Jenderam Hilir, Sepang, 16 Rabiul Akhir 1434 = 27 Februari
2013 (Rabu):
Selangor dianggap `Negeri Muda` yang namanya belum wujud di
Zaman Melaka yang juga dianggap miskin dari bahan sejarah. Tempat-tempat yang
dikenali pada zaman Melaka antaranya Kelang dan Jenderam yang dianggap berada
di bawah naungan Melaka. Benarkah Selangor miskin dari bahan sejarah ? Benar
nama Selangor belum lagi muncul pada zaman Melaka, tetapi pensejarahan Selangor
terbukti jauh lebih awal dari Sejarah Melaka
itu sendiri.
Hari ini Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT turun ke Jenderam
Hilir bagi mengenalpasti Tapak Arkeologi yang mempunyai bahan-bahan bukti
mengenai kewujudan bahan Sejarah Selangor Sejak zaman Purba. Turun bersama pada
pagi ini ialah Puan Azlinda Azman Ketua
Pegawai Eksekutif PADAT, Encik Osman bin Mohd. Noh (65) Ketua Kampung Jenderam
Hilir, Dr. Shaharuddin bin Idrus Pensyarah dari Institut Alam Sekitar Dan
Pembangunan, UKM, Encik Zainuddin (60)
dikenali dengan pnggilan Pak Atan, Puan Intan Pegawai Penyelidik dari
PADAT dan beberapa pegawai dari Padat dan penduduk Kampung.
Sebelum ke Jenderam Hilir ini kami telah dimaklumi, bahawa
kawasan perlombongan di Jenderam Hilir ini telah dibuat kajian oleh dua orang
pengkaji, iaitu Brian C. Batchelor (1977) dan Leong Sau Heng (1977), hasil dari
penggalian bijih timah di sini sejak 1969 yang berlokasi di tepi Sungai Langat
di kawasan terbuka mereka menjumpai peralatan pada zaman Neolitik (Sebelum
Masihi), iaitu peralatan alat beliong batu yang berbentuk segi bujur, alat batu
untuk kerja mengisar dan menumbuk serta batu giling untuk mengasah
artifek-artifek batu. Kegiatan membuat tembikar tanah juga dilakukan di Kampung
Neolitik Jenderam Hilir. Serpihan tembikar juga banyak kedapatan yang ternyata
tanah bagi tembikar-tembikar ini adalah tanah tempatan di Jenderam Hilir. Tapak
di sini merupakan tapak pertama didiami oleh orang Neolitik dan pertama ditemui
di Selangor. Pihak PADAT juga melalui Ketua Kumpulan Penyelidiknya Puan Intan
mengesan (April 2012) lokasi yang dikaji Batchelor dan didapati kawasan
kajiannya masih belum terganggu. Berdasarkan ujian radio carbon artifek ditemui
yang tertua kira-kira berusia antara 1950 hingga 1830 tahun Sebelum Masihi.
Kedatangan Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT dan rombongan
pada hari ini lebih merupakan usaha mengenalpasti Tapak Arkiologi Jenderam
Hilir di sini bagi meluaskan kajian dan kemungkinan tindakan yang harus diambil
bagi kepentingan sejarah dan masa depan. Pada permulaan kesampaian kami singgah
dengan tiga buah kenderaan 4 pacuan roda di Balai Raya Jenderam Hilir - Ada kematian di rumah
tepi balairaya. Adun menziarah dan kembali ke Balairaya mendapat taklimat
ringkas dari En. Zainuddin – Bekas pekerja lombong di sini sejak 1969 (Antara
bekas pekerja disebut oleh En. Zainuddin ialah Ameer Orang Asal yang masuk
Islam, Encik Li juga orang Asal yang
masuk Islam dan En. Udin Embong – Mereka tidak hadir). Kemudian kami bertolak
ke kawasan ke dalam dari kampung lebih kurang 3 kilometer dan kami sampai ke
kawasan tasik-tasik bekas lombong yang agak luas. Ada 4 tapak lombong bagi 4 Syarikat (sudah
tidak bergiat) yang hampir bersambung antara satu sama lain. Kami ditunjukkan
oleh Encik Zainuddin Kawasan Rembah Putera lokasi terawal kami sampai, maka
dari lombong gali di sini paling banyak diketemui artifek-artifek seperti
artifek tembikar Cina yang diketemui sedalam 70 kaki. Kemudian kami bertolak ke
kawasan Tiga Sekawan, berikutnya Kawasan Rahman dan terakhir Galian Hamzah yang
di sini diketemui Dayung Perahu. Kawasan penemuan artifek-artifek adalah dari
kawasan lombong yang keluasan tanahnya dalam lingkungan 50 kilometer persegi yang
berkedudukan 6 kilometer dari Dengkel dan 10 kilometer dari Putrajaya.
Yang menariknya penemuan di tapak terbuka di sini bukan dari
zaman Neolitik sahaja, iaitu dari peralatan batu, tetapi juga mencerminkan
penempatan di tepi Sungai Langat di sini dari generasi-generasi berikutnya
misalnya penemuan seperti bekas-bekas periuk yang diperbuat daripada tanah antaranya
berkaki tiga yang menandakan dari zaman lebih kemudian dari Neolitik dan dari
zaman yang lebih kemudian lagi diketemui bahan-bahan seramik yang mempunyai
kaitan dengan tradisi pembuatan di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu
dan Selatan dan Barat Thailand. Tembikar sedemikian tidak diketemui di luar
dari kawasan tersebut. Lebih menarik kesinambungan dari zaman itu diketemui
artifek-artifek seperti kendi, mangkuk seramik, mangkuk gangsa yang menunjukkan
ada hubungan dagang masyarakat di Jenderam dengan luar yang menurut Batchelor
(1977) mangkuk gangsa dikenal pasti penggunaan antara 700 dan 1200 Selepas
Masihi. Jumpaan timah dalam bentuk wang membuktikan masyarakat di Jenderam
mempunyai hubungan dagang dengan luar. Jenis wang sedemikian memang diketemui
di Lembah Kelang yang digunakan pada awal 1511.
Selepas melawat tapak-tapak berkenaan, kami keluar dan
berada kembali di Balairaya. Di sini kami mengikuti pembentangan kertaskerja
oleh Puan Intan Salina yang memperkatakan tentang apa yang telah dibicarakan di
atas ditambah dengan huraian oleh Dr. Shaharuddin. Dari kunjungan kami dapati
lokasi Sungai Langat di sini amat penting. Lokasi di sini didiami sejak dari
zaman Neolitik dan berterusan sehingga zaman Gangsa yang Gendang Gangsa juga
diketemui di Kelang dan seterusnya hingga zaman Sejarah. Orang Neolitik di sini
hidup secara bertani dan menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perhubungan.
Budaya hidup bergantung pada sungai berterusan sehingga zaman sejarah, bahkan
hingga kini.
Pertemuan ini amat penting yang sekaligus menunjukkan bahawa
Selangor tidak miskin dari segi sejarah. Sebaliknya selari dengan penemuan di
Gua Cha di Kelantan dan juga di Gua di Perlis. Namun dengan bukti-bukti artifek
di Jenderam, bahawa masyarakat di sini sejak dari zaman Neolitik bukan penghuni
gua, sebaliknya adalah penghuni di tanah terbuka di tepi sungai dan berterusan
menerima perubahan dan berubah budaya menurut perubahan zaman.
Kunjungan ini
bersifat permulaan. Banyak lagi kunjungan, kajian dan penelitian akan dibuat.
Berbagai cadangan akan dikemukakan kelak untuk diambil tindakan.
Sekian.