October 25, 2012

Jom Shopping Dan Mesra Keluarga Rukun Tetangga

Kajang, 04 Zulhijah 1433 = 20 Oktober 2012 (Sabtu):

Kedua program di atas hampir serentak bermula dari jam 10.00 pagi, Adun mengatur program dengan pergi merasmikan Jom Shopping terlebih dahulu dan berkejar ke Taman Permai, Jalan Reko, Kajang.

Jom Shopping di bawah Dun Bangi bertempat di Econsave Jalan Reko di sini adalah merupakan kali ke 12. Jumlah warga emas yang dijemput pada setiap kali diadakan Jom Shopping ialah 100 orang dan kali ini respond dari warga emas adalah lebih baik, hampir 90 orang hadir. Pihak Pejabat Adun setakat ini telah mendaftar dan jumlah warga emas di Dun Bangi adalah 3,200 orang, Setakat ini warga emas yang menerima tawaran Jom Shopping adalah berjumlah hampir 1.000 orang, Ini bererti 2/3 daripada warga emas belum dipanggil.



Warga emas dikehendaki datang mendaftar terus di ruang depan pintu Pasar Econsave. Mereka datang sejak dari jam 8.30 pagi. Pendaftaran dikendalikan oleh Sdr. Nabilah, Aishah dan pembantu-pembantu yang lain, manakala sdr. Shahrum menyediakan tempat. Majlis perasmian bermula dari jam 10.00 pagi. Dalam ucapan perasmiannya Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas kehadiran warga emas dan mengharapkan mereka bergembira dapat bersama teman-teman seusia sama berjom Shopping. Adun menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor berusaha memberi kemudahan kepada rakyat melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Air Percuma, bantuan anak masuk universiti, Bantuan Kebajikan dan pinjaman perniagaan seperti Mimbar dan Skimsel dan sebagainya.

Selepas perasmian Adun mengiringi warga emas masuk ke dalam Pasaraya Econsave dan membeli sejumlah RM100.00 nilai. Oleh kerana warga emas memerlukan masa untuk membeli barang-barang yang didapati, maka Adun mengambil peluang ke Jalan Reko bagi menyertai MajlisMesra Keluarga Rukun Tetangga. 

Menyambut Adun tiba ialah Encik Kandasamy Pengerusi Rukun Tetangga Jalan Reko, Puan Nursilawati Pegawai Perpaduan Nasional pada peringkat Hulu Langat dan AJK Rukun Tetangga Jalan Reko.Puan Nursila sebagai Pegawai Perpaduan mengucapkan terima kasih kepada pihak Rukun Tetangga Jalan Reko menjemput beliau. Beliau berpendapat Majlis mesra pada hari ini adalah satu cara bagi mengeratkan perpaduan. Adun yang merasmikan Mesra Keluarga Rukun Tetangga juga berterima kasih di atas jemputan. Majlis Mesra Rukun Tetangga seperti ini dapat menguatkan silaturrahim di dalam komuniti Rukun Tetangga. Sesungguhnya fungsi Rukun Tetangga ialah untuk mengawal keselamatan kawasan dan mendapat kerjasama penduduk setempat sebagai mata telinga bersama menjaga keselamatan dan mengawasi elemen-elemen yang tidak baik dari masuk dan mempengaruhi masyarakat. Kata Adun, saya bergembira melihat AJK Rukun Tetangga dan penduduk setempat bergotong royong mendirikan dua buah pondok pengawal keselamatan. Adun berjanji sedia membantu sebahagian dari kos mendirikan pondok pengawal keselamatan tersebut. Menurut Adun,
"Saya difahamkan, bahawa jamuan pada hari ini adalah disediakan secara goyong royong. Syabas diucapkan kepada penduduk." Berhubung dengan beberapa permintaan penduduk sebagaimana disebut oleh En. Kandasamy akan dipertimbangkan.


Selepas daripada itu Adun diiringi En. Kandasamy melihat dua pondok Rukun Tetangga yang didirikan. Kemudian para hadirin dijemput ke jamuan makan di bawah khemah yang disediakan. Berikutnya Adun memohon diri dan berkejar ke Econsave sekali lagi bagi meraikan warga-warga emas yang berjomshopping. Sebahagian daripada mereka telah pulang selepas membeli belah barang-barang. Sebahagian masih memilih barang-barang. Adun berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka yang keluar setelah membeli barang-barang.

Majlis berakhir jam 12.30 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment