Dun Bangi, 11 – 13 Zulhijjah 1433 = 27 – 29 Oktober 2012 (Sabtu-Isnin):
Sebagaimana pada tahun-tahun yang lalu, Adun memperuntukkan lembu korban bagi sambutan Eidul Adha bagi tahun 1433/2012, kali ini sebanyak 5 ekor dan tambahan dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak 4 ekor. Pengagihan adalah dibuat terhadap tempat-tempat yang sebelum ini belum diberi peruntukan lembu korban, khususnya bagi tempat yang tidak mengadakan korban. Pemberian seekor setiap tempat – dengan tambahan tempatan jika ada, biasanya diuruskan melalui surau-surau dan masjid.
Pada tiga hari Eidul Adha, Adun bersama saudara Azemi Ahmad Ketua Lajnah Masjid dan Surau Dun Bangi dan saudara Azizi melawat lokasi yang melaksanakan korban. Tujuan tidak lain bagi memastikan perjalanan korban berjalan lancar di samping beramah mesra dengan masyarakat setempat. Dari pengalaman tahun ini ada tiga tempat yang lembu terlepas lari, seekor dapat ditangkap balik dan dua ekor belum dapat. Masalah jika lembu yang lari jauh dari tempat terlepas dan tidak dikenalpasti betul-betul, mungkin bertukar dengan lembu-lembu yang lain, jika berlaku percampuran dan kalau tak dapat ditangkap segera dan keluar dari masa korban, maka tidak sampai hasrat untuk amalan korban.
Lawatan pertama Sabtu (11 Zulhijjah) ialah ke Kampung Bahagia Pekan Bangi, iaitu sesudah mengurus korban seekor kambing di kandang di Seri Putra (Isteri Adun turut sama), di Kampung Bahagia, Bangi kami disambut oleh En. Azlan Nordin Ketua Kampung dan Tuan Haji Ahmad Pengerusi Surau Al-Hamidiah. Penduduk sedang melapah 2 ekor lembu yang dikorbankan. Daging terus dibahagi-bahagikan, tanpa diadakan masakan dan jamuan. Selepas bersama-sama penduduk di Kampung Bahagia Bangi, kami berempat ke Surau Bangi Indah (Al-Ibtida`iyah), penduduk bergotong royong melapah sebanyak 5 ekor lembu, manakala muslimat juga bergotong-royong menyediakan minuman dan bahan masakan (untuk sup), kami dijemput minum terlebih dahulu sebelum memohon diri.
Selepas menghantar Isteri Adun ke rumah, kami bertiga pergi ke Kampung Sungai Ramal Dalam. Kami dapati Jalan Utama dari Seksyen 8 BBB melalui hadapan masjid ke Bangunan Latihan Perusahaan sebelum Shell sudah siap diturap dengan baik (Menurut Tok Latib Ketua Kampung) lapan jalan dalam kampung juga sudah diturap. Tempat berkorban di tanah lapang waqaf berhampiran masjid. Kami dimaklumkan oleh Tok Lateb, 10 ekor lembu dikorbankan, pengagihan daging dilakukan dan masakan sup juga dilakukan.
Pada hari Ahad (12 Zulhijjah) kami bertiga melawat lagi lokasi-lokasi korban. Tempat pertama kami ziarah pagi ini ialah di Apartment Nuri, Bukit Mahkota. Setibanya, kami dapati penduduk sedang melapah lembu korban, difahamkan sebelum ini penduduk di sini telah mengadakan korban sebanyak 2 ekor, setelah menyaksikan lapahan di sini, kami memohon diri dan bergerak ke Fasa 7, Bukit Mewah. 3 Ekor lembu dikorbankan. Ramai yang turun bergotong royong, termasuk muslimat untuk memasak. Kami minum dan memohon diri bergerak ke Putra, Kajang, berhampiran Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Setibanya di sana, aktiviti melapah daging lembu telah selesai dan penduduk terutama wanita sedang memasak di bawah bangunan berhampiran surau di sini. Destinasi terakhir acara korban hari ini ialah di Surau Al-Abrar. Dua ekor lembu dikorbankan. Dimaklumkan dari Ustaz Shafie Ngah, YDP Pas Serdang, acara rasmi akan dimulakan sekitar jam 12.30. Oleh kerana ada masa lebih satu jam perlu menunggu, kami pulang ke rumah masing-masing dan diminta datang dengan isteri. Kami pulang dan datang berasingan. Adun datang bersama isteri, saudara Azemi juga bersama isteri. Turut hadir YB. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, ada ucapan-ucapan ringkas dan jamuan.
Lawatan acara korban hari terakhir, ialah hari ini Isnin (13 Zulhijjah). Lawatan hari ini hanya bersama dengan saudara Azizi. Lawatan pertama hari ini ialah ke Balai Polis, Bandar Baru Bangi. Di Balai Polis Bandar Baru Bangi kami menemui Ketua Polis Bandar Baru Bangi, Tuan Rashid dan Tuan Zubir sebagai Bekas Ketua Polis. Kami dimaklumkan pihak Polis BBB mengorbankan sebanyak 8 ekor, Kami dimaklumkan juga seekor terlepas dan belum dapat ditangkap. Ramai tenaga bergotong royong. Jumlah Pegawai Polis di BBB adalah seramai 70 orang. Kami minum bersama Tuan Rashid sebelum memohon diri.
Tempat lawatan terakhir acara korban ialah ke Apartment Green Villa di Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi. Semasa tiba penduduk sedang melapah lembu korban. Adun menerima aduan masalah parking di kawasan perumahan tidak cukup. Persatuan Penduduk telah memohon dari MPKj tanah di hadapan apartment untuk dijadikan tempat parking tambahan. Menurut saudara Hisham Ketua Penduduk di sini, ``Kami kekurangan kewangan untuk membersih dan menjadikan tapak berkenaan kawasan parking.`` Adun cadang diadakan gotong royong yang melibatkan sama MPKj dan Adun sedia memberi peruntukan sewajarnya.
Jam 11.00 pagi kami pulang ke pejabat.
No comments:
Post a Comment