Shah Alam, 19 Zulkaedah 1433 = 05 Oktober 2012 (Jumaat):
Jam 3.00 petang hari ini ada Majlis Pertemuan dengan YAB Dato` Menteri Besar Selangor, maka Adun sengaja berpakaian baju Melayu bersamping dan bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang kemudian menghadiri Majlis pertemuan. Dengan tujuan berikutnya untuk menghadiri Forum Perdana `Cintai Rasulullah S.A.W. -Menentang Penghinaan Terhadap Rasulullah S.A.W. selepas Maghrib. Majlis adalah anjuran JAIS dengan kerjasama Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Adun dapati tema ``Tentangan Terhadap Penghinaan Rasulullah S.A.W. ini disampai dan dapat dihayati dari Khutbah yang diungkapkan oleh Khatib Jumaat pada hari ini yang tema khutbah adalah juga Tentangan Terhadap Mereka Yang Menghina Rasulullah S.A.W. Tema tentangan bukan saja terhadap film penghinaan yang menjadi fokus semasa, tetapi menurut khutbah – antaranya datang dari sekularis dari kalangan umat Islam sendiri seperti yang dilakukan oleh Salman Rashidi yang berasal dari Pakistan dan Taslima dari Bangladish – lebih-lebih lagi dari pihak anti Islam seperti penggunaan film oleh musuh Islam dari Amerika. Khutbah bukan setakat mengecam, tetapi menganjur pemboikotan terhadap produk berasal dari Negara yang tidak menghormati pegangan agama umat Islam. Tema penentangan ini juga dibawa di dalam khutbah kedua.
Forum sebenarnya adalah selepas solat Maghrib pada hari Jumaat itu. Dalam hal ini selepas Majlis Pertemuan Adun berada di Kantin Masjid sehingga tibanya waktu Maghrib. Panel Forum pada malam ini terdiri dari Ybhg. Prof. Dato` Dr. Harun Din, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Mohamad Abdullah, manakala moderator bagi forum ialah Ustaz Mohd Shukri Yusof. Sebagai pembuka forum Dato` Dr. Harun Din menggalurkan tentang keturunan Nabi Muhammad S.A.W. adalah dari keturunan Anbiya` yang terpelihara nasab dan merupakan anak keturunan yang suci lagi sah dan diakui Allah sebagai seorang yang mempunyai akhlak yang agung (Al-Qalam: 4). Syahadah dan kepujian terhadap Baginda berterusan, lantas Panel pertama ini bertanya, adakah wajar seorang termulia dan dipuji Allah ini dikeji?
Menurut Ustaz Zaharuddin yang nampaknya pada permulaan sedikit bersifat skeptis, keberanian musuh menghina terhadap Nabi yang disanjung umat Islam dan setengah dari yang bukan Islam ialah kerana kelemahan umat Islam sendiri. Kerana kelemahan umat mereka berani melakukan kehinaan. Namun Ustaz Zahiruddin berikutnya menganjur penentangan secara tanzim. Misalnya bila mereka keluarkan film, kita juga mengeluarkan film lebih bermutu menentang mereka. Ustaz Mohamad Abdullah menekankan kemuliaan Rasulullah dan kemuliaan umat yang menyuruh membuat baik dan meninggalkan larangan. Umat Islam dituntut berakhlak mulia dan seharusnya peribadi ini perlu dihormati, kerana mereka membawa keharmonian dan kesejahteraan. Forum seterusnya dibuka kepada pertanyaan-pertanyaan dan kesimpulan yang dibuat oleh Dato` Dr. Haron Din.
Sebenarnya penentangan sengaja dibuat oleh musuh Islam dengan beberapa objektif. Penulis buku dan penghasil film melakukan penghinaan bagi tujuan peribadi dan komersil. Seorang penulis yang tak popular, tetapi ingin mencapai popular sanggup mencari jalan pintas segera terkenal dan melariskan buku seperti Salman Rushdi sanggup mengambil pendekatan negative terhadap Islam kerana mau segera popular yang dia menghadapi risiko. Demikian pembuat film yang tidak terkenal, juga mau menjadi terkenal mengambil jalan pintas dengan menghasilkan film yang bersifat penghinaan. Penghasil juga menghadapi risiko. Kesengajaan yang lain ialah kesengajaan dari musuh Islam seperti Yahudi dan sekularis untuk melemah dan memecahbelah dan merosakkan perpaduan umat Islam dengan percaturan antara kepentingan dan risiko.
Kita melihat respon spontan umat Islam menunujukkan bahawa keimanan dan maruah tidak boleh dijual beli dan mereka bangkit serentak dari berbagai Negara Islam dari berbagai penjuru dunia. Mereka bersatu menentang penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W. yang bererti penghinaan juga terhadap umat Islam. Ini adalah amaran kepada dunia adakah mereka mau menggadaikan keamanan dunia yang dinikmati bersama atau sebaliknya. Agak sukar menenangkan kembali kemarahan umat Islam. Mereka boleh pergi jauh daripada itu, tetapi mereka masih berada digaris sempadan kesabaran dan mereka sedikit menarik kembali senjata kemarahan yang bila-bila masa boleh dihunuskan.
Kedua, peristiwa penghinaan ini seharusnya memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa mereka mempunyai kekuatan dan kekuatan ini hendaklah disatukan sebagai kekuatan ummah yang dapat digunakan bagi berbagai tujuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment