October 21, 2012

YB Dr. Ahmad Yunus Rasmikan Gelanggang Futsal Dun Bangi Di Kajang Utama: Mengapa Pembinaan Tidak Menurut Spesifikasi Pekej Ditentukan ?

Kajang Utama, 04 Zulkaedah 1433 = 20 Oktober 2012 (Sabtu):

Jam 5.30 petang ini dalam cuaca yang baik (5 hari sebelum ini hujan setiap petang) YB Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu Dan Warisan Negeri Selangor, Belia Dan Sukan merasmikan Gelanggang Futsal Kawasan Dun Bangi bertempat di Padang Permainan Kajang Utama. Kehadirannya disambut oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj dan saudara Adram Musa juga Ahli MPKj. Turut hadir ialah Tuan Haji Ibrahim Martibi Pengerusi Rukun Tetangga Kajang Utama, saudara Rizal Ketua Persatuan Penduduk Kajang Utama dan saudara Azmi Ketua Lajnah Masjid-Surau Adun Bangi, saudara Abu Bakar Pengurus Sambutan, AJK, pasukan-pasukan pertandingan dan orang ramai.

Menurut YB Dr. Ahmad Yunus dalam ucapan perasmiannya, ``Penduduk amat bertuah, terutama di Kajang Utama kerana di tempat ini dipilih bagi pembinaan gelanggang futsal. Gelanggang ini lebih kukuh kerana berpagarkan jaringan besi yang lebih yang tidak berkarat, juga disediakan lampu lempah yang membolehkan gelanggang digunakan pada waktu malam. Walau bagaimana YB Dr. Ahmad menyatakan ada perbezaan gelanggang di sini dengan spesifikasi yang sepatutnya bagi, ``Package Dataran Anak Muda & Gelanggang Serbaguna`` yang seharusnya package lengkapnya terdiri dari Satu Padang Futsal, Satu Padang Gelanggang Bola Jaring, Satu Gelanggang Sepak Takraw, Ada Wi-fi, Skreen Tayangan, Stage Pementasan dan Ruang Tertutup bertarmix dan Bilik Air.`` Tambah YB Dr. Ahmad, ``Di tempat-tempat lain seperti di Bukit Antarabangsa (termahal) dengan peruntukan RM200,000 dapat dibina lengkap sebagaimana package di atas.`` Tambah Dr. Ahmad. `` Menurut Dr. Ahmad kemudahan Dataran sedemikian dibina di semua 56 Dun di Selangor.`` Kata Dr. Ahmad, ``Kita sedang melakukan fasa kedua, iaitu menaik taraf gelanggang yang sedia ada. Bagi projek ini Bangi juga membuat permohonan.``

Sebelum dari itu, Adun Bangi ketika berucap mengucapkan terima kasih kepada YB Dr. Ahmad selaku Exco Adat Resam Melayu & Warisan Negeri Selangor, Belia Dan Sukan kerana memilih Dun Bangi bertempat di Kajang Utama bagi mendirikan Gelanggang Futsal. Lokasi pilihan ini adalah luas dan mempunyai padang bola, court takraw dan badminton bersama gelanggang Futsal yang baharu. Adun Bangi berharap dengan persediaan padang-padang permainan dapat melatihkan pemain-pemain dalam berbagai bidang dan berharap akan muncul dari Bangi ramai pemain professional yang akan mengangkatkan nama Bangi pada peringkat nasional dan antarabangsa. Ini tidak mustahi, misalnya dari Sungai Tangkas melahirkan Safi Sali, dari Kuala Langat melahirkan jaguh-jaguh badminton dunia dari anak-anak Hj. Sidek dan sebagainya. Bagi melahirkan bakat-bakat di dalam berbagai-bagai bidang sukan, maka kita sentiasa menganjurkan pertandingan-pertandingan seperti bola sepak, Futsal, badminton dan takraw setiap tahun.

YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang yang juga dijemput berucap menyatakan gelanggang futsal dapat menawarkan kepada anak-anak muda melibatkan diri di dalam kegiatan sukan dan tidak membiarkan masa berlalu tanpa melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Beliau juga menyebutkan peruntukan-peruntukan yang disediakan oleh kerajaan melalui Selangorku dan juga melalui Skim Merakyatkan Ekonomi di negeri Selangor. Beliau menyebut pendapatan kerajaan negeri Selangor dan reserve juga makin bertambah. Beliau berharap rakyat bersyukur dan terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang memerintah kini.

Upacara Sambutan Dan Perasmian Futsal pada petang ini sengaja digabungkan elemen seni dan warisan, misalnya sambutan secara berkompang bagi setiap pemimpin yang tiba, pertunjukan silat dengan berlatarbelakangkan muzik silat yang bersemangat. Bagi Majlis Perasmian pada hari ini program diatur dengan mengadakan pertandingan Futsal Jemputan pasukan di bawah 12 tahun (5 pasukan), Pasukan di Bawah umur 15 tahun (5 pasukan), Pasukan Terbuka (5 pasukan) dan Pasukan Jemputan Dewasa (5 Pasukan).

Bagi Acara Perasmian YB Dr. Ahmad Yunus diminta menandatangani plak di dinding bangunan. Beliau juga menyampaikan hadiah-hadiah bagi yang menang dan yang menyertai pertandingan:

Keputusan: 

12 tahun kebawah
Johan Pasukan dari Seksyen 7 A
Naib Johan Pasukan dari 4/J

Di Bawah 15 Tahun
Johan Pasukan dari 7 B
Naib Johan Seksyen 7 A

Pasukan Terbuka
Johan Pasukan Bukit Langat
Naib Johan Pasukan Kajang Sentral

Pasukan Veteran
Johan Pasukan Dari Desa Baiduri
Naib Johan Pasukan dari Kajang Utama.

Selepas YB Dr. Yunus menyampaikan hadiah dan cenderamata, Adun Bangi berbincang dengan YB Dr. Ahmad Yunus, bahawa jika kelengkapan sebagaimana package yang diatur masih belum lengkap, pihak Adun dan Ahli MPKj akan membincangkan perkara ini, bahkan mendesak pihak Pejabat Daerah atau MPKj menjelaskan mengapa pembinaan Gelanggang Futsal di sini tidak menurut spesifikasi yang ditetapkan sebagaimana sepatutnya sebagaimana disebutkan oleh YB Dr. Ah,mad Yunus.

Sekian.

No comments:

Post a Comment