February 5, 2013

Tazkirah TG Dato` Nik Aziz Di Masjid Al-Hasanah BBB

BBB, 21 Rabiul Awwal 1434 = 02 Februari 2013 (Sabtu):


Kunjungan TG Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan atas jemputan peribadi ke Restoran Berlauk, di Seksyen 7, BBB membawa TG ke Masjid Al-Hasanah bagi menunaikan solat zohor di Masjid tersebut. TG bersetuju menyampaikan Tazkirah selepas mengimami solat Zohor. Selepas membaca doa ringkas TG terus menyampaikan Tazkirah kepada orang ramai yang menyerbu datang memenuhi ruang Masjid Al-Hasanah. Selepas basmalah, hamdalah dan salawat ke atas Rasulullah s.a.w. TG memulakan Tazkirahnya dengan menerangkan konsep tazkirah dan dua istilah yang mendekati maksud Tazkirah, iaitu Ta`lim dan Tazkiah.


Menurut TG Tazkirah yang bermaksud Peringatan memang menjadi tuntutan di dalam Islam. Terdapat ayat Al-Qur`an mengenai Tazkirah, iaitu bermaksud:

Dan hendaklah memberi ingat, maka sesungguhnya dengan peringatan memberi manfaat kepada orang-orang mu`min (Az-Zariyat: 55).


Orang yang diberi peringatan mungkin tidak tahu dan mungkin tahu, tetapi di dalam keadaan lupa. Dengan memberi peringatan kedua-dua memberi faedah, yang tidak tahu menjadi tahu dan yang tahu menjadi tidak lupa dan terhindar dari implikasi kelupaan yang merugikan.

Adapun Ta`lim bermaksud Pembelajaran yang melibatkan yang mengajar (Guru), yang diajar (murid) dan bahan yang diajar (Ilmu). Semua pihak mendapat faedah dari kegiatan Ta`lim bahkan memperkayakan ilmu. Adapun Tazkiah bererti Pembersihan yang bukan bersifat fizikal seperti Taharah, tetapi bersifat rohani. Membersih kalbu dan rohani mesti berasaskan agama yang menjadi neraca bagi penilaian. Contoh pembersihan jiwa dari sifat takabbur, ujub dan riya`. Misalnya dengan ikhlas dari segi amalan, insaf dari segi kejadian dan qanaah dari segi kehidupan. Ketiga-tiga perkara adalah penting dan menjadi aspek-aspek yang sempurna menyempurnakan dari segi pendidikan dan kehidupan.


Menekankan dari segi Tazkirah adalah penting. Menurut TG beliau sampaikan Tazkirah setiap mengiringi solat Subuh di suraunya di Pulau Melaka. Namun tidak mengambil masa panjang, sebaliknya secara ringkas dan padat kerana meraikan pegawai-pegawai yang hendak ke pejabat dan masing-masing berpagi-pagi untuk ke tempat kerja. Tazkirah seharusnya menjadi amalan ibu bapa terhadap anak-anak, guru-guru terhadap pelajar-pelajar dan ulama terhadap masyarakat.

Tazkirah mengingatkan kita agar insaf, walaupun apa kedudukan kita, baik pegawai atau orang biasa adalah makhluk dan hamba Allah. Kita dicipta Allah. Kita tidak mampu mengadakan sesuatu. Apa yang dapat kita lakukan ialah memproses apa yang disediakan oleh Allah. TG membaca firman Allah yang terawal diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. bermaksud:


Bacalah dengan nama Tuhan engkau Yang Maha Pencipta

Dia mencipta Insan dari titis baka

Allah menyediakan Rumah Allah terawal dibina oleh Nabi Allah Ibrahim bagi menyatukan arah. Yang kita sembah ialah Allah dengan mengadap Kiblat baik dari mana arah, bahkan semasa berada di dalam kapal selam atau di dalam kapal terbang dengan keadaan yang sama, bukan menelentang bila berada di dalam kapal selam atau meniarap bila berada di dalam kapal terbang (dengan tujuan untuk mengarah kepada kiblat). Kita puji Allah bukan Ka`bah, Allah Yang Satu. Allahu Akbar ! Dia Yang Menjadikan kita. Bukan dibuat oleh Ibu bapa. Ibu adalah sebagai bekas untuk melahirkan. Yang menentukan ialah Allah. Ada ibu dan bapa berprofesyen doktor, tapi anak yang dilahirkan tidak semperna, bahkan bodoh. Ini bukan kerja kita. Ini kerja Dia. Allah yang melakukan segala-gala.

Sebab itu dalam kehidupan kita selalu mengharapkan kebaikan dan dalam solat atau di luar solat kita terus memohon dan berdoa:

Tunjukkan kami jalan yang Lurus – yang betu
Jalan yang Engkau memberi Nikmat kepada mereka
Tidak Jalan yang Engkau murkakan mereka
Dan bukan tergolong dari kalangan mereka yang Sesat.

Kita memohon semoga Allah memberi hidayah, kita berada di atas Jalan Yang Lurus, Mendapat kurniaan Nikmat, tidak tergolong di dalam kalangan mereka yang dimurkai dan tidak juga dari golongan yang Sesat (Maksud dari Surah Al-Fatihah).

TG mengakhiri tazkirah dengan doa.

Sekian. Wallah a`lam.

3 comments:

  1. macam mana la sy tak tau TGNA dtg masjid ni? pagi tu ada kursus asas haji siri pertama...dan kenapa la masa balik dari kursus tu sy tak masuk kat area restoran belauk tu...sy selalu ke kawasan tu sbb sy tinggal berjiran dgn sek 7 bbb.

    Memang belum ada rezeki nak jumpa Tuan Guru Nik Aziz....semoga ALLAH memberi kesempatan di lain waktu

    ReplyDelete
  2. Alhamdulliah saya sempat dengan TGNA dan sempat bawa baby... Tok guru sempat doa dan sapu muka anak ke empat. Buat juru gambar andainya ada gambar 3 baby yang didoakan TGNA mohon seandainya dapat emailkan kepada saya...zahirmo@gmail.com

    ReplyDelete