October 2, 2012

Beberapa Anekdot Tokoh-Tokoh (Datuk Seri Anwar, Tan Sri Khalid & Dato A. Samad Said)

1) "Saya Naik Jet Peribadi Rakan Untuk Elak Dari Gangguan" Dato' Seri Anwar Ibrahim

Ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketua Pembangkang dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor bagi meraikan Dato` A. Samad Said sebagai Sasterawan Tamu Negeri Selangor pada 26 September 2012 di Dewan Orkid PKPS, Shah Alam jam 5.00 petang, Datuk Seri diiringi terlebih dahulu ke Bilik Tamu sebelum majlis bermula. Meraikan beliau dibilik tersebut ialah Tan Seri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor, YB Hajah Radziah bt. Ismail Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga memberi perhatian kepada Kebudayaan sebagai Penganjur bagi Majlis Keraian juga YB Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi Perbadanan Adat Dan Kebudayaan Melayu yang bekerjasama bagi menjayakan Majlis Keraian.


Dalam percakapan bersama Datuk Seri timbul isu yang hangat diperkatakan oleh akhbar-akhbar pada masa itu, iaitu perihal Datuk Seri Anwar menggunakan jet dalam kempen di Sabah dan Sarawak pada pertengahan bulan September yang disifatkan sebagai begitu mewah. Dengan nada sinis dan senyum Datuk Seri Anwar menyatakan,
"Adakah hak menaiki jet istimewa kepada Dato` Seri Najib dan Rosmah saja?" Tambah Datuk Seri Anwar, "Bahawa jet peribadi yang saya gunakan bukanlah milik saya, tetapi adalah milik rakan." Soal Datuk Seri lagi,
"Mengapa bila saya gunakan dipersoalkan, tetapi tidak orang lain?"
Tambah Datuk Seri,
"Bila saya gunakan motokar, kenderaan saya dilontar dengan batu!" katanya lagi,
"Bila saya menaiki bas, bas yang saya naiki disimbah dengan cat!"

Tekan Datuk Seri, "Saya gunakan jet untuk keselamatan! Mereka tidak dapat mengganggu saya seperti di bumi. Berilah peluang kepada saya, saya juga mempunyai hak!" Tambahnya secara lebih sinis!

Datuk Seri menambah lagi, "Sekarang mereka tidak dapat mengganggu secara fizikal, tetapi menyerang saya dengan kata-kata!" seterusnya katanya, "Selepas ini tunggulah apa pula yang mereka nak kata yang tidak lain mencerminkan betapa kesumatnya hati mereka!"

Kami semua senyum dan tertawa sebagai setuju dengan hujah sinis dan tajam yang dikemukakan oleh Datuk Seri!

2) "Sasterawan Tidak Minta Diiktiraf Kitalah Yang Mengiktiraf" - Dato' Menteri Besar Selangor ketika mengalu-ngalukan Dato` A. Samad Said Sebagai Sasterawan Tamu Negeri Selangor.


Sesungguhnya jauhari juga yang mengenal maknikam. Bangsa yang besar ialah bangsa yang mengenali dan menghargai warganya yang berjasa. Hanya bangsa yang bermatafikir yang dapat mengenali jauhari. Adalah lebih malang jika kita mengiktiraf seseorang selepas orang luar mengiktiraf – selaku Pak turut! Selangor sebagai Negeri Maju seharusnya peka terhadap peranan dan sumbangan mereka yang berjasa. Dato` A. Samad Said kata Dato` Menteri Besar, bukan saja seorang Sasterawan Negara, tetapi juga Sasterawan Rakyat yang mungkin ini lebih besar ertinya. Dalam hal ini kata Dato` Menteri Besar Selangor memberi pengiktirafan terhadap Dato` A. Samad Said dan mengangkatnya sebagai saterawan Tamu Negeri Selangor. Ini bererti penghargaan terhadap Dato` A. Samad Said yang membela kemanusiaan sejak 1950an di Singapura dan meneruskannya di Malaysia sebagaimana tercermin di dalam novel, cerpen, drama, sajak dan lukisannya. Dengan nada lebih rendah kata Dato` Menteri Besar Selangor, ``Kita bukan saja mementingkan kekayaan Negeri dari segi material, tetapi juga kekayaan negeri dari segi mental, kerohanian dan kemanusiaan.

A.Samad Said seorang yang berani bertindak. Ketika orang lain masih ragu-ragu tentang PPSMI beliau terkehadapan turun padang memimpin perarakan ke Istana Negara bersama Dato` Hasan Ahmad menyampaikan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong meminta dihentikan PSMI.

Pak Samad berjiwa kental dan bersemangat waja. Beliau bersama lautan baju kuning membela keadilan dan perjalanan pilihanraya secara bersih. Beliau menyatakan, "Siapakah bersifat dayus yang rela memberi hak kepada orang luar bagi menetukan masa depan negera? Amat malang sekali jika ini terjadi terhadap Negara kita! Pak Samad juga dipanggil oleh pihak Polis bagi memberi keterangan, kerana mendeklamasi sajak membela keadilan. Adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu jika kes pembacaan puisi dibawa ke mahkamah. Akan berlakulah kontradiksi terminologi, berlakulah pertentangan antara bahasa sastera yang konotatif dengan bahasa undang-undang yang dinotatif, antara fakta dan imajinasi dan antara maknawi dan lahiri. Yang ketawa di tempat yang tidak sepatutnya diketawa dan sebaliknya, kerana kelainan tanggapan terhadap bahasa sastera yang bercanggah dengan bahasa undang-undang! Kita tunggu!

Pak Samad adalah seorang yang mengungkapkan kata, tapi bukan sekadar ungkapan, tapi dilaksanakan dalam tindakan. Sungguhpun Pak Samad berwarga emas, tapi jiwa dan hatinya lebih dari emas dan menjadi Ikon bagi anak muda!

3) "Saya Sekadar Tamu" - A. Samad Said dalam ucapan balasnya meraikannya sebagai sasterawan Tamu Negeri Selangor.

Dalam ucapan balasnya terhadap pengiktirafan kerajaan Negeri Selangor terhadap Pak Samad sebagai Sasterwan Tamu, Pak Samad Said menyatakan,
"Saya tidak menjangka, tetapi terima kasih terhadap negeri Selangor yang mengurniakan saya pengiktirafan sebagai Sasterawan Tamu Negeri Selangor." Secara bergurau A. Samad Said berkata, "Walau apa pun saya sekadar tamu dan belum diberi pengiktirafan sebagai rakyat negeri Selangor!" sindir tajam Pak Samad disambut dengan ketawa oleh hadirin.


Tambah Pak Samad, "Saya menganggap Selangor bijaksana dan mengetahui hakikat sebenarnya sesuatu. Lantaran bukan saja saya seorang tamu, tetapi kita semua adalah tamu."

Tamu Negeri, Tamu senja, tamu Allah dan Tamu Mati.

Kata Pak Samad Said, "saya sendiri pernah menulis dan mengungkapkan puisi bahawa – Kita Adalah Tamu Senja. Bila tiba masa pulanglah kita."

Sekian.

No comments:

Post a Comment