October 10, 2012

"Saya Masuk Tahap Dua Pencen - Saya Tinggalkan Politik - Tumpu Pada Ibadat, Bekalan Akhirat" Cikgu Ma'sum Mantan Ketua Umno Sungai Ramal

Sungai Ramal Dalam, 20 Zulkaedah 1433 = 06 Oktober 2012 (Ahad):

Kami mengelilingi hampir lengkap satu bulatan bujur lebih dari 2 km. dari Jalan Dusun ke Jalan Masjid Sungai Ramal Dalam yang baru diturap tar bagi menziarahi seorang Mantan Pemimipin Tempatan – Cikgu Ma`sum. Setelah singgah dan memberi salam dan tiada respond, kami menjangkakan beliau tiada di rumah. Lantas Adun dan pengiring-pengiring menuju dengan Hilux ke rumah adik Ketua Kampung yang mengadakan kenduri kahwin di Jalan Imam pada hari ini. Kami lihat lima dari jalan kampong sudah diturap. Jalan Imam dan Jalan Utama dihadapan masjid juga bakal diturap. Ketibaan kami disambut Tok Latif Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam.

Sedang kami menikmati jamuan kenduri kahwin, kami dihubungi Cikgu Ma`sum minta kami datang. Rupanya masa kami tiba beliau dan isteri berada di bahagian belakang rumahnya dan tidak menyedari kehadiran kami. Selepas menikmati jamuan kahwin, kami berpatah balik menuju ke rumah Cikgu Ma`sum. Bila kami tiba beliau sudah berada di anjung rumahnya di atas kerusi sambil memegang tongkat. Cikgu Ma`sum adalah seorang guru yang pernah berkedudukan sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan Daerah Hulu Langat. Pada tahun 1970an beliau juga aktif sebagai pemimpin Umno di Sungai Ramal Dalam dan Daerah Hulu Langat. Beliau bolehlah disifatkan sebagai generasi terakhir guru yang dulunya menguasai kepimpinan Umno secara jujur dan ikhlas sebelum diambil alih kepimpinan oleh generasi korporat di bawah dorongan Dr. Mahathir. Cikgu Ma`sum adalah mantan pemimpin UMNO yang bukan mengambil kesempatan bagi kepentingan diri. Lantaran itu beliau hidup di dalam kampong sebagai orang kampung biasa.

Sebaik kami sampai kami memberi salam dan dijemput naik ke anjung. Beliau sukar untuk berdiri melainkan dengan bertongkat. Kami tidak membenarkannya berdiri sebaliknya kami datang bersalam dengannya seorang demi seorang.


Adun memulakan percakapan. Bagaimana Cikgu sihat? (Cikgu Ma`sum mendekati umur 70).

`Tubuh saya ni sihat, kecuali tidak dapat berjalan, boleh bergerak sedikit-sedikit dengan bertongkat,`` tambahnya. Sambungnya, ``Beginilah saya seharian, kadang di dalam rumah dan kadang di sini.`` Adun menambah, ``Kami datang untuk berziarah dan bertanya khabar tentang Cikgu setelah menziarah Cikgu dua tahun lalu.`` Beliau menjawab,
``Kita faham tujuan, apa lagi sekarang sudah masuk musim pilihanraya !`` Demikian sindir Cikgu Ma`sum secara direct, beliau menelah kehadiran kami. Ungkapannya membuat kami tertawa dan mencelah, ``Begitu ke Cikgu?``. Jawabnya,
``Kita faham,` sambil menambah, ``Saya ni Bekas Orang Politik dan sekarang saya sudah masuk fasa kedua pencen! Pencen sebenarnya dari pekerjaan dan pencen dari sebarang kegiatan politik!``

Beliau menegaskan, ``Saya sudah tinggalkan politik dan tidak lagi terlibat dengan politik. Saya tumpukan kepada satu hala, memenuhi masa bersisa beribadat kepada Allah.``

``Alhamdulillah,`` jawab kami.
``Tinggal berapa orang di rumah ini ?``tanya Adun.
``Berdua dengan isteri saya yang juga sudah uzur,`` sambil beliau berpaling kepada isterinya yang berada di dalam.`

Muslimat yang sama mengiring menemuinya dan bersalam dengannya di dalam.


Cikgu Ma`sum melafazkan syukurnya kepada Allah dan berpuashati dengan kurniaanNya, sambil menambah, ``Saya sudah uzur, tapi ini proses alam dan dikehendaki Tuhan, tapi saya berpuashati dengan kurniaan Allah, walaupun uzur, tapi kami masih sihat.`` Beliau menambah dengan keinsafan yang mencerminkan keredaannya,
``Apa lagi yang kita nak ! Masih hidup dapat menikmati makan minum rezeki Tuhan dan berpeluang beribadat kepadaNya.`` Tambah Cikgu Ma`sum, `` Saya mempunyai beberapa orang anak. Al-hamdulillah, mereka semuanya termasuk menantu adalah berjaya.``

Kami mencelah, ``Apa kerja mereka ?`` Beliau menjawab, ``Ada doktor, peguam dan engineer.`` Adun mencelah,
``Pada hujung-hujung minggu anak cucu pulang menziarah Cikgu berdua ?``
``Tidak`` jawabnya, ``Rumah-rumah mereka berada berdekatan di sini sahaja.``
``Alhamdulillah bahagianya Cikgu,`` tambah kami.

Cikgu Ma`sum menekankan, ``Saya seorang guru dan pernah berjuang dalam politik secara jujur dan tidak mengambil kesempatan.`` tambahnya,
``Walaupun saya tidak dapat dikatakan berharta, saya fikir dengan kejujuran kita, Allah balas dan kurniakan kita dengan cara lain seperti memberi rahmat terhadap kita dan keluarga kita.``

Kami sokong pendapatnya dan mengatakan, ``Benar Cikgu`` dan menambah,`` Sukar terutama kini untuk mencari mereka yang berjuang tanpa kepentingan``, tambah kami, ``Kalau Cikgu menjadi orang kaya, sudah tentu tidak tinggal di kampong, tetapi di taman perumahan berbanglo mewah.`` Beliau mencelah, ``Belum tentu saya bahagia duduk dengan keluarga dan anak-anak berdekatan. Bersyukur kita pada kurniaan Tuhan.``

Beliau memberi pandangan tentang politik, lantas menyampaikan pandangannya tentang politik, katanya,
``Berpolitik ni, macam orang jual ubat!`` tambahnya, ``Orang politik bersungguh-sungguh menjual politik pegangannya untuk diterima orang lain. Sekarang kita boleh dengar dakwaan-dakwaan tentang baiknya ubat politik yang mereka tawarkan.`` Beliau menekankan, ``Tidak semua baik dan mujarab!`` katanya.

Beliau berkata lagi, ``Rakyat tidak sakit dan tidak perlu menggadaikan diri pada obat politik yang tidak mujarab, bahkan boleh menyakitkan! Demikian tegasnya.
Beliau menyatakan, ``Kita tidak akan memberi sokongan kepada politik yang sakit, tetapi akan memberi sokongan kepada politik yang sihat. Sebab kita maukan kehidupan yang sihat!``

Akhirnya beliau berkata, ``Saya ni uzur, bila mengundi nanti, kalau orang tak datang mengambil, saya tak akan pergi,`` katanya.

Antara kami menjawab, ``Kami akan datang menjemput Cikgu terawal nanti, insya Allah.`` Demikian kami berjanji.

Sebenarnya kami tidak dapat membuat telahan terhadap pendirian dan kecenderungan politik Cikgu Ma`sum terkini. Walau macam mana kami berterima kasih di atas kesudian Cikgu Ma`sum Mantan Pemimpin Tempatan terkenal menerima kami.

Sebagaimana biasa mengakhiri pertemuan, kami menyampaikan sedikit buah tangan sebagai kenang-kenangan di atas penerimaan terhadap kami.

Sekian.

No comments:

Post a Comment