February 6, 2013

Jom Makan! Meraikan Petugas-Petugas Sukarelawan MES

Program Skim Mesra Warga Emas telah berlangsung selama 4 tahun. Seramai 2,306 Warga Emas telah didaftarkan di Dun Bangi. Bagi yang meninggal dibayar RM2,500 kepada keluarga yang meninggal. Bagi menceriakan Warga Emas satu skim yang dikenali dengan Jom Shopping diperkenalkan sejak Ogos 2011. Hingga kini sudah 13 kali Jom Shopping diadakan di Dun Bangi bertempat di Econsave. Jalan Reko, Bandar Baru Bangi. Setiap kali Jom Shopping 100 orang Warga Emas dijemput hadir ( hadir biasanya 80%) membeli belah sejumlah RM100 diperuntukkan kepada mereka. Setakat ini lebih dari 1,000 Warga Emas yang hadir menikmati Skim Jom Shopping. Ini bermakna 1,300 orang masih menunggu giliran untuk dipanggil.


Setiap kali Jom Shopping diadakan, tugas ini tidak dapat dikendalikan oleh tenaga yang ada di Pejabat yang hanya mempunyai 3 orang pekerja (termasuk Adun). Tenaga-tenaga sukarelawan diperlukan, terutama pada hari diadakan Jom Shopping di Econsave, Jalan Reko, Bandar Baru Bangi. Walau bagaimana setiap kali diadakan Jom Shopping kita tidak kurang dari tenaga sukarelawan yang membantu yang biasanya antara 5 hingga 10 orang membantu. Mereka terdiri dari Ketua-Ketua Kampung, AJK Kebajikan, Muslimat, Nisa`, Pemuda dan sukarelawan-sukarelawan persendirian. Jom Shopping terakhir ialah pada 26 Januari 2013. Setiap kali Jom Shopping hendak diadakan, bukan saja perlu menghubungi Warga Emas, tetapi perlu kepada persediaan tempat taklimat, menyediakan kerusi meja, pendaftaran, pembahagian bahan maklumat dan meraikan Warga Emas yang keluar membeli dan kadang-kadang menghantar mereka ke kenderaan dan ke rumah. Pada peringkat permulaan taklimat diadakan di Pejabat Adun, tetapi kini pendaftaran terus dibuat di satu ruang yang disediakan oleh Econsave dan kita perlu membawa bahan-bahan ke sana. Kerja-kerja di atas memerlukan tenaga bantuan bagi menjalankan program Jom Shopping dengan cara yang lebih teratur dan licin. Tenaga-tenaga sukarewalan dari berbagai badan datang memberi pertolongan.


Mengenangi jasa mereka yang telah memberi tenaga sukarela dan berbetulan pihak Adun mempunyai sedikit peruntukan, maka pada malam ini diadakan Majlis Makan Meraikan Sukarelawan Jom Shopping. Seramai 30 orang dijemput hadir dengan 20 orang daripada mereka diraikan bertempat di Restoran Ikan Bakar Petai berdekatan dengan Balai Bomba. Turut hadir pada malam ini ialah Adun Bangi dan Isteri, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Zakaria bin Bujang Ketua Kampung Kampung Bangi, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan Isteri, Sdr. Ari Krishnan Ketua Antara Kaum dan lain-lain.


Berucap mengalu-ngalukan hadirin, Adun mengucapkan terima kasih bukan saja kerana hadir pada malam ini, tetapi lebih-lebih berterima kasih di atas kesudian hadirin yang selama ini memberi tenaga sukarela membantu menjayakan Jom Shopping yang setakat ini telah 13 kali diadakan. Secara bergurau Adun katakan, ``Selama ini kita mengadakan Jom Shopping, maka pada malam ini kita adakan Jom Makan !`` Tambah Adun, `` Jika selama ini kita sediakan sejumlah peruntukan (RM100/=) bagi warga Emas, maka jumlah yang sama juga kita peruntukkan, tapi tidak berstatus Warga Emas - Warga Sukarelawan, tuan-tuan dan puan-puan bebas untuk berbelanja atau tidak.``


Namun yang pasti kita masih memerlukan tenaga sukarela dari tuan-tuan dan puan-puan. Kerana pada masa hadapan kita akan lebih kerap mengadakan Jom Shopping, bererti kita lebih banyak memerlukan tenaga sukarela, bahkan konsep Jom Shopping juga diaplikasikan kepada Anak-anak TAWAS dan juga Jom Shopping bagi Ibu-Ibu Tunggal. Ini memerlukan sokongan dan tenaga kerja dari tuan-tuan dan berbagai pihak yang lain. Puncak dari sokongan dan kerjasukarela dari tuan-tuan dan puan-puan ialah bagi menghadapi pilihanraya yang bakal tiba dalam masa terdekat. Namun kata Adun, ``Saya tidak bimbang dan tidak ragu akan terus mendapat sokongan dan tenaga sukarela dari tuan-tuan dan puan-puan, kerana selama ini tuan-tuan dan puan-puan adalah tenaga yang sentiasa berada pada saf hadapan berperisai dengan daya juang yang tinggi.``


Berikut dari jamuan dan ucapan Adun dan Isteri menyampaikan cenderahati kepada setiap sukarelawan yang hadir pada malam ini.


Sekian.

No comments:

Post a Comment