October 31, 2012

Budaya Kompang Ketara Di Selangor - Menjadi Identitinya ?

PADAT, Shah Alam, 14 Zulhijjah 1433 = 30 Oktober 2012 (Selasa):

Sukar untuk mengatakan dari mana asal kompang, yang pasti ia adalah pecahan dan variasi gendang yang menjadi budaya bagi berbagai masyarakat. Di negeri kita pecahan dari gendang - bila besar dan dipukul dengan kuat atau dengan alat pemukul dikenali sebagai rebana, bila digantung dan dipukul dengan pemukul secara keras dikenali sebagai beduk dan Kompang adalah sejenis gendang mini dibuat secara lebih kecil agar mudah dibawa dan dipukul sambil berdiri dan berjalan. Kompang biasanya dimain secara beramai-ramai di dalam kumpulan yang mungkin sampai 20 orang. Kompang diterima sebagai peralatan bunyi budaya yang digunakan di dalam berbagai upacara. Paling ketara digunakan di dalam berbagai upacara di negeri Selangor. Adakah ini bermakna Kompang budaya menonjol di negeri Selangor?

Dari tujuan mau mencari jawapan bagi berbagai-bagai pertanyaan boleh ditimbulkan berhubung dengan kompang ini, maka Padat hari ini mengadakan Seminar Bicara Kompang sebagai instrument budaya tradisi Melayu. Seminar dirasmikan oleh YB. Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.


Dalam ucapan perasmiannya YB Dr. Ahmad Yunus, mahu kompang menjadi identiti negeri Selangor, sekiranya ia bukan asal dari negeri Selangor, maka hendaklah diusaha memberi ciri-ciri negeri Selangor yang membezakannya dari negeri-negeri yang lain.

YB Dr. Ahmad menyebut secara nostalgic bahawa pada masa beliau kecil kompang begitu berkembang dan digunakan di dalam berbagai upacara, kini ianya kurang menarik minat terutama di kalangan anak-anak muda. Beliau berharap agar minat terhadap kompang ini ditanam di dalam jiwa anak-anak muda. Beliau juga berharap dapat didokumentasikan maklumat tentang kompang dan diterbitkan maklumat-maklumat yang berhubung dengannya.

Sebelum daripada itu Adun Bangi selaku Pengerusi Padat, mengalu-ngalukan kehadiran dan kesudian YB Dr. Ahmad Yunus merasmikan Program Bicara Seni Kompang Seni Tradisi Melayu. Ini adalah siri terakhir 2012 berikut dari pembicaraan tentang Busana, Kelingkang, Tari, Tanjak, kebaya, telepok dan kompang. Menurut Adun Bangi, kompang adalah alat budaya dalam masyarakat Melayu dan digunakan di dalam berbagai upacara baik bersifat keagamaan, kemasyarakatan, bahkan kesukanan. Ia bukan saja memeriahkan suasana, tetapi juga menaikkan semangat pertandingan, menceriakan khalayak dan merancakkan kegiatan. Berkompang tidak menimbulkan kontroversi. Menurut Pengerusi Padat, bicara hari ini bertujuan untuk kenal pasti dan memperkenalkan kepada masyarakat tentang kompang terutama bagi golongan muda, agar mereka mengenali dan mencintai budaya sendiri. Lebih dari itu ialah bagi meningkatkan kualiti pembuatan dan persembahan kompang.

Majlis pada hari ini dihadiri antaranya En. Nuridin bin Sapan Wakil Tuan Pegawai Daerah, Kuala Langat, En. Lutfi Nazar yang mewakili Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif Padat, penghulu, ketua kampong, pembentang-pembentang dan peserta-peserta. Dua kertas kerja dibentangkan:

Sejarah dan Perkembangan Kompang di Malaysia
Oleh: En. Rehbani bin Mutaal.
Fakulti Muzik Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Aktiviti Bengkel Bersama
Persatuan Silat Seni Ezhar Suci/Setia Hati dan Kompang Wilayah dan Selangor
Kumpulan Kompang Tiga, Meru Klang.

Sementara itu menurut En. Jalaluddin Setiausaha Persatuan Silat Seni Ezhar, terdapat lima kumpulan Kompang, iaitu:
  1. Kumpulan Ezhar bertempat di Keramat
  2. Kumpulan Patani bertempat di Keramat
  3. Sinar 12 bertempat di Sentul
  4. Kelalang bertempat di Johor dan Melaka.
  5. Lain-lain kumpulan yang tidak berpersatuan.
Menurut saudara Jalaluddin, sebaik jumlah dalam satu kumpulan kompang adalah seramai 20 orang, tetapi dalam persembahan biasanya sejumlah antara 10 hingga 15 orang. Tiap kumpulan mempunyai uniform dengan warna pilihan sendiri.

Menurut saudara Jalaluddin lagi, rentak kompang berlainan antara misalnya sambutan maulid dan keagamaan, mengiring pemimpin, menghantar pengantin, berkhatan dan pertandingan.

Walau bagaimana semua acara kompang bermula dengan salawat sebagai pembukaan dan juga dengan salawat sebagai pengakhiran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment