October 8, 2012

Pemaju Abai Kebersihan Di Impian Putra: Penduduk Dan Adun Terpaksa Mengadakan Gotong Royong

Impian Putra, Dun Bangi, 21 Zulkaedah 1433 = 21 Oktober 2012 (Ahad):

Taman Impian Putra, Dun Bangi mulai dihuni 2007. Pemaju bagi Taman ini ialah Dasar Beringin di bawah Furcan Group yang pejabatnya di Jalan Sungai Besi – Berhampiran tol Sungai Besi. Pemaju hingga kini belum menyerahkan Taman tersebut kepada pihak MPKj, kerana ada lagi bangunan yang akan didirikan, termasuklah rumah kos rendah dan pasar di tepi sungai berhampiran dan bersempadan dengan Pekan Bangi. Tanggungjawab menjaga kebersihan dan infra-struktur adalah masih di bawah Pemaju. Masalahnya Pemaju mengabaikan dari segi menjaga kebersihan dan infra-struktur menyebabkan jalan rosak, kiri-kanan dan pertengahan pembahagi jalan dinaiki semak samun. Ini menyebabkan Persatuan Penduduk dan melibatkan Adun mengambil tindakan membersihkan kawasan. Ini berlaku berulang-ulang. Jalan antara Impian Putra dan Pekan Bangi sebagai `No Man Land` dan terabai. Pada tahun lepas Adun terpaksa mengeluarkan peruntukan membaiki jalan dan al-Hamdulillah jalan ini masih baik. Bagi menjaga kebersihan sudah beberapa kali diadakan gotong royong membersih semak samun.

Hari ini Persatuan Penduduk yang diketuai Encik Azmi sekali lagi mengadakan gotong royong dan Adun turut sama turun. Yang hadir selain dari En. Azmi, ialah Encik Ahmad Khair Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Encik Hamdan Dahlan Pengarah Gotong Royong dan 40 peserta gotong royong.

Adun ditaklimatkan oleh En Azmi, Encik Hamdan dan En. Ahmad Khair bahawa fokus gotong royong pada hari ini tertumpu kepada:

1) Membersih longkang dari kotoran dan sampah yang menghalang larian air.
2) Membersih kawasan bulatan dari semak lalang dan gangguan.
3) Memotong pokok-pokok di bahagian belakang rumah bersempadan dengan reserve sungai
4) Membersih kawasan reserve sungai dari semak samun
5) Membersih kawasan tadahan air untuk mengelak dari banjir.

Adun yang tiba pada jam 9.00 menyertai gotong royong dan merasmikannya dengan memotong semak di belakang rumah dengan menggunakan mesin pemotong rumput. Manakala ramai pula yang membersih kawasan reserve sungai dari semak samun di belakang rumah. Menurut penduduk binatang berbisa mengancam keselamatan mereka.

Menurut En. Azmi, `` kawasan tadahan dibelakang rumah memang baik, kerana ia dapat menakungkan air, jika berlaku hujan lebat. Namun walaupun ada kawasan tadahan, tapi oleh kerana parit tersumbat, maka air melempah dan membanjirkan kawasan rumah.`` sedangkan kawasan tadahan tidak menerima air yang dapat mencegah dari banjir. Sebab itu pada hari ini tumpuan juga diberi kepada membersih longkang yang mengarah kepada kawasan tadahan.

Sebahagian dari peserta-peserta gotong royong menumpukan kerja-kerja pembersihan di dalam longkang jalan utama yang menghubungkan Impian Putra dengan Pekan Bangi dan Bandar Seri Putra. Kelihatan berpuluh orang membersih dan mengaut kotoran ke atas untuk dilonggok bagi diangkut, manakala longgokan yang bersih dijadikan baja bagi pokok-pokok hiasan. Mereka juga memotong lalang dan rumput pada jalan utama dan kelihatan jalan ini lebih bersih dari sebelumnya.

Menurut Encik Hamdan Pengarah Gotong royong, ``Semak dan halangan pada bulatan bagi jalan utama menyebabkan sering kali berlaku kemalangan, kerana kenderaan tidak dapat dilihat kerana halangan tembok didirikan di tengah bulatan dengan nama Taman Impian Putra. Beliau meminta tambahan pekerja membersihkan kawasan bulatan.

Kata Encik Azmi, ``Semua pihak menganggap tembok di tengah bulatan menghadang pandangan, patut dirobohkan dan digantikan dengan papan nama bertiang tinggi yang tidak menghalang pandangan pengguna jalan. Pendeknya keselamatan harus lebih diutamakan.

Menurut En. Azmi, ``Pada hari ini patutnya MPKj menghantar lori untuk mengangkat bahan-bahan yang dipotong dan sampah, tapi yang datang kenderaan petrol untuk meninjau sahaja. Kami terpaksa gunakan kenderaan ahli yang ada lori untuk mengangkat sampah,`` katanya dengan nada kecewa.

Untuk menjalankan gotong royong ini Adun Bangi menyumbangkan sejumlah RM500/= untuk digunakan bagi keperluan gotong royong berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment