October 27, 2012

Konsep Korban Dalam Islam - Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din

Bandar Baru Bangi, 10 Zulhijjah 1433 = 26 Oktober 2012 (Jumaat):


Menyampaikan Khutbah Eidul Adhha pada pagi ini di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi ialah TG Dato` Dr. Haron Din. TG melakarkan konsep Korban dalam Islam. Beliau menjelaskan bahawa kejadian Allah adalah sempurna, berimbang dan tiada cacat cela. Beliau merujuk kepada firman Allah bermaksud:

Dialah Yang Mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis. Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak berseimbangan dan tidak munasabah (Jika engkau ragu-ragu), maka ulangilah pandangan (mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandangan (mu) itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). (Al-Mulk: 3 – 4).

Tegas TG Dato` Dr. Haron Din, Antara yang paling sempurna ialah Agama Islam yang ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Qur`an:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu (Al-Ma`idah : 3)". Dengan keislaman berhubung rapat dengan kesempurnaan sebagaimana firman Allah bermaksud:

(Islam) Agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam Al-Qur`an ini supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) - (Al-Hajj: 78).

Dengan kebenaran ini menyerah diri kepada Allah segala kejadian Allah sebagai Islam.
TG Dato` Dr. Haron Din berpendapat, fenomena Haji juga adalah dalam rangka kepatuhan kepada Allah yang semua kejadian dari sekecil-kecil patuh dan menurut Syariat dan peraturan Allah. Beliau memetik firman Allah yang bermaksud:

"Apakah lain dari Agama Allah yang mereka cari ? Pada hal kepadanyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarila atau dengan terpaksa dan kepadanyalah mereka dikembalikan (Ali Imran: 83)."
Sudahkah kita secara jujur menerima Islam dan menjadikan cara hidup kita bagi diri, keluarga, masyarakat dan Negara ?
Benarkah kita berpegang dengan Islam ? Bila kita tidak laksana, siapakah yang patut dipersalahkan dan menuding jari, apabila Islam dihina. Beliau memetik maksud Hadis:
"Akan tiba masa setengah dari umara` yang berkata, tetapi tidak dikota. Siapa yang berjihad dengan kekuasaan dia adalah mu`min, siapa yang berjihad dengan lisan dia adalah mu`min dan siapa yang berjihad dengan hati, maka dia juga mu`min. Dan tiada selepas itu sekecil biji sawi sebagai mukmin"

TG Khatib Dato`Dr. Haron seterusnya mengatakan, ``Kita sedang menyambut Eidul Adhha, kita dituntut berkorban dan menyembelih korban adalah sebahagian dari syiar-syiar Islam. Firman Allah bermaksud:

"Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka dialah orang yang bertaqwa, kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin (Al-Hajj: 32)."
Dan tuntutan berkorban bukan setahun sekali, tetapi berterusan hingga ke hari kiamat. Firman Allah bermaksud:
"Hendaklah kamu berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad` (Al-Hajj: 78). Khatib TG menceritakan tentang semangat jihad para sahabat, ada seorang yang cacat kaki dan terpaksa berdiri memegang bahu sahabat, sama mahu turut berjihad di medan perang, tapi kerana kecacatannya Rasulullah tidak menerimanya menyebabkan beliau menangis, tapi Rasulullah menggembirakannya, bahawa dengan azamnya yang sungguh-sungguh dan ikhlas melayakkannya ke syurga. Demikian ada yang datang kepada Rasulullah untuk mendapatkan peralatan perang tapi tidak ada menyebabkan mengalir air mata yang hasrat mau berjihad kerana tidak dapat bersama. Demikianlah tingginya semangat para sahabat berjihad. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

Tidak meninggalkan kaum dari jihad, dan kiranya ditinggalkan maka akan mengalami kehinaan dan siapa mengabaikan dari jihad, maka tidak ada kemuliaan baginya.

Firman Allah bermaksud:
"Adakah patut kamu menyangka, bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan dugaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu?" ( Al-Baqarah: 214).
Sesungguhnya jihad mencerminkan sifat mukmin dan jahat pula mencerminkan sifat munafik. Kata Khatib di dalam Al-Qur`an ada Surah Al-Mu`minun dan lawannya Surah Al-Munafiqun. Antara sifat mu`min yang tersebut di dalam Surah Al-Mu`minun ialah: Takut kepada Allah, yakin pada hukum Allah, pekerti baik, suka berkorban, gementar takut pada kemerkaan Allah, berlumba-lumba bagi mendapat keredaan Allah dan bersiap sedia kembali menghadapi Allah. Manakala ciri-ciri munafiq pula ialah: Pembohong & Pendusta, helah beriman, tetapi hakikat dalaman tidak, halang dari laksana kebajikan dan hati tertutup dan sukar kembali kepada Allah.

Dalam khutbah kedua Khatib menerangkan keperluan menjaga aturan-aturan bagi yang berkorban. Misalnya tidak menjual daging, bahkan kulit binatang qurban. Khatib menimbulkan isu, bolehkah berqurban untuk orang yang telah mati. Kata TG Khatib ada dua jawapan iaitu – Tak Harus dan Harus.

Tak Harus berdasarkan kepada Firman Allah yang bermaksud:
"Tidaklah ada bagi manusia, melainkan apa yang diusahakan (Al-Najm: 39)"
Manakala yang harus berdasarkan Hadis Aishah dan Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. mahu berqurban dengan dua ekor kibasy yang gemuk, cantik dan putih. Rasulullah bersabda, seekor untuk diri dan keluarga dan seekor lagi untuk umatnya. Ini menandakan boleh dikorban untuk yang mati. TG memilih `Harus`

Sebelum dari itu Imam yang memimpin Solat Eidul Adhha ialah Ustaz Omar Ruslan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment