BBB, 17 Zulkaedah 1433 = 03 Oktober 2012 (Rabu):
Jam 10.00 pagi ini Adun Bangi bersama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan pengiring-pengiring keluar melihat tiang-tiang lampu jalan dipasang antara UKM ke Jalan Pekan Bangi. Pihak JKR bagi pihak Negeri Selangor sebelum ini memaklumkan bahawa permohonan yang dibuat bagi memasang lampu di jalan di atas dan meluaskan jalan kepada dua lane bagi dua hala dari Jalan Reko ke UKM akan di naiktaraf bagi fasa pertama dan akan diikuti penaikan taraf jalan dari UKM ke Pekan Bangi bagi fasa kedua.
Hari ini kami keluar bagi melihat tiang-tiang lampu yang telah dipasang. Hadir sama ialah pegawai dari JKR yang diwakili saudara Hamidi selaku OIC Office Incharge dan saudara Mohd Shahrazi – Incharge bahagian letrik. Sebelum ke Jalan UKM – Pekan Bangi, kami bertemu di Restoran Koperasi UKM di tepi jalan di sini. Turut sama Pemberita-Pemberita dari Sinar, Sin Chew, China Press dan Nanyang Siang Pau. Keperluan penaikan taraf jalan dan infra-struktur ini pernah dibawa dalam Dewan Negeri Selangor oleh Adun Bangi dan di Parlimen oleh YB Teo Nie Ching.
Menurut En. Hamidi Projek Jalan antara UKM – Pekan Bangi dikenali sebagai B 17. Jarak antara kedua tempat bagi projek penanaman tiang-tiang lampu adalah sejauh 5 km. dengan kos sebanyak RM250,000. Tiang-tiang dipasang adalah dari tiang-tiang yang pernah diguna, selain dari simpanan di JKR Hulu Langat, antaranya dibawa dari JKR Gombak. Menurut En. Hamidi pemasangan tiang-tiang berkenaan dibahagi kepada 5 syarikat (Satu KM setiap syarikat = 14 batang tiang bagi satu kontrektor):
1) Electric Setuah
2) Khidmat Jaya Engineering
3) Dinurai Trading
4) ANR Letrik Enterprise
5) Zeksha
Menurut En Hamidi jumlah tiang yang akan dipasang berjumlah sebanyak 70 tiang. Sebelum ini, kelmarin (Selasa 2 Oktober) semasa melawat ke Pekan Bangi Adun Bangi telah membilang tiang yang dipasang sudah berjumlah sebanyak 49 tiang. Ini bermakna sebanyak 21 tiang perlu dipasang lagi hingga ke Pusat Penyelidikan Atom di Jalan UKM – Bangi. Selepas daripada itu sudah ada tiang dari Pusat Penyelidikan Atom ke Bangi. Yang perlu ditambah ialah pemasangan lampu. Perlu disebutkan bahawa Projek Pemasangan Lampu ini ialah dari peruntukan Selangorku. Pemasangan tiang-tiang yang bermula seminggu selepas raya ini dijangka siap dalam seminggu dua lagi, tetapi untuk mendapat kelulusan api dijangka memakan sedikit masa. Wiring dari tiang ke tiang ialah dipasang secara gantung (ABC Cable), bukan melalui cable dalam tanah. Ini ialah kerana pemasangan adalah bersifat sementara. Bila pembesaran jalan dibuat bagi fasa kedua, tiang-tiang lampu ini akan di ubah dan ditukar kepada yang lebih baharu. Selepas sesi penerangan yang dilakukan di Restoran Koperasi UNIKEB, kami bergerak ke Jalan UKM – Bangi dan singgah di persimpangan jalan Teras Jernang melihat tiang-tiang yang dipasang di sini dan juga singgah pada penghujung tiang yang dipasang setakat ini sebelum Pusat Tenaga Atom di sini. Kami dapati walaupun tiang-tiang yang dipasang pernah digunakan, sebenarnya tiang-tiang ini masih baik dan akan kelihatan baru jika dicat kembali. Tindakan yang dibuat, iaitu menggunakan tiang yang sedia ada ini adalah untuk mengelak dari pembaziran.
Selepas melihat tiang-tiang yang dipasang Adun mempelawa YB Teo Nie Ching untuk menyertai Adun bagi melihat jalan-jalan yang sedang dinaiktaraf di Kampung Sungai Ramal Dalam (disertai sama pemberita-pemberita). Kg. Sungai Ramal Dalam adalah Kampung Permulaan dipilih pada peringkat Persekutuan dijadikan Kampung Projek Pemulihan bagi kampong yang masih ketinggalan, kerana dikelilingi pembangunan Bandar di sekelilingnya. Kehadiran kami disambut oleh Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam En Lateb bin Manan. Kami melihat jalan utama dari Seksyen 8 Bandar Baru Bangi yang sedang dibaiki perparitan dan berikutnya akan diturapkan. Pembaikan jalan ini membawa ke Bangunan Latihan Perindustrian (SME) dan perparitan juga akan dibuat sebagaimana penaikan taraf akan dibuat bagi perparitan di dalam kampung.
Sementara itu 5 batang jalan dalam kampung Sungai Ramal Dalam sudah dan sedang diturap yang menurut Ketua Kampung, pembaikan dilakukan oleh pihak Syabas, kerana pihak Syabas pernah menggali bagi penyambungan dan kemasukan paip-paip. Adun sendiri pada tengahari ini berkesempatan melihat kerja-kerja menurap salah satu jalan yang sedang dilakukan penurapan.
Sebelum dari ini pada 28 September Adun bersama Ketua Kampung Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir melawat kawasan berdekatan Sekolah Leftenan Adnan dan melihat dua batang jalan yang baru diturap – sebuah 400 meter panjang dan sebuah lagi 250 meter panjang dengan 15 kaki lebar di sini bersama dengan pembinaan perparitan. Projek siap dan digunakan sejak awal September. Penduduk gembira setelah permohonan mereka menurap jalan sejak lama dapat kami tunaikan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment