BBB, 12 Rabiul Akhir 1434 = 23 Februari 2013 (Sabtu):
Hari ini cukup sebulan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun
1434H. Adun Bangi terlibat dengan beberapa siri Sambutan Maulidur-Rasul sejak
12 Rabiul Awal 1434 yang lepas. Ada
yang telah dilapurkan di dalam blog ini, tetapi lebih banyak tidak dilaporkan.
Apa yang dapat dikatakan bahawa berbagai-bagai cara sambutan diadakan bagi
membesar dan melahirkan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. seperti sambutan
secara berarak dari Stadium ke Masjid Jami` Kajang bagi peringkat Daerah Hulu
Langat pada Sabtu 21 Rabiul Awwal 1434 = 02 Februari 2013 sempena Karnival
Al-Qur`an yang diadakan selama tiga hari di Pekarangan Masjid Kajang. Ada yang menyambut secara
berceramah seperti yang diadakan di Masjid Sungai Ramal Luar pada 15 Rabiul
Awwal. Ada yang
menyambut secara dialog seperti yang diadakan oleh Pertsatuan Penduduk Taman D`
Cempaka berdekatan Masjid Al-Hasanah pada 21 Rabiul Awal (21 Februari). Pada
petang yang sama diadakan sambutan di Surau Al-Ukhuwwah, Seksyen 8, BBB dengan
mengadakan ceramah jemputan dari Syria dan disertai dengan nasyid bermuzik di
bahagian depan ruangan solat (mungkin lebih sesuai di bahagian belakang). Ada
yang secara bernasyid dan ceramah bagi melancarkan derma bagi membeli bangunan
seperti yang dilakukan oleh Sekolah Tahfiz di Teras Jernang dan ada yang
menjemput penceramah selebriti berceramah (Ustazah Nur Bahiyyah dan suami)
selepas mengadakan perarakan seperti yang diadakan oleh Persatuan Penduduk di
Taman Sutera, Kajang pada 6 Rabiul Akhir (17 Februari).
Sambutan Maulidur-Rasul di Pasar BBB pada hari ini sebagai
siri akhir sambutan adalah sebagai salah satu kegiatan Persatuan Peniaga Pasar
BBB yang AJKnya baru dilantik dengan kerjasama Pejabat Adun Bangi. Mengadakan
sambutan dan ceramah sedemikian bukan perkara baru, kerana kuliah, ceramah dan
tazkirah telah banyak kali diadakan di Pasar BBB sejak Adun Bangi dilantik.
Kegiatan tidak mengganggu perjalanan perniagaan di pasar. Mereka menjalankan
kegiatan seperti biasa, di samping mengikuti ceramah, kuliah adan tazkirah
sebagai panduan dan amalan. Kegiatan sedemikian adalah sesuai dengan slogan
Bangi Bandar Ilmu.
Bagi menjayakan Maulidur Rasul pada pagi yang ramai dengan
pengunjung-pengunjung dijemput penceramah Ustaz Khairil Qushayri dari Pusat
Islam UKM, pasukan Kompang setempat (seksyen 1) juga dijemput dan Kaunter
menyimak Pendaftaran Pengundi juga dibuka. Majlis bermula dari jam 9.30 pagi
dengan perarakan masuk dari luar pagar bagi pintu masuk utama pasar. Solawat
dikumandangkan dengan diketuai Adun sendiri
bersama Tuan Haji Hashim Che Da, AJK, saudara Azemi Ahmad Ketua Lajnah
Agama dan lain-lain. Perarakan berhenti di hadapan anjung pasar tempat diadakan
majlis.
Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Azemi menjemput Tuan
Haji Hashim Che Da menyampaikan ucapan alu-aluan. Menurut Tuan Haji Hashim,
``Ini adalah kegiatan pertama diadakan oleh Persatuan Peniaga Pasar sejak
dilantik,`` Beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan bantuan
daripada Adun bagi menjayakan Majlis pada hari ini. Menurutnya, Tujuan diadakan
majlis bagi mengingati Rasulullah dan mengikuti pengajarannya. Rasulullah
seorang peniaga. Kita berniaga menurut Sunnah dan seharusnya berniaga dengan jujur.
Beliau juga berharap dengan kegiatan yang diadakan lebih memeriahkan suasana
dan menceriakan hadirin.
Adun di dalam ucapannya merasa gembira kerana dapat
bekerjasama dengan Persatuan Peniaga mengadakan majlis Sambutan Maulidur Rasul
di Pasar pada hari ini. Menurut Adun, bagi mengingati Rasulullah tidak
bermusim, bukan hanya dalam masa bulan Maulid, tetapi bila-bila masa. Tanda
kecintaan kita kepada Rasulullah ialah mengikut apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.
mengenai suruhan Allah dan menjauhi dari larangan. Adun menyatakan hasratnya,
mau menjadikan perniagaan di pasar menurut ajaran Islam, iaitu menunaikan
kifayah keperluan orang ramai dan menjalankan perniagaan dengan betul.
Menyediakan barang-barang yang baik, suci dan halal.`
Ustaz Khairil dalam ceramahnya melahirkan rasa gembiranya,
melihat suasan Ilmu di Bangi, bukan saja bersemarak di masjid-surau, tetapi
hingga ke pasar. Menurutnya Rasulullah s.a.w. mengutamakan ahli ilmu mengatasi
ahli ibadat sebagaimana mengatasi cahaya bulan purnama ke atas bintang-bintang.
Katanya mencintai Rasulullah menandakan ke sempurnaan iman. Kita hendaklah
mengikuti Rasulullah sebagai contoh tauladan dan ikutan kita. Dan Rasulullah
mencintai umatnya. Tanda mencintainya hendaklah kita banyak bersalawat kepada
baginda. Ustaz Khairil juga menceritakan berbagai-bagai cerita yang
mencerminkan keunggulan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya tidak diutuskan baginda,
melainkan untuk Rahmat kepada sekalian alam.
Majlis kemudian sekali lagi bersalawat di samping beberapa
orang bergerak – termasuk Adun mebahagikan bunga-bunga telur kepada hadirin.
Majlis diakhiri dengan jamuan ringan.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan Majlis.
Sekian.
No comments:
Post a Comment