October 16, 2012

Kaum Cina Juga Sambut Perayaan Luar Musim - Pesta Tanglung

Dun Bangi, 27-28 Zulkaedah 1433 = 13-14 Oktober 2012 (Sabtu-Ahad):

Menyambut perayaan di luar musim menjadi kebiasaan bagi orang Melayu, khususnya di Selangor. Sambutan Eidul Fitri yang sepatutnya di sambut pada satu Syawal hingga tiga Syawal, kini sambutan perayaan seperti ini menjadi kebiasaan disambut selama satu bulan. Menyambut perayaan hingga ke luar dari musim ini nampaknya diikuti sama oleh orang Cina menyambut perayaan budaya mereka hingga ke luar musim. Misalnya Pesta Tanglung sepatutnya disambut tidak boleh lewat dari Ahad 30 September 2012, tetapi sambutan Pesta Tanglung kini melewati dari tarikh tersebut.

Misalnya Pesta Tanglung yang diadakan di Taman Zamrud pada 13 Oktober adalah dua minggu lewat dari tempoh terakhir. Sambutan ini dianjur oleh Pejabat Adun melalui Lajnah Kebajikan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Zamrud dan masyarakat di sini. Hadir sama ke dalam majlis di sini YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi dan YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Tuan Haji Mohd. Yusof Ketua Cawangan, En. Mohd Suhaimi Pemangku Ketua Penduduk dan saudara Azli Setiausaha Persatuan Penduduk. Sebenarnya walaupun dinamakan Pesta Tanglung, majlis di isi dengan jamuan makan malam kepada masyarakat setempat. Ucapan kedua-dua Wakil Rakyat yang sama menyatakan Selamat Menyambut Pesta Tanglung. YB Teo Nie Ching turut berucap dalam bahasa Manderin kepada peserta-peserta kaum Cina. Selepas jamuan ialah menyampaikan bantuan kepada warga emas dan yang susah dari berbagai kaum. Pesta Tanglung sebenarnya sebagai simbolik sahaja. Memang tanglung-tanglung dibeli dan yang bermain di luar – di padang berdekatan dengan dewan ialah anak-anak dari berbagai kaum – memasang tanglung dan bergerak keliling padang.

Untuk mengatakan sambutan di luar musim diadakan oleh Adun menurut pengaruh Eidil Fitra budaya oang Melayu-Islam tidak juga tepat, kerana pada keesokan hari Ahad 14 Oktober, pihak masyarakat orang Cina sendiri menganjurkan Pesta Tanglung yang diketuai oleh Ketua Kampong En. Lau. Sambutan diadakan oleh masyarakat Cina di Pusat Kebudayaan Cina berdekatan rumah Ibadat mereka di sini. Ramai yang hadir termasuk orang India dan Melayu. Pelajar-pelajar Melayu yang belajar di Sekolah Cina Yoke Min mengambil bahagian di dalam nyanyian dan persembahan di sini. 

Dalam Majlis ini Ahli Parlimen Serdang Puan Teo Nie Ching diberi peluang berucap yang disampaikan dalam bahasa Melayu dan Cina dengan agak panjang berhubung dengan budaya perayaan Pesta Tanglung tersebut. Beliau menyebut projek-projek yang dijalankan di Bangi seperti pemasangan tiang lampu dari UKM ke Pekan Bangi, pembaikan jalan-jalan, bantuan pendidikan dan sebagainya. Adun Bangi juga diberi peluang berucap mengucapkan selamat Menyambut Pesta Tanglung dan mengharapkan sambutan menambah erat hubungan dengan masyarakat setempat. Adun Bangi juga menceritakan berbagai-bagai skim disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Skim Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor. Beliau berharap banyak faedah yang dapat dinikmati penduduk Pekan Bangi melalui skim ini seperti Skim Warga Emas, Air Percuma, Bantuan Ke Sekolah Cina Yoke Min dan sebagainya.. Pada malam ini tanglung-tanglung juga dipasang. Penyampaian bamntuan kebajikan juga disampaikan kepada warga emas dan mereka yang uzur dan miskin. Sambutan Pesta Tanglung di Pekan Bangi dikendali oleh bahagian Kebudayaan Cina. Acara termasuk geraksilat Cina yang diambil bahagian anak-anak Sekolah Yoke Min di sini, disamping mainan muzik tradisi dan moden termasuk nyanyian.dari anak-anak muda. Masyarakat nampaknya terhibur dengan acara sambutan yang diadakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment