Bukit Mahkota, 28 Zulkaedah 1433 = 14 Oktober 2012 (Ahad):
Bagi program di atas Adun dikehendaki hadir bagi Penutupan Sukan jam 4.00 petang, tapi sebelum jam 1.00 tengahari Adun dihubungi lebih baik datang jam 1.00 tengahari. Oleh kerana saudara Azizi baru pulang ke rumahnya, maka Adun tidak mau mengganggunya, lantas pergi berseorangan ke Bukit Mahkota dan bersolat zohor di Surau Apartment Nuri, Seksyen 4, Bukit Mahkota. Sebelum ke Padang Sukan Adun bercakap dengan Ustaz Zubair selaku Pengarah Sukan tentang masalah sosial yang dihadapi masyarakat setempat. Perumahan bagi Seksyen 4, Bukit Mahkota adalah terdiri dari 8 buah apartment tiga bilik terdiri dari 2,500 penghuni. Penduduk rata-rata adalah dari kalangan orang muda dan mempunyai keluarga dalam mana anak-anak sedang bersekolah rendah di samping ada yang sudah bersekolah menengah. Apa yang merisaukan kata Ustaz, ``Anak-anak di sini lebih suka berada di luar rumah sehingga antara mereka jam 10.00 malam baru balik untuk tidur. Jadi masa mana mereka mengulangkaji pelajaran ? Mungkin mereka tidak selesa untuk tinggal dalam rumah. Yang membimbangkan situasi sedemikian boleh menyumbang kepada gejala sosial, terutama bagi generasi yang sudah remaja. Menurut Ustaz Zubair yang juga AJK Surau Apartment Nuri,
``Kami mengadakan sukan ini untuk menghimpun remaja-remaja melibatkan diri dengan kegiatan yang positif, sambil menarik mereka ke surau.`` Memanglah semasa Adun tiba di surau sebahagian dari jamaah yang menunaikan solat zohor adalah dari kalangan remaja.
Dari surau kami berjalan kaki ke padang yang terletak antara blok apartment, kami lihat begitu ramai dengan anak-anak yang di dalam lingkungan sekolah rendah membenarkan apa yang dikatakan oleh Ustaz Zubair. Di Padang bersama ialah Pengerusi Surau En. Hasrul dan Setiausaha saudara Nizar. Semasa menunggu Majlis Penutup terdapat dua lagi pertandingan akhir, iaitu pertandingan sepak remaja dan peraduan `Mencarik Kertas Terpanjang` untuk dewasa (Bapa-Bapa). Dari jadual yang disusun antara program yang telah berlalu ialah tazkirah bertajuk, ``Peranan Belia Islam dan Do`a`` oleh Al-Fadhil Ustaz Nasir (Ada hubungan setengah pelajar di dalam mood peperiksaan), Pertandingan bola sepak bawah 12 tahun (8 pasukan – satu pasukan dari setiap blok), Bola sepak terbuka juga satu pasukan dari setiap blok, Sukanika di bawah 12 tahun juga satu pasukan dari setiap blok, Sukanika Individu terbuka dan dewasa.
Dalam ucapan Adun sebelum penutup dan penyampaian hadiah, Adun memuji hasrat murni penganjur yang mau mendidik anak-anak yang mendiami apartment di sini agar berjinak dengan surau. Adun juga mencadangkan diadakan program berterusan bagi mendidik anak-anak berkenaan dengan kerjasama ibu bapa. Antaranya mengadakan kelas bimbingan agama, Membaca Al-Qur`an, Kelas Tuisyen, sukan secara berjadual, gotong royong, retreat dan perkelahan, mengadakan sambutan-sambutan perayaan, hari keluarga dan lawatan-lawatan. Boleh difikirkan untuk mengadakan Pusat Komuniti, Mendaftar semua penduduk dan keluarga ke dalam data maklumat, Mewujudkan Perpustakaan yang diisi bukan saja buku-buku, bahkan alat-alat computer. Ini semuanya memerlukan ruang, tetapi yang lebih penting ada tenaga yang mau menggerakkan semua kegiatan bagi mendidik anak-anak generasi sebagai pelapis generasi pada masa hadapan. Adun berharap anisiatif yang diambil AJK diteruskan bahkan ditingkatkan.
Pada akhirnya Adun menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang bagi berbagai jenis dan kategori sukan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment