October 16, 2012

Kejohanan Badminton Merebut Piala Adun Bangi

Sungai Tangkas, 28 Zulkaedah 1433 = 14 Oktober 2012 (Ahad):

Setiap tahun Adun Bangi menganjurkan kejohanan-kejohanan baik bagi futsal, bola sepak, takraw dan badminton. Pada hari ini diadakan Pertandingan Kejohanan Badminton merebut Piala Adun Bangi. Persediaan bagi kejohanan ini telah dilakukan sejalan sebulan yang lepas di bawah Lajnah Sukan Adun yang diketuai saudara Dahari Embong dan jawatan kuasanya. Kejohanan ini berlangsung di gelanggang badminton di Sungai Tangkas. Pagi ini jam 9.00 pagi Adun datang bagi merasmikan pertandingan Kejohanan Badminton di atas. Turut hadir saudara Adram Musa Ketua Pemuda Serdang.

Menurut saudara Dahari, ``Pertandingan kali ini tidak dibuat secara terbuka, tetapi dihadkan kepada kawasan Dun Bangi dan Kajang sahaja.`` Menurut saudara Dahari, ``Ini ialah kerana jika dibuat secara terbuka, maka tujuan bagi memupuk bakat bagi peserta tempatan tidak tercapai, kerana yang menguasai permainan dan menang adalah peserta-peserta luar, jadi dihadkan kepada kawasan Dun Bangi dan Kajang, bagi memberi peluang peserta-peserta dari Bangi dan Kajang mengasah bakat, bahkan memenangi pertandingan yang dianjurkan.``

Walaupun dihadkan peserta-peserta pertandingan kepada kawasan Bangi dan Kajang, permohonan bagi menyertai pertandingan amat menggalakkan. Sebanyak 64 regu telah mendaftarkan diri untuk pertandingan. Hanya pertandingan beregu ditawarkan dan tidak secara single. Difahamkan untuk menjaga masa yang jika diadakan secara single, maka satu hari pertandingan tidak cukup masa. Yuran pendaftaran serendah RM40.00.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan:

Johan Beregu - RM500
Naib Johan - RM400
Ketiga - RM300
Keempat - RM200
Johan beserta Piala Kejohanan

Dalam ucapan perasmian Adun Bangi mengucapkan terima kasih kepada AJK penganjur yang bekerja bertungkus lumus bagi menjayakan pertandingan. Terima kasih juga kepada peserta-peserta yang memberi respon yang baik terhadap tawaran pertandingan.. Tujuan pertandingan menurut Adun Bangi, ialah bagi mencungkil bakat dikalangan belia di dalam bidang badminton dan mengharapkan ada dari peserta kelak meningkat kepada peringkat Negara, bahkan antarabangsa. Menurut Adun, ini bukan mustahil. Adun juga memaklumkan pihak kerajaan negeri menyediakan Kompleks Sukan Dun bertempat di Kajang Utama, khusus untuk futsal dan akan dirasmikan pada minggu hadapan (21 Oktober) yang akan dirasmikan oleh YB Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Adun berharap pihak belian dapat menggunakan kompleks sukan di sini untuk berlatih dan pertandingan.

Bagi pertandingan kali ini Kelab Team Bangi paling banyak menghantar peserta ialah sebanyak 10 regu. Daripada peserta-peserta yang mengambil bahagian terdapat peserta muda, iaitu Wan Ahmad Ikmal (13), Naim (14), Mohd Ali Haffiz (15) dan Mohd. Hakim (15), terdapat juga peserta veteran yang memang meminati badminton dan dimana ada pertandingan beliau sering menyertai.

Pertandingan sehari suntuk sampai ke petang. Keputusan adalah sebagaimana berikut:

Johan : Pasukan Shutter 2 (Hafiz ; Lutfi)
Naib Johan : Shutter 3 (Izwan ; Aiman)
Tempat Ketiga : BBRC (Zuhaizad ; Akmal Hakim)
Tempat Keempat : My Sport (Abdul Rahman ; Sudirman)

Semua peserta selain menerima wang tunai turut menerima medal. Johan memenangi Piala Adun.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ustas Shafie Ngah Ahli MPKj pada sebelah petang.



Sekian.

No comments:

Post a Comment