Taman Putra Kajang dan; Taman Permai Bangi, 15 Zulkaedah 1433 = 01 Oktober 2012 (Isnin):
Berikut dari lawatan Adun Bangi ke Blok Dahlia Taman Putra, Kajang pada Khamis 27 September kerana menziarah En Abdul Aziz yang mengalami strok Adun menerima aduan tentang longgokan sampah yang tidak diangkat begitu lama. Menurut penduduk mereka telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak MPKj, tetapi tidak diambil perhatian. Difahamkan juga selama ini pihak Blok tidak mempunyai JMB dan tiada persatuan penduduk yang menguruskan pungutan bayaran untuk penyelenggaraan. Ini menyebabkan sampah bagi blok ini di tepi jalan masuk tidak diangkat.
Atas permintaan, Adun berjanji untuk mengusahakan agar longgokan sampah diangkat. Adun telah meminta saudara Hari Krishnan mendapatkan lori dan backho bagi mengangkat sampah di sini dengan menggunakan peruntukan Adun. Pada hari ini dua lori dan satu backho datang dan sepetang usaha pembersihan dilakukan. Sebanyak 3 trip lori mengangkut sampah dan kawasan berjaya dibersihkan. Sudah tentu pembersihan ini adalah bersifat sementara, jika kebersihan tidak dikekal dan dikawal, maka masalah sampah akan kembali. Adun mengharapkan pihak penduduk menubuhkan jawatankuasa penduduk bagi mengurus pungutan wang dari penduduk dan mendapatkan perkhidmatan mengangkat sampah melalui MPKj dan sebagainya. Adun difahamkan pihak penduduk baru melantik jawatan kuasa sementara bagi mengendalikan kebersihan kawasan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Encik Othman, Setiausaha En. Azizan, manakala Bendahari ialah Puan Norizan bt. Abd. Rahman. Antara AJK ialah En. Shaharuddin, En. Zulkifli dan En. NG. Kita berharap dengan adanya AJK yang baru dilantik ini soal kebersihan dapat diatasi dan sampah tidak akan kembali berlonggok lagi.
Sementara itu sebelum ke Blok Dahlia di Putra Kajang, Adun Bangi terlebih dahulu ke Taman Permai, Pekan Bangi. Peruntukan membaiki longkang di sini telah diluluskan. Pihak kontraktor – Sri Awana sedang membaiki saluran. Sedang kerja-kerja dijalankan dan belum siap ada campur tangan dan aduan, termasuk kepada Adun bahawa:
1) Penduduk tidak diberitahu untuk kerja-kerja bermula
2) Pembaikan parit tidak berbeza dengan yang lama cuma ditukar material saja
3) Saliran air keluar juga seperti yang lama
4) Paip-paip rumah menjadi bocor
5) Penduduk bermasalah keluar masuk
Kerja-kerja baru bermula, oleh sebab gangguan penduduk kerja-kerja terpaksa dihentikan. Gangguan akan menjadi lebih lama. Sebaiknya kerja-kerja diteruskan dengan pemantauan dan pembaikan, jika tidak penduduk akan menghadapi masalah lebih lama. Kita meminta pihak MPKj, Kontrektor Sri Awana, Ahli MPKj – Tuan Haji Mazwan dan Wakil Kaum India saudara Hari Krishna dapat turun dan berunding dengan penduduk bagi penyelesaian dan kerja-kerja dapat diteruskan. Penerangan perlu diberi kepada penduduk menurut spesifikasi projek supaya penduduk faham, berpuashati, tidak mengganggu dan kerja-kerja pembaikan dapat diteruskan. Sementara itu kritik-kritik penduduk perlu diberi perhatian. Mana yang wajar patut diambil tindakan – Contoh pembaikan paip air yang rosak.
Penduduk juga perlu faham jika gangguan dibuat berterusan, maka perancangan untuk membaiki parit di bahagian lain terpaksa ditangguh atau mungkin ditarik balik. Ini akan merugikan penduduk.
Sekian.
No comments:
Post a Comment