Pekan Bangi: 26 Zulkaedah 1433 = 12 Oktober 2012 (Jumaat):
Hujan adalah fenomena biasa yang diperlukan oleh kehidupan dan tumbuh-tumbuhan bagi penerusan kehidupan dan kesuburan. Tidak hujan menimbulkan kesukaran dan ancaman kepada kehidupan dan terlampau hujan pula akan mengancam kehidupan dan muka bumi dengan banjir. Hujan tidak menentu pula mengakibatkan masalah-masalah tidak menentu pula.
Berhubung dengan banjir bila hujan turun dengan lebat, maka jika berlaku banjir maka lokasi awal yang biasa banjir di Bangi-Kajang ialah Sungai Tangkas, Jalan Reko, Kampong Bangi dan Bandar Kajang. Tetapi fenomina hujan dan banjir mutakhir nampaknya tidak menentu seolah-olah sebelum hujan lebat, maka ianya terlebih dahulu mengintai-ngintai tempat-tempat yang patut menerima banjir sebagai satu rahmat, walaupun pihak yang lain memandang sebaliknya. Demikianlah indicator banjir di tempat-tempat yang sering banjir tidak lagi boleh dijadikan pedoman. Sebagai contoh hujan pada 4 September 2012 sepatutnya berlaku banjir di Kampong Bangi, Sungai Tangkas, Jalan Reko dan Pekan Kajang, tetapi tempat yang berlaku banjir di Sungai Ramal Luar, Sungai Ramal Dalam dan Taman Mahkota. Hujan semalam (Jumaat 12 Oktober) lagi menyimpang dari kebiasaan.
Pada petang itu – jam 4.00 petang berlaku hujan yang boleh disifatkan sederhana lebat sehingga tiba Maghrib. Adalah luar dari kebiasaan untuk menganggap hujan pada petang ini akan berlaku banjir. Tetapi sedang Adun melakukan exercise kecil di Pejabat Adun menerima telefon dari Ketua Kampong, Bangi, Tuan Haji Zakaria Bujang bahawa di Pekan Bangi berlaku banjir. Adun menganggap mungkin banjir kecil dan mengharapkan Tuan Haji Zakaria dapat pergi melihat. Tumpuan Adun lebih kepada persediaan mesyuarat Masjid Al-Umm. Apabila Tuan Haji Zakaria telefon lagi sebelum Maghrib dan minta Adun turun juga ke Bangi kerana banjir agak teruk dan penduduk bertanya Adun Bangi turun atau tidak, maka Adun telefon saudara Azizi dan yang lain, maka sebaik menunaikan solat Maghrib, maka Adun pergi ke Pakan Bangi dengan sdr. Azizi , Amir Osman dan saudara Abu Bakar di sana menunggu saudara Ari Krishnan. Adun dapati tempat berlaku banjir berlainan dari tempat biasa, bukan di Kampong Bangi dan tidak tempat biasa lain tetapi di Pinggir Pekan Bangi - di Belakang Kampong Cina dan di Kampung Masjid Bangi. Di Pinggir Pekan Bangi terdapat 6 buah rumah yang mengalami banjir.
Dalam keadaan hari sudah reda dari hujan, tetapi becak rumah pertama kami kunjungi ialah rumah Puan Hajah Salmah, beliau dan anak-anaknya sedang membersih ruang dalam rumahnya yang dimasuki air. Kami menjenguk ke dalam dan dapati air lumpur pekat, beliau berkata,
``Banjir ini disebabkan oleh pembersihan pokok Bangi Estate berdekatan untuk perumahan dan lumpur ini adalah dari pemotongan tanah di situ.``
Kami menjenguk juga dua tiga rumah bersambung berdekatan (rumah sewa Puan Salmah) yang juga ditenggelami air beberapa kaki dalam di dalam rumah. Penyewa-penyewa rumah juga sedang bertungkus lumus membersih dalaman rumah. Barang-barang yang tak sempat diselamatkan terendam, termasuk kain baju dan kerusi meja. Kami juga melawat rumah En. Abul Khair dan Puan Rashidah (seorang guru). Mereka mengadu barang-barang mereka yang rosak ialah tilam, bantal, selimut dan juga computer. Sebuah lagi rumah yang kami lawati di Pinggir Bangi di Belakang Kg. Cina ialah rumah Tuan Haji Kamsah. Rumah beliau ini menyimpan stok kain baju dan songket bagi kedainya (warung) di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Kami melihat kain-kain, termasuk songket yang terkena banjir, terutama yang susunan terletak di bahagian bawah almari stoknya. Kami memaklumkan kepada mereka bahawa kehadiran kami pada peringkat awal sebagai meninjau dan mempastikan kerosakan dan kerugian dan akan disusuli pasukan pembantu dan bantuan.
Selepas kami menziarah perumahan di pinggir Kampung Bangi, kami bergerak dengan kereta Hilux ke Kampung Masjid yang terletak bersebelahan Masjid Pekan Bangi. Di tempat ini sebelum ini tidak berlaku banjir, tetapi kali ini berlaku banjir lumpur. Banjir lumpur ini selain dari akibat pembersihan pokok kelapa sawit bagi perumahan di Estate Bangi, juga menyumbang kepada banjir lumpur ialah dari pemotongan bukit bagi perumahan dan pembinaan jambatan highway dari Bangi-Semenyih ke Seri Putra. Air banjir di sini lebih dalam dan lebih teruk dari Kampong Pinggiran Bangi. Air lumpur juga lebih likat dan tebal. Dari survey rumah yang mengalami banjir di sini juga 6 buah. Kami melawat dan masuk ke rumah-rumah Encik Zulkifli dan Encik Mahat. Menurut mereka, air masuk rumah mereka sedalam satu meter. Mereka mengalami kerosakan barang-barang termasuklah barang-barang letrik. Mereka juga bertungkus lumus membersih dan mengeluarkan air yang bertakung dalam rumah mereka.
Sementara itu kami menghubungi Unit Amal memaklumkan keadaan banjir di kedua-dua tempat dan memaklumkan pertolongan insya Allah bakal menyusul. Selepas itu kami bergerak ke Kampung Bangi dan perumahan kaum India di Bekas Ladang Bangi. Kami dapati tiada ketara banjir berlaku. Sementara bantuan tiba, Adun terpaksa pulang bagi mempengerusikan Mesyuarat Pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Manakala saudara Azizi sekali lagi datang pada malam ini juga mengiringi unit amal untuk bantuan. Menurut saudara Azizi lebih kurang 20 orang Unit Amal tiba – termasuk tiba ialah Ustaz Shafie Ngah dan Tuan Haji Mazwan yang kedua-dua adalah Ahli MPKj. Mereka datang dengan peralatan membersih termasuk jet water. Turut dibawa ialah bantuan makanan. Menurut saudara Azizi Unit Amal berkerja membantu pembersihan sehingga jam 2.00 pagi.
Catatan:
Dalam Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah Rabu (10 Oktober 2012) dimaklumkan projek pembersihan Sungai Bangi terpaksa dihentikan, kerana masalah pemilikan tanah. Kiranya perkara ini tidak diselesaikan banjir akan lebih kerap berlaku terutama di kawasan Pekan Bangi. Kita berharap pihak JPS dan Pejabat Daerah Hulu Langat dapat bertindak segera mengatasi masalah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment