke Majlis yang nampaknya baru hendak bermula, iaitu menghantar cek yang diluluskan kepada permohonan pihak Sekolah ini. Selepas menyerahkan cek Adun yang diiringi saudara Amir Udin memohon diri.


Dari Kampus Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam Adun bergerak ke SRA Pekan Bangi. Pada hari ini Sekolah ini mengadakan Hari PIBG 2012 yang melibatkan AJK PIBG, Guru-Guru, Ibu Bapa dan Murid-Murid. Hadir sama ialah En. Mohd Noor Isa YDP PIBG, Puan Hajah Nor Ain bt. Hj. Yahya Guru Besar. Berbagai kegiatan diadakan pada hari PIBG ini antaranya Riadhah dan Persembahan Silat, Sukanika dan Pertandingan Bola Sepak. Difahamkan tiga ekor lembu yang dikorbankan pada Hari Raya Eidul Adhha dulu dimasak bagi jamuan pada hari ini. Adun Bangi diminta merasmikan Hari PIBG hari ini. Guru Besar dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Hari PIBG. Beliau berharap Hari PIBG dapat mengeratkan hubungan antara PIBG dan Ibu bapa. Guru besar memaklumkan pagar dawai Sekolah selalu dirosak dan kawasan Sekolah diceroboh. Sekolah berhasrat membina tembok batu, beliau juga memaklumkan kekurangan dan kerosakan surau. Manakala YDP PIBG memohon kerjasama dari semua pihak terutama ibu bapa bagi memajukan SRA Pekan Bangi. Beliau menyebut sambutan hari ini ditampung sumbangan oleh pihak Ibu Bapa dan individu yang bermurah hati. Beliau bergembira Sambutan Hari PIBG pertama kali ini mendapat sambutan dan berjaya.


Adun Bangi mengucap terima kasih di atas jemputan. Adun memang sering datang ke SRA Pekan Bangi dan beberapa peruntukan disampaikan. Adun bergembira Sekolah mencapai prestasi akademik yang baik. Masalah keselamatan menjadi masalah utama Sekolah kerana kedudukan sekolah jauh dan dipinggir hutan. Banyak kerosakan berlaku dan dicuri. Adun mencadangkan untuk mendapat khidmat Jaga. Kalau mau dibina tembok yang tembok keliling sepanjang satu kilometer memerlukan kos yang tinggi dan belum tentu terjamin dari pencerobohan. Adun sedia pertimbangan bagi melengkapkan keperluan surau. Selepas perasmian Adun sampaikan sedikit peruntukan.

 
Dari SRA Pekan Bangi, Adun bergerak ke Sekolah Kafa Integrasi Al-Istiqamah, Seksyen 16, BBB. Kehadiran Adun disambut oleh saudara Harun Arrashid bin Yahya Pengerusi KAFA dan Ustazah Faturah bt. Mohd Naaim Ketua Guru. Majlis sedang berjalan di Dewan Kafa Integrasi Al-Istiqamah dipenuhi guru-guru, ibu bapa dan murid-murid. Ruang Majlis dihias dengan bunga telur. Majlis dipengerusikan oleh tiga orang murid yang menggunakan bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Sekolah Kafa ini mula dibuka tahun 2,000 di bangunan lama dan mendapat bangunan baru yang lebih selesa pada 2009. Kini Sekolah ini mempunyai 450 murid dengan 16 orang guru. Majlis yang diadakan pada hari ini ialah kali ke 13. Ketua Guru dalam ucapannya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis, terutama kepada ibu bapa. Mereka dapat menyaksikan kemampuan anak-anak membaca Al-Qur`an dan Majlis Khatam Al-Qur`an. Lebih dari 60 orang murid Tahun 6 khatam Al-Qur`an. Ibu bapa juga dilaporkan berkenaan pencapaian akademik murid-murid. Ketua Guru juga memaklumkan bahawa Sekolah bercadang untuk membina tangga kedua bagi Sekolah tiga tingkat dan memerlukan peruntukan bagi membaiki bangunan lama.

Saudara Harun Arrashid berterima kasih kepada semua pihak. Sekolah mempunyai kerjasama dengan Jawatankuasa Surau Al-Istiqamah yang berhampiran dengan surau. Beliau menyebut jasa En. Yusminar yang banyak berjasa kepada Sekolah dan juga surau. Beliau berharap kerjasama dari ibu bapa diteruskan bagi pembangunan Sekolah.

Adun Bangi di dalam ucapannya berterima kasih di atas jemputan dan bergembira Sekolah mencapai kejayaan di dalam bidang akademik dan juga kegiatan tambahan sebagaimana yang diadakan pada hari ini. Kejayaan yang dicapai adalah dari kerja kuat terutama dari pimpinan Pengerusi yang dinamik yang bukan saja menjadi Pengerusi AJK Sekolah, tetapi juga Setiausaha Surau Al-Istiqamah. Adun berharap Sekolah yang berada di tengah perumahan Seksyen 16 menjadi institusi pendidikan yang membentuk anak-anak dikawasan ini dengan ilmu pengetahuan keislaman dan akhlak mulia. Adun bergembira melihat hubungan Surau Al-Istiqamah begitu erat, bahkan nama Sekolah pun berkait dengan Al-Istiqamah, Beliau berharap sempena dengan nama Al-Istiqamah, kita semua, khususnya anak-anak berada di atas landasan Istiqamah – Jalan yang lurus – betul.

Berhubung dengan hasrat untuk mengadakan tangga kedua Sekolah bagi tujuan keselamatan, wajar pihak Pengerusi dan AJK tubuh tabung dana untuk mencari peruntukan dan juga memohon kepada JAIS dan derma orang ramai. Adun sedia bekerja sama untuk menambahkan dana termasuklah bagi membaiki bangunan yang lama. Tapi jika hasrat mau membina bangunan baru di atas tapak yang lama, maka usaha mendapat dana perlu digandakan. Adun percaya dengan tenaga Pengerusi dan AJK yang dinamik dan sokongan ibu bapa hasrat bagi membina bangunan yang baru di atas tapak yang lama dapat dicapai. Terpulang kepada keputusan yang diambil oleh pihak AJK.

Selepas perasmian Adun menyampaikan hadiah kepada murid-murid cemerlang.

Adun tidak berkesempatan hadir ke Majlis Ihtifal di Madrasah Manba`l Ulum di Cheras Jaya, kerana difahamkan Majlis selesai lebih awal.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment