October 5, 2012

Bangi Juga Tempat Subur Dengan Perkembangan Pendidikan Pra-Sekolah

Bandar Baru Bangi, 13 Zulkaedah 1433 = 29 September 2012 (Sabtu):

Bangi tidak saja terkenal dengan banyaknya Masjid-Surau, Pengajian Tinggi, NGO-NGO Islam, tetapi juga subur dengan pendidikan pada peringkat pra-sekolah. Kesuburan ini diakibatkan oleh kesedaran ibu bapa terpelajar betapa pentingnya didikan anak-anak dimulakan sejak dari pra-sekolah. Menghantar anak-anak pada peringkat pra-sekolah ini seolah-olah sebagai satu kemestian sebagai pengajian pada peringkat rendah dan menengah. Dengan adanya kesedaran tinggi membuka ruang bagi badan-badan dan pengusaha-pengusaha persendirian membuka pendidikan pada peruingkat pra Sekolah. Lantaran itu di Bangi terdapat berbagai-bagai jenis pendidikan pada peringkat pra-sekolah. Antara yang terkenal ialah:

1) Pasti dikendalikan oleh Badan Organisasi Islam
2) Taski yang diusahakan oleh ABIM
3) Tabika dikendalikan oleh KEMAS
4) Tadika Aulad dikendalikan secara persendirian (Awlad Centre)
5) Genius Aulad dikendalikan oleh Badan Persendirian
6) Smart Reader dikendalikan oleh Badan Persendirian
7) Taska dikendali secara swasta
8) Genius Kid Centre - Persendirian
9) Smart Learn - Persendirian
10) Tadika ABC dikendalikan oleh Badan Persendirian

Bagi setiap pusat pendidikan pra-sekolah ini biasanya tidak hanya sebuah sahaja, tetapi biasanya mempunyai rangkaian dan cawangan di tempat-tempat yang lain bagi memperkembangkan misi pendidikan dan juga ekonomi dari segi operasi dan pulangan.


Antara yang banyak rangkaian ialah Pasti. Menurut saudara Shahrul Nizam Pengerusi Pasti Serdang, ``Pasti di Bangi mempunyai 17 rangkaian dengan murid-murid berjumlah sebanyak 1,500 orang.`` Biasanya pendidikan pra-sekolah di Dun Bangi adalah mengambil pendekatan pendidikan yang berorientasikan Islam contoh Pasti, Taski dan jenis-jenis pendidikan pra-sekolah yang lain. Pendidikan ini mengutamakan pembacaan al-Qur`an, fardu ain, bahasa Arab dan akhlak termasuklah cara berpakaian. Adapun KEMAS adalah lebih bersifat untuk semua kaum dan terletak di bawah kerajaan Persekutuan.


Untuk melengkapkan anak-anak dengan pendidikan semasa, seperti di Bandar Baru Bangi dan untuk menarik perhatian dan sokongan ibu bapa, setengah pusat pendidikan pra-sekolah ini menawarkan pendidikan bahasa Inggeris, bahkan setengan pusat pendidikan memberi nama pusat pra-pendidikan dengan nama bahasa Inggeris. Contoh Smart Reader dan Smart Learn, bahkan ada yang bercampur aduk antara bahasa Inggeris, Arab dan Melayu contoh Aulad Centre, Genius Aulad, Tadika Aulad dan sebagainya.


Yuran bagi sesebuah pendidikan pra Sekolah adalah standard bagi jenama biasa. Misalnya yuran bagi Pasti antara RM60 kepada 100, tetapi ada yang mau menampilkan imej dan penampilan yang canggih mengenakan yuran yang tinggi yang mampu ditanggung oleh yang berada. Contoh ada yuran setinggi RM400/= sebulan.


Pendidikan pra-sekolah, khususnya di Bangi terus berkembang dan tidak terlepas dari pertandingan. Yang maju adalah yang sudah establish dengan sistem pendidikan dan sudah dikenal pasti oleh ibu bapa. Misalnya Pasti menganjurkan pendidikan keislaman yang hasil dari pendidikannya terkenal bermutu dan berjaya mengeluarkan murid-murid yang berorientasikan keislaman, Misalnya mampu membaca Al-Qur`an, mampu mengamalkan fardu dan akhlak yang baik. Identiti Pasti adalah diyakini dan ibu bapa terus memberi kepercayaan dengan menghantar anak-anak mereka ke Pasti.

Salah sebuah pendidikan yang baru muncul di Bangi ialah Tadika ABC. Pada 29 September lepas Adun dijemput merasmikan Majlis Tahfiz Tadika berkenaan yang diadakan di Surau Al-Ukhwah, Seksyen Lapan BBB. Hadir sama ke dalam majlis ialah Pengerusi Tadika Puan Nur Faezah, Tuan Abdul Rashid bin Ibrahim Pengerusi Surau dan Tuan Haji Roshdi bin Mohd Ali Imam Surau. Menurut Puan Faezah,
``Tadika ABC mulai beroperasi sejak tahun lepas dan kini mempunyai 5 buah cawangan yang kebanyakannya di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi dan murid setakat ini 135 orang.``


Sebagaimana pra-sekolah yang lain di BBB, Tadika ini juga menekankan pendidikan Islam, bahasa Inggeris, bacaan al-Quran dan hafalan sebagaimana hari ini ada pembaca dan penghafal surah yang menjadi sebahagian dari pada agenda Majlis Tahfiz. Menurut Puan Faezah, ``Ini adalah majlis pertama kali diadakan oleh Tadika ABC.``



Adun Bangi dalam ucapan perasmian, mengalu-ngalukan kehadiran Tadika ABC di Bandar Baru Bangi dan berharap pendidikan yang ditawarkan dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang maukan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Dengan kehadiran Tadika ABC bertambah semaraklah Bangi dengan kepelbagaian pendidikan pada peringkat pra-sekolah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment