February 19, 2013

Pidato Tokoh - Dua Sasterawan Negara Selangor

-->
Shah Alam, 04 Rabiul Akhir 1434 = 15 Februari 2013 (Jumaat):

YAM. Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mewakili DYM. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menyampaikan Wathiqah Penghargaan pada malam ini kepada dua Sasterawan Negara Selangor – iaitu SN Dato` Dr. Mohd Anuar Rethwan (Anwar Ridhwan) dan SN Dato` Dr. Ahmad Kamal bin Abdullah (Kemala) bertempat di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.


Sebelum dari itu, YB. Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan alu-aluan:

Makin tunduk rumpun padi
Tanda buahnya makin berisi
Makin khuduk orang berbudi
Semakin mencurah kreativiti


Setelah tiga dekad Anugerah Sasterawan Negara (bermula 1981), pertama kali Anwar Ridhwan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (2010), diikuti Kemala pada tahun berikutnya (2011). Kita mengucapkan tahniah di atas prestasi cemerlang mereka di dalam berkarya hingga melayakkan mereka dianugerahkan Sasterawan Negara. Tidak mudah mencapai gelaran Sasterawan Negara kerana memerlukan penyerlahan bakat dengan penghasilan karya-karya bermutu.


Untuk menjadi Sasterawan Negara melalui perjalanan panjang bagi memantapkan bakat dan penghasilan. Latar alam kampung yang tenang menjadi ilham bagi kedua sasterawan. Anwar Ridhwan berasal dari Sungai Besar yang lumrah dengan sawah padi. Perbatasannya menjadi tempat larian. Kehijauan sawah dan kekuningan padi menjadi sumber ilham. Demikian Kemala dari perkampungan Gombak yang bersama anak-anak beliau bergaul, sama-sama bermain di padang dan sama berguru mengaji al-Qur`an. Tetapi yang benar-benar mengukuhkan bakat mereka berdua ialah keilmuan yang mereka berdua terus menerus mencari, Dari Sekolah Kebangsaan Ungku Aziz Anwar terpilih ke Sekolah Alam Shah dan kemudian Universiti Malaya. Demikian Kemala dari Sekolah Kebangsaan di Gombak terpilih ke Maktab Perdguruan Tanjung Malim. Semasa remaja mereka berdua mempertajamkan bakat dan menghasilkan karya-karya. Mereka berdua menyerlah di dalam semua bidang penulisan, tetapi Anwar lebih menonjol dalam bidang cerpen dan novel dan Kemala dalam bidang puisi. Kedua mereka kemudian sama berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka yang memberi peluang bagi mereka menulis. Tapi mereka berdua tidak berhenti dari belajar. Anwar yang gigih meraih ijazah sarjana dan Doktor Falsafah dari UM dan Kemala Sarjana dari USM dan Ph. D. dari UKM. Dalam penerusan menulis mereka berdua mencapai berbagai hadiah sastera dan hadiah-hadiah kesarjanaan.  Anwar penerima SEA Write Award 2002 dan menjadi Profesor di Tokyo University dan kini Dekan di Aswara. Antara karya cerpennya ialah Dunia Adalah Sebuah Apartmen dan Sesudah Perang, manakala novelnya ialah Arus dan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, manakala Kemala juga banyak menerima Anugerah Karya sastera, SEA Write Award, menjadi Karyawan Tamu ke Australia dan kini Karyawan Tamu di UPM. Kemala Banyak menghasilkan kumpulan puisi antara yang terkenal Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim. Kedua penulis adalah merupakan kuntuman yang mewangikan Selangor dan tanah air. Tahniah kepada mereka berdua.



Dalam Pidato Tokohnya Ybhg. Dr. Awang Sariyan selain dari mnyebut latar belakang kelahiran dan pendidkannya antaranya menyatakan bahawa Anwar subur berkreatif dalam kocakan gelombang sastera di Kuala Lumpur. Beliau menimba pengalaman tempatan di Amerika, dan Tokyo. Beliau menulis bertolak dari realisme, kepada simbolisme dan realisme magis. Menurut saudara Awang Sariyan. Anwar dapat dikatakan tidak banyak menulis, tetapi tulisannya adalah bermutu. Dalam masa 40 tahun terlibat menulis beliau menghasilkan:
4 buah novel, 4 Kumpulan Cerpen, 4 buah drama dan 3 kumpulan esei. Namun semua karya-karyanya adalah bermutu. Selepas dari DBP Anwar berada ditanah yang subur bagi berkarya, iaitu sebagai Dekan di dalam bidang Penulisan di Aswara.


Menurut Awang Sariyan, Kemala adalah penghubung antara tradisi klasik Melayu dengan moden. Beliau amat terkesan dengan gurunya Cikgu Ma`ruf Mahmud yang mendedahkannya dengan berbagai-bagai jenis puisi klasuk. Guru ini kemudiannya bersama dengan beliau bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Penulisan puisi awal Kemala adalah kumpulan puisi Teluk Gong dan Timbang Terima yang membuka jalan ke arah penghasilan puisi dan buku-buku  yang menyerlahkan bakat kepenyairannya.
Kepenyairan Kemala dari segi kelembutannya dikaitkan dengan Amir Hamzah dengan kumpulan puisinya – Buah Rindu. Sesungguhnya Raja Penyair Indonesia ini penghubung pengucapan puisi klasik dengan moden yang tidak dibataskan dengan geografi Indonesia, tetapi bagi seluruh pengucapan dunia Melayu, termasuklah juga Kemala dan ramai penyair-penyair yang lain.


Kemala juga dikaitkan dengan penyair yang mengucapkan puisi bernafaskan keislaman. Zaman yang dilalui Kemala sama mengharungi pengaruh Islam yang mewarnai gerakan dan suasana kesedaran Islam di dunia dan di Negara ini, khususnya selepas tahun-tahun 1970an dan pengaruh ini merupakan arus yang hangat dan terus bergerak. Pengaruh terhadap Kemala dari segi keislaman oleh kerana ada kecenderungan dan persediaan dalaman diri yang ada di dalam diri dan jiwa Kemala. Kesan dari peningkatan Islamisasi di Malaysia dan di luar dari Malaysia terlihat di dalam sebahagian dari karya-karya Kemala sebagai contohnya Ayan, Titir Zikir dan Mim. Kumpulan-kumpulan puisi ini merupakan puncak-puncak dari perpuisian Kemala.


Apa yang menyerlah dan mengukuhkan kehalusan dan kerohanian puisi-puisi Kemala, ialah keterlibatannya dengan unsur-unsur tasawuf. Beliau tidak menyebut tentang pengajiannya dalam bidang tasawuf secara langsung berdasarkan kitab-kitab tasawuf utama, tetapi beliau sering menyebut seorang pembimbing tasawufnya yang membawa jiwa kesufian iaitu Habib Umar. Tokoh ini turut terbawa di dalam ungkapan puisi-puisinya. Tokoh pembimbing rohani ini dapatlah dikatakan mewarnai unsur kesufian di dalam pengucapan puisi-puisinya. Di samping itu tidaklah dinafikan pengaruh penyair-penyair Sufi besar yang menjadi bidang telaah dan penghayatanya seperti Rumi, Hafiz, Hamzah Fansuri, Iqbal dan lain-lain. Semua pengaruh ini bersatu di dalam jiwa Kemala dan terjelma sebagai identitinya tersendiri. Puisi Kemala yang lembut dan kerohanian sifatnya.

Sesungguhnya Anwar Ridhwan adalah dua permata yang terserlah dari bumi Selangor yang terus memancar cahaya kelembutan, kemanusiaan dan kerohanian yang dapat ditatap, dimanfaat dan dihayati zaman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment