February 28, 2013

Membongkar Sejarah Purba Selangor - Lokasinya Di Jenderam

-->
Jenderam Hilir, Sepang, 16 Rabiul Akhir 1434 = 27 Februari 2013 (Rabu):

Selangor dianggap `Negeri Muda` yang namanya belum wujud di Zaman Melaka yang juga dianggap miskin dari bahan sejarah. Tempat-tempat yang dikenali pada zaman Melaka antaranya Kelang dan Jenderam yang dianggap berada di bawah naungan Melaka. Benarkah Selangor miskin dari bahan sejarah ? Benar nama Selangor belum lagi muncul pada zaman Melaka, tetapi pensejarahan Selangor terbukti jauh lebih awal dari Sejarah Melaka  itu sendiri.


Hari ini Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT turun ke Jenderam Hilir bagi mengenalpasti Tapak Arkeologi yang mempunyai bahan-bahan bukti mengenai kewujudan bahan Sejarah Selangor Sejak zaman Purba. Turun bersama pada pagi ini  ialah Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Encik Osman bin Mohd. Noh (65) Ketua Kampung Jenderam Hilir, Dr. Shaharuddin bin Idrus Pensyarah dari Institut Alam Sekitar Dan Pembangunan, UKM, Encik Zainuddin (60)  dikenali dengan pnggilan Pak Atan, Puan Intan Pegawai Penyelidik dari PADAT dan beberapa pegawai dari Padat dan penduduk Kampung.


Sebelum ke Jenderam Hilir ini kami telah dimaklumi, bahawa kawasan perlombongan di Jenderam Hilir ini telah dibuat kajian oleh dua orang pengkaji, iaitu Brian C. Batchelor (1977) dan Leong Sau Heng (1977), hasil dari penggalian bijih timah di sini sejak 1969 yang berlokasi di tepi Sungai Langat di kawasan terbuka mereka menjumpai peralatan pada zaman Neolitik (Sebelum Masihi), iaitu peralatan alat beliong batu yang berbentuk segi bujur, alat batu untuk kerja mengisar dan menumbuk serta batu giling untuk mengasah artifek-artifek batu. Kegiatan membuat tembikar tanah juga dilakukan di Kampung Neolitik Jenderam Hilir. Serpihan tembikar juga banyak kedapatan yang ternyata tanah bagi tembikar-tembikar ini adalah tanah tempatan di Jenderam Hilir. Tapak di sini merupakan tapak pertama didiami oleh orang Neolitik dan pertama ditemui di Selangor. Pihak PADAT juga melalui Ketua Kumpulan Penyelidiknya Puan Intan mengesan (April 2012) lokasi yang dikaji Batchelor dan didapati kawasan kajiannya masih belum terganggu. Berdasarkan ujian radio carbon artifek ditemui yang tertua kira-kira berusia antara 1950 hingga 1830 tahun Sebelum Masihi.


Kedatangan Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT dan rombongan pada hari ini lebih merupakan usaha mengenalpasti Tapak Arkiologi Jenderam Hilir di sini bagi meluaskan kajian dan kemungkinan tindakan yang harus diambil bagi kepentingan sejarah dan masa depan. Pada permulaan kesampaian kami singgah dengan tiga buah kenderaan 4 pacuan roda di Balai Raya Jenderam Hilir - Ada kematian di rumah tepi balairaya. Adun menziarah dan kembali ke Balairaya mendapat taklimat ringkas dari En. Zainuddin – Bekas pekerja lombong di sini sejak 1969 (Antara bekas pekerja disebut oleh En. Zainuddin ialah Ameer Orang Asal yang masuk Islam,  Encik Li juga orang Asal yang masuk Islam dan En. Udin Embong – Mereka tidak hadir). Kemudian kami bertolak ke kawasan ke dalam dari kampung lebih kurang 3 kilometer dan kami sampai ke kawasan tasik-tasik bekas lombong yang agak luas. Ada 4 tapak lombong bagi 4 Syarikat (sudah tidak bergiat) yang hampir bersambung antara satu sama lain. Kami ditunjukkan oleh Encik Zainuddin Kawasan Rembah Putera lokasi terawal kami sampai, maka dari lombong gali di sini paling banyak diketemui artifek-artifek seperti artifek tembikar Cina yang diketemui sedalam 70 kaki. Kemudian kami bertolak ke kawasan Tiga Sekawan, berikutnya Kawasan Rahman dan terakhir Galian Hamzah yang di sini diketemui Dayung Perahu. Kawasan penemuan artifek-artifek adalah dari kawasan lombong yang keluasan tanahnya dalam lingkungan 50 kilometer persegi yang berkedudukan 6 kilometer dari Dengkel dan 10 kilometer dari Putrajaya.


Yang menariknya penemuan di tapak terbuka di sini bukan dari zaman Neolitik sahaja, iaitu dari peralatan batu, tetapi juga mencerminkan penempatan di tepi Sungai Langat di sini dari generasi-generasi berikutnya misalnya penemuan seperti bekas-bekas periuk yang diperbuat daripada tanah antaranya berkaki tiga yang menandakan dari zaman lebih kemudian dari Neolitik dan dari zaman yang lebih kemudian lagi diketemui bahan-bahan seramik yang mempunyai kaitan dengan tradisi pembuatan di beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu dan Selatan dan Barat Thailand. Tembikar sedemikian tidak diketemui di luar dari kawasan tersebut. Lebih menarik kesinambungan dari zaman itu diketemui artifek-artifek seperti kendi, mangkuk seramik, mangkuk gangsa yang menunjukkan ada hubungan dagang masyarakat di Jenderam dengan luar yang menurut Batchelor (1977) mangkuk gangsa dikenal pasti penggunaan antara 700 dan 1200 Selepas Masihi. Jumpaan timah dalam bentuk wang membuktikan masyarakat di Jenderam mempunyai hubungan dagang dengan luar. Jenis wang sedemikian memang diketemui di Lembah Kelang yang digunakan pada awal 1511.


Selepas melawat tapak-tapak berkenaan, kami keluar dan berada kembali di Balairaya. Di sini kami mengikuti pembentangan kertaskerja oleh Puan Intan Salina yang memperkatakan tentang apa yang telah dibicarakan di atas ditambah dengan huraian oleh Dr. Shaharuddin. Dari kunjungan kami dapati lokasi Sungai Langat di sini amat penting. Lokasi di sini didiami sejak dari zaman Neolitik dan berterusan sehingga zaman Gangsa yang Gendang Gangsa juga diketemui di Kelang dan seterusnya hingga zaman Sejarah. Orang Neolitik di sini hidup secara bertani dan menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perhubungan. Budaya hidup bergantung pada sungai berterusan sehingga zaman sejarah, bahkan hingga kini.
Pertemuan ini amat penting yang sekaligus menunjukkan bahawa Selangor tidak miskin dari segi sejarah. Sebaliknya selari dengan penemuan di Gua Cha di Kelantan dan juga di Gua di Perlis. Namun dengan bukti-bukti artifek di Jenderam, bahawa masyarakat di sini sejak dari zaman Neolitik bukan penghuni gua, sebaliknya adalah penghuni di tanah terbuka di tepi sungai dan berterusan menerima perubahan dan berubah budaya menurut perubahan zaman.


 Kunjungan ini bersifat permulaan. Banyak lagi kunjungan, kajian dan penelitian akan dibuat. Berbagai cadangan akan dikemukakan kelak untuk diambil tindakan.

Sekian.

2 comments:

  1. la...den tak tau plak tompek datuk nenek moyang den ni lagi lamo dari Kerajaan melako dolu...

    ReplyDelete
  2. baru tgh hari tadi saya ziarah muzium negara dan jenderam hilir adalah salah satu tapak arkeologi yg menandakan kewujudan tamadun neolitik . Berniat mahu ke sana esok, untuk melihat tapak eskavasi. tapi mungkin kini sudah tiada :)

    ReplyDelete