SRA, Pekan Bangi, 18 Rabiul Awal = 30 Januari 2013 (Rabu):
Pagi ini Adun bersama saudara Shahrum Abdullah ke Sekolah
Rendah Agama (SRA), Pekan Bangi bagi menyertai Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan
oleh pihak Sekolah pada pagi ini. Kunjungan dibuat juga bertujuan untuk
mengagih beg-beg Sekolah kepada murid-murid Sekolah di sini. Turut bersama
dalam sambutan ialah Guru Besar Sekolah Puan Hajah Noraini Haji Yahya,
Pengerusi PIBG En. Mohd Nor bin Mat Isa, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampung
Bangi, para ibu bapa dan murid-murid Sekolah. Program berlangsung dalam Dewan
Sekolah di tingkat bawah.
Tema sambutan Maulidur Rasul bagi kali ini ialah:
Persefahaman Asas Perpaduan Ummah
Majlis diisi dengan ucapan-ucapan, salawat dan qasidah dari
murid-murid. Salawat diadakan pada peringkat permulaan diikuti sama oleh
hadirin dalam Dewan.
Dalam ucapannya Guru Besar berterima kasih di atas kehadiran
Adun dan pemberian beg-beg sejumlah 100 buah kepada pelajar-pelajar. Menurut
beliau pada tahun lepas, Sekolah ini telah mendapat bantuan beg. Terima kasih
sekali lagi kerana mendapat peruntukan lagi pada tahun ini. Beliau melaporkan
bahawa Sekolah sekarang mempunyai seramai 445 murid dengan jumlah guru seramai 20
orang yang semuanya adalah perempuan. Dari segi kemajuan bagi keputusan tahun
2012 seramai 5 orang pelajar mencapai kelulusan Mumtaz. Beberapa dari mereka
mendapat tempat di Sekolah Agama Menengah di Sepang, tahun lalu yang berjaya
hanya ditawarkan ke Sekolah Agama Menengah Sungai Merab.
Saudara Mohd Nor menyebut bahawa pihak Sekolah berhasrat
membuat pagar keselamatan. Ini untuk memgelak dari pencerobohan, kerana Sekolah
ini berada agak jauh ke dalam, sebab itu pengawalan keselamatan terpaksa diberi
perhatian yang tinggi. Adun Bangi dalam ucapan berterima kasih di atas jemputan
dan mengucap tahniah di atas kemajuan Sekolah yang dicapai. Berhubung dengan
hasrat mendirikan pagar, sebagaimana pernah disebutkan, kerana kos besar, maka
permohonan perlu dibuat kepada pihak JAIS yang seingat Adun surat
telah dihantar dengan salinan surat
diterima oleh pihak Adun. Walau macam mana dengan pagar semata-mata tidak
menjamin keselamatan, kerana ianya masih boleh diceroboh, tanpa pengawalan.
Walau bagaimana mutakhir ini Adun tidak menerima aduan tentang pencerobohan
sebagaimana pada tahun-tahun berlalu. Harap keadaan sedemikian akan berterusan.
Kepada anak-anak Adun mengingatkan, bahawa sambutan Maulidur
Rasul yang kita adakan pada hari ini, walaupun kelihatan sederhana, tetapi
besar maknanya, terutama bagi bagi kita yang belajar di Sekolah Agama.
Rasulullah s.a.w. adalah menjadi ikutan kita. Kebangkitannya adalah menjadi
Rahmat bagi seluruh alam. Kita belajar di Sekolah Agama ini adalah percikan
dari Rahmat yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.
Melalui Sekolah ini kita mempelajari tentang agama Islam,
kita dapat membaca al-Qur`an, kita belajar tentang akidah dan syariat –
beribadah solat dengan betul dan kita berakhlak dengan akhlak yang baik
mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Dan kita berharap akan terus menerus
menjadi orang yang baik – Insya Allah.
Berikut dari itu penyampaian beg Sekolah dilakukan oleh Adun
terhadap murid-murid yang terpilih. Pihak Sekolah juga Adun bertukar-tukar
cenderamata.
Majlis berakhir dengan jamuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment