February 18, 2013

Ponggal Di Pekan Bangi

-->
Pekan Bangi, 02 Rabiul Akhir 1434 = 12 Februari 2013 (Selasa):


PADA MALAM ini Adun adakan Majlis Sambutan Ponggal peringkat Dun Bangi bertempat di Dewan Orang Ramai. Pekan Bangi. Hadir pada malam ini bukan saja pemimpin tempatan seperti Adun Bangi YB. Dr. Shafie Abu Bakar, Ustaz  Shafie Ngah Ahli MPKj merangkap YDP Kawasan Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj merangkap Timbalan YDP, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampung Bangi, saudara Ari Krishnan Ketua Antara Kaum Dun Bangi dan saudara Aru Chelvan  Ahli MPKj kawasan Semenyih, tetapi juga pemimpin negeri dan nasional seperti Y.B. Manikavasagam Ahli Parlimen Kapar, Dato` Taslim Pemimpin India Muslim dan En Ho Pang Chau Ketua Antara Kaum Peringkat Pusat. Majlis Sambutan Ponggal dihadiri lebih kurang 1,500 orang yang sebahagian besar daripada mereka adalah kaum India yang memenuhi dan melempah Dewan Orang Ramai.


Majlis pada malam ini diseri dengan muzik klasik dan nyanyian India. Sejak awal tiba Adun di muka pintu pagar Dewan disambut dengan pasukan muzik tradisional India dengan membawa bunyian klasik sambil mengiringi Adun ke dalam Dewan dan mengambil tempat duduk di meja makan di bahagian hadapan Dewan. Mendahului dan menyelang seli ceramah masyarakat India dihibur dengan beberapa nyanyian ala MGR yang nampaknya amat menyambut sambutan hadirin dan bertepuk tangan selepas setiap nyanyian. Begitu juga masyarakat India yang ramai itu dihibur dengan Tarian Merak dan beberapa tarian gerak pantas yang agak moden dari kalangan anak muda India.


Majlis bermula dengan jamuan rakyat. Adun juga turut sama menikmati jamuan bersama-sama VIP-VIP di meja utama. Ustaz Shafie Ngah berucap mengalu-ngalukan para hadirin dan mengharapkan sokongan dari kaum India berterusan. Saudara Ho Pang Chau yang terawal dari kalangan tamu dijemput bercakap bahawa melalui Pakatan Rakyat, semua kaum terbela dan mendapat perhatian yang saksama. Sebab itu beliau menyeru masyarakat India membuat pertimbangan yang betul di dalam pilihanraya ke 13 nanti. Manakala Dato` Taslim menegaskan dalam masyarakat Tamil ada golongan Islam dan rakan di dalam dalam perjuangan menegakkan keadilan. Beliau meminta masyarakat India ubah dalam usaha menuju ke Putrajaya. Manakala saudara Aru menyebut tentang masyarakat India yang bekas pekerja ladang masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan perjuangannya antaranya bagi membela masyarakat tertindas termasuk pekerja ladang di Bangi yang sehingga kini mereka tidak mendapat pembelaan dari segi pampasan dan penyediaan rumah. Beliau juga menyebut keanihan ada keluarga India yang sudah 60 tahun menetap di Negara ini, tetapi masih berkad pengenalan merah. Adun Bangi mengucap tahniah kepada Jawatankuasa Sambutan Ponggal yang diketuai oleh Ketua Antara Kaum Dun Bangi saudara Ari Krishnan yang dapat menarik kehadiran begitu ramai masyarakat India di Bangi. Adun menyebut kita dalam Pakatan adalah membela rakyat. Perayaan Ponggal adalah perayaan rakyat dan kerja rakyat utama adalah bertani yang dilambangkan dengan tuaian hasil tani dan memasak ponggal secara masakan rakyat. Pembelaan terhadap rakyat adalah amalan kita. Kita membaiki infrastruktur yang rosak seperti di Taman Permai. Kita membina jalan raya. Sekarang projek jalan raya dari Jalan Reko hingga ke Pekan Bangi sedang berlangsung yang peruntukannya RM 89 juta. Fasa pertama sedang dibina dari Jalan Reklo ke Teras Jernang. Kita juga telah menyediakan lampu jalan dari UKM ke Pekan Bangi dan kini sudah berapi pada waktu malam. Kita juga memberi bantuan kepada kuil-kuil dan juga Sekolah Tamil di West Country Timur dan Barat dan juga di Pekan Bangi. Kita juga meluluskan peruntukan bagi membaiki padang dan menggantikan tiang gol baru yang diguna oleh pihak Sekolah dan juga pemuda-pemuda tempatan yang kebanyakan mereka dari kalangan orang India. Kita juga berkali-kali menziarah dan menyampaikan bantuan kepada masyarakat India dan pada malam ini juga kita akan menyampaikan bantuan kepada 120 orang yang layak menerima bantuan.


Pada malam itu, tiba-tiba majlis menjadi hangar dan kecoh, rupa-rupanya Y.B. Manikavasagam yang datang agak lewat itu disedari hadirin dan mereka menyambut kehadirannya dengan penuh meriah. Kemudian selepas rehat sekejap beliau dijemput  ke pentas menyampaikan ucapan dalam bahasa Malaysia dan juga Tamil. Beliau memuji Dun Bangi yang ketara begitu banyak dengan aktiviti sambil menunjukkan Buletin Bangi yang diedar pada malam itu yang beliau sempat memerhatikan kandungannya sebelum dijemput berucap. Beliau juga menyebut tentang banyak perubahan yang berlaku di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Menurutnya Suara Rakyat termasuk dari masyarakat India lebih didengari. Banyak tapak-tapak kuil India digeszetkan, bahkan mendapat bantuan tahunan. Beliau berharap masyarakat India, khususnya di Pekan Bangi dan Kawasan Ladang Bangi terus memberi sokongan kepada pihak Pakatan Rakyat.
Pada malam itu Adun bersama VIP-VIP yang hadir sama turut menyampaikan bantuan pada masyarakat yang berkelayakan pada malam itu.



Majlis malam itu sungguh meriah dan berjaya. Terima kasih kepada pemimpin peringkat Pusat seperti  saudara Ho Pang Chau yang sanggup datang dari jauh juga Tuan Haji Taslim. Juga pemimpin-pemimpin negeri dan tempatan. Tahniah kepada semua di atas kejayaan dan kemeriahan Majlis Perayaan Ponggal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment