October 1, 2012

Ziarah Mangsa Banjir Taman Mahkota Dan Pusat Jagaan Beribuan Kasih, Jalan Reko, Kajang

Jalan Reko, 14 Zulkaedah 1433 = 30 September 2012 (Ahad):

Banjir akibat dari hujan lebat pada petang 4 September 2012 lepas, tidak saja dialami penduduk Sungai Ramal Luar dan Dalam, tetapi turut berlaku banjir di Taman Mahkota, Jalan Reko. Sebanyak 22 buah rumah teres dua tingkat di sini mengalami banjir. Pihak AJK Kebajikan telah membuat penyelidikan dan menyenaraikan kesemua mangsa banjir berkenaan.
Pada petang ini Adun bersama AJK Kebajikan (7 orang) yang diketuai Tuan Haji Rushdi turun melihat dan menemui mangsa banjir. Turut sama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang diiringi sdr Chan sama ke kawasan yang mengalami banjir. Sdr. Adram Musa juga tiba kemudian. Kami bertemu secara ramai-ramai di tepi bahagain tempat banjir di Jalan Mahkota Dua. 20 daripada mangsa banjir dapat hadir dan berbincang. Masalah banjir berlaku, walaupun ban dibina lebih tinggi, tetapi saluran air ke Sungai Langat akan menolak balik ke belakang bila sungai banjir dan air melimpah ke Taman Mahkota. Yang perlu dibuat ialah memasang kekunci air yang dapat ditutup dan menyekat air dari menolak masuk hingga menjadi sebu dan banjir. Menurut saudara Adram, pihak MPKj telah meluluskan peruntukan bagi membaiki saluran seperti yang telah dibaiki di Langat Jaya.



Dalam perbincangan dengan penduduk yang kebanyakan terdiri dari kaum Cina dan beberapa orang Melayu dan India, Encik Siaw Pensyarah di UKM, Encik Subramanium dan En. Zulkarnain menimbulkan masalah tanah kosong dan reserve sungai disekat dan dipagar oleh bukan pemilik yang menghalang penyambungan jalan dan mereka meminta supaya jalan berkenaan dapat disambung kesebelah bahagian yang lain.


Pada pertemuan ini Adun Bangi dan YB Teo Nie Ching menyampaikan bantuan kewangan bagi setiap pemilik rumah yang mengalami banjir, iaitu serama 22 orang. Dua orang yang tak dapat datang diwakili jiran untuk disampaikan. Pada akhir pertemuan kami bergambar beramai-ramai dengan mangsa banjir yang menerima bantuan.

Selepas menyampaikan bantuan Adun Bangi dan YB Teo Nie Ching dan pengiring-pengiring bergerak ke Rumah Kebajikan yang dikenali dengan nama `Pusat Jagaan Beribuan Kasih` yang terletak di belakang Taman Bangi, Jalan Reko. Pusat penjagaan anak-anak dan juga orang tua ini dikendalikan oleh Cik Kavitha Vedaya. Terdapat 35 orang penghuni rumah kebajikan di sini. Kebanyakan penghuni ialah dari kaum India. Empat daripada mereka ialah warga emas kaum Cina, 20 orang adalah anak-anak sekolah dan selebih adalah dari kaum India warga emas.



Ditanya kepada Cik Kavitha bagaimana beliau boleh terlibat dengan kerja-kerja kebajikan. Beliau menyatakan, sejak bersekolah di Kolej Mutiara Kajang, beliau terlibat di dalam amal-amal kebajikan seperti menganjurkan bantuan kepada rumah-rumah orang tua dan anak yatim. Ini membawa dia akhirnya mengambil tanggungjawab mentadbirkan rumah kebajikan berkenaan. Ditanya bagaimana beliau mengurus pentadbiran penghuni yang agak ramai. Beliau menyatakan beliau mempunyai Syarikat Home Nursing. Beliau membelanjakan RM900 sebulan dari pendapatan peribadi untuk urusan anak-anak ke sekolah. Perbelanjaan makan minum lebih kurang RM5,000 sebulan, termasuk sewa rumah RM600 adalah dari derma berbagai pihak. Penghuni dilatih menjaga diri sendiri dan pihak tidak berkemampuan dijaga oleh yang mampu. Menurut Kavitha, tidak ada minu makan tetap harian. Makan minum menurut apa yang ada. Ditanya adakah pihak Kebajikan Masyarakat memberi sebarang bantuan? Beliau menjawab, terlampau banyak syarat dikenakan hingga beliau tidak mendaftar dan tidak mendapat bantuan. Apa yang didapati adalah dari derma orang ramai. Ditanya kemungkinan membeli bangunan yang dihuni, beliau menyatakan, kami telah berpindah dari beberapa tempat akibat dari sewa dan tidak disenangi jiran. Terakhir di sini sejak beberapa tahun lepas. Dulu tuan rumah bercadang untuk jual rumah ini dengan harga dikehendaki, ialah RM150.000, tapi kini mungkin lebih tinggi lagi. Masalah juga tanah bagi rumah adalah geran besar yang rumit untuk dipindah milik.Kami mencadangkan agar dibersih kawasan di hadapan rumah untuk kegiatan fizikal penghuni. Menurutnya, tanah bukan dimiliki tuan rumah yang disewa, tetapi dimiliki oleh pemilik sebuah hotel terkenal di Kajang. Kami mencadangkan agar memohon penggunaan sementara dari pemilik hotel untuk tempat riadah dan rehat penghuni.


Kami datang menghantar berpuluh kampit beras, mee dan juga gula untuk kegunaan penghuni.


Kita menghormati kegigihan Cik Kavitha yang sanggup melakukan kebajikan menjaga orang tua dan memelihara anak-anak bersekolah. Nasib mereka sedikit sebanyak adalah terbela.

Sekian.

No comments:

Post a Comment