February 1, 2013

Memulihara Istana Bandar, Kuala Langat Bagi Menjadikannya `Living Museum`

Shah Alam, 19 Rabiul Awwal 1434 =31 Januari 2013 (Khamis):


Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor hari ini mengadakan Program Dialog Perkisahan Istana Bandar, Kuala Langat bertempat di Hotel Grand Blue Wave. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Tujuan diadakan majlis ini ialah bagi mendapat maklumat bagi pengisian Istana Bandar yang telah dipulihara dan diharap akan menjadi satu-satunya `Living Museum` di negeri Selangor.

Majlis pada hari ini terdiri dari 3 bahagian:
  1. Majlis Perasmian
  2. Pembentangan Kertaskerja berhubung dengan Istana Bandar
  3. Perkisahan dari Kerabat yang pernah lahir dan tinggal di istana atau dari mereka yang pernah berurusan dengan istana berkenaan.



Hadir ke Majlis ini ialah Y.B. Tuan Dr. Ahmad Yunus bin Hairi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu,Warisan Negeri Selangor, Belia dan Sukan. Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi PADAT, Yang Amat Dihormati Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor, Yang Dimuliakan Orang-Orang Besar Istana seperti Yang Amat Mulia Tengku Mahmud Shah Ibn Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, Yang Mulia Raja Dato` Haji Uzir bin Tengku Zainal Rashid, Leftenan (B) Tengku Iman Shah bin Ibn Al-Marhum Tengku Sulaiman. Yang Dihormati Orang Besar Daerah seperti Tan Sri Dato` Paduka Raja Dato` Haji Wan Mahmood Bin Pa` Wan Teh Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Yang Berbahagia Dato` Imran Orang Kaya Petaling, Yang Dimuliakan Tengku Dato` Dr. Jamaluddin bin Tengku Mahmud Shah al-Haj Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Yang Berusaha Puan Hajjah Azlinda Azman Ketua Pegawai Executive PADAT, Profesor Dato` Dr. Abdullah Zakaria Ghazali Pembentang Kertaskerja dari Universiti Malaya, Cikgu Mohd Ali Alimin Pembentang Kertaskerja, Yang Berbahagia Dato`-Dato`, Datin-Datin, Rakan Media dan Dif-Dif jemputan. Majlis adalah kerjasama antara PADAT, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor dan Arkib Negara, Malaysia.


Y.B. Dr. Ahmad Yunus dalam ucapan alu-aluannya Menjunjung Kasih di atas perkenan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Selangor merasmikan Program Dialog Pengkisahan dan berharap dengannya membolehkan kita berkongsi ilmu pengetahuan dari pakar-pakar sejarah serta Kerabat yang mempunyai hubungan rapat dengan istana. Menurut Dr. Ahmad, ``Istana Bandar yang menjadi tempat bersemayamnya Baginda Sultan Sir Alaiddin Sulaiman Shah Ibn Raja Muda Musa, Bangunan dua tingkat yang mempunyai 40 bilik ini mempunyai nilai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Usaha menjadikannya `Living Museum` adalah merupakan langkah yang tepat bagi tujuan pemuliharaan dan mendidik masyarakat mengenai sejarah. Diharap Istana Bandar menjadi satu daya tarikan pelancongan ke Kuala Langat di sampaing berbagai tempat menarik di Kuala Langat itu sendiri.``. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.



Dalam sesi pembentangan kertaskerja, Profesor Dato` Dr. Abdullah Zakaria membicarakan tentang kesultanan Selangor diasas Raja Lumu bermula tahun 1766. Namun ada catatan Raja Lumu memerintah sejak 1743. Baginda ditabalkan oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud (Raja Kimas) bergelar Sultan Salahuddin (1766), kemudian diteruskan oleh Raja Ibrahim. Pada masa baginda cabaran ditimbulkan oleh Belanda dan Siam juga Inggeris. Takhta diwarisi Sultan Mahmud 1826-1857. Ada perselisihan antara keluarga Diraja mengenai penggantinya yang diselesaikan oleh Orang Besar Dato` Jeram yang Kerabat Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad menggantikan Sultan Mahmud. Tengku Panglima Besar bukan Raja Muda diisytiharkan sebagai Sultan – Raja Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim. Perlantikan dipersetujui Orang-Orang Besar. Tempat pemerintahan berpindah dari Kuala Selangor ke Kuala Langat. Baginda memerintah dari 1857-1898 dalam mana Selangor bertambah maju terutama dengan hasil bijih timah. Kemangkatan baginda digantikan oleh anakanda baginda Sultan Alaiddin Sultan Sulaiman Shah (1858-1938). Baginda memerintah (1898-1938). Pemerintahan berterusan dari keturunan baginda hingga kini berjumlah 9 orang Sultan Selangor. Bagindalah yang mendirikan Istana Bandar sebagai tempat bersemayam dan pemerintahan.


Saudara Mohd Ali bin Alimin seorang guru (lulusan SITC & USM) yang meminati sejarah dan tinggal tidak jauh dari Istana Bandar. Menurutnya Istana dibina pada tahun 1899 dari biaya Sultan Alaiddin sendiri di atas tanah seluas 12.96 ekar. Selama 35 tahun Baginda bersemayam di sini, kemudian dibiarkan kosong. Baginda disifatkan seorang Sultan yang warak dan banyak memajukan agama Islam di Selangor. Baginda mengarang 3 buah kitab dan berkhutbah di Masjid Baginda.

Sesi Dialog dipengerusikan oleh Orang Kaya Tan Sri Dato` Wan Mahmud. Ahli Panel termasuk dua pembentang kertas kerja ditambah dengan Raja Dato` Uzir bin Tengku Zainal Rashid orang Besar Daerah Kuala Langat yang merupakan Kerabat Diraja, Yang Amat Mulia Tengku Mahmud Shah ibn Al-Marhum Sultan Alaeddin Shah dan Leftenan (B) Tengku Aman Shah Ibn Al-Marhum Sultan Sulaiman. Menurut Raja Dato` Uzir selepas pemerintahan Sultan Alaiddin Istana Bandar yang siap dibina (1910) ditinggal terbiar bersama bangunan-bangunan yang lain. Ianya tidak terkenal sebagaimana terkenal Maqam Sultan Abdul Samad. Pemuliharaan baru dilakukan bersama dengan penggunaan bangunan yang lain termasuk digunakan sebagai Ma`had Tahfiz. Perkisahan juga menyentuh tentang bahagian-bahagian dalam Istana, kawasan lapang tempat bermain, kolam. Ciri seni bina yang terbahagi dua. Sebelah kiri bentuk tradisional dan tambahan baru ada pengaruh moghul dan Parsi. Ada pendapat Istana Bandar dibina atas tapak Istana Lama dari nibung (1896). Apa yang diharap ialah PADAT selepas memulihara akan mengisi istana persis sebagaimana asal dan benar-benar menjadi `Living Meseum` yang dapat memelihara warisan dan menjadi satu daya tarikan pengunjung dan pelancong bersama daya-daya tarikan lain yang banyak terdapat di Kuala Langat.


Majlis Penutup dilakukabn oleh Pengerusi PADAT Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar. Beliau juga menyampaikan cenderamata kepada pembentang-pembentang kertaskerja dan pengkesah-pengkesah Istana Bandar.

Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis.

Sekian.

No comments:

Post a Comment