Jenderam Hilir, Sepang, 16 Rabiul Akhir 1434 = 27 Februari
2013 (Rabu):
Jenderam Hilir tempat diketemui artifek-artifek pada zaman
Neolitik, Gangsa dan Zaman Sejarah Awal dilihat pada zaman kini adalah berada di
pinggir ke dalam (3 km.) bagi Jenderam Hilir. Pada masa kini ialah kawasan
bekas lombong bijih timah yang terdiri dari rangkaian tasik-tasik akibat dari
kerja-kerja melombong. Pada hakikatnya kawasan ini telah berlaku beberapa siri
perubahan dan kawasan Kampung Neolitik juga telah berubah. Jadi keaslian
Kampung Neolitik yang terletak di tepi larian Sungai Langat yang asli telah
turut berubah. Namun kita dapat bayangkan bahawa Kampung Neolitik ini adalah
sebagaimana kampung biasa yang berada di tepi sungai yang menjadi sumber air
penduduk dan darinya penduduk mendapat sumber makanan seperti menangkap ikan
dan memungut tumbuhan di pinggir sungai. Lebih daripada itu Sungai Langat
menjadi jalan perhubungan air utama dalam mana perahu telah digunakan. Di pinggir
Sungai dan darat menjadi tempat kediaman dengan pondok lindungan yang sesuai
pada zamannya. Tanah yang rendah dan rata di pinggir perbukitan (kini Bukit
Unggul) memang amat sesuai bagi pertanian seperti padi, ubi, jagung dan
lain-lain tanaman.
Namun tapak asal Orang Neolitik yang diketemui berbagai artifek sejak zaman Neolitik atau zaman batu itu mengalami beberapa siri perubahan sekurang-kurangnya:
1) Perubahan
yang diakibatkan oleh kegiatan perlombongan yang berlaku sejak 1969 sebagaimana
dimaklumkan oleh En. Zainuddin yang merupakan salah seorang pekerja lombong di
Jenderam sejak zaman mudanya dan informan utama hari ini. Perubahan bukan saja
dari segi struktur tanah, tetapi mengakibatkan pengalihan laluan Sungai Langat
bagi kepentingan perlombongan. Ini menyebabkan kawasan seluas kira-kira 50 km.
persegi itu kelihatan bagai ruang luas yang dipenuhi dengan tasik-tasik
lombong. Wajah Kampung Orang Neolitik bukan saja berubah, tetapi hilang
keaslian.
Walau bagaimana dengan pembukaan lombong yang dikenali dengan
Rambah Putera, Tiga Sekawan, Rahman dan Lombong Hamzah, dari satu segi membawa
rahmat, kerana dari kegiatan melombong ini membawa kepada penemuan
artifek-artifek seperti di Lombong Rambah Putera diketemui bahan Neolitik dari
perkakasan batu yang membawa kepada usaha carigali arkeologi dan kepada penemuan
bekas-bekas dari bahan seramik dan mangkuk gangsa. Begitu juga dari tapak
lombong Galian Hamzah diketemui dayung perahu.
2) Perubahan
terbaru yang diakibatkan oleh pembinaan-pemibinaan terusan bagi mengalirkan air
dari tasik-tasik lombong di Jenderam selepas 2001 (Berikutan pengambilan Putera
Jaya oleh Kerajaan Persekutuan) bagi memenuhi tasik-tasik di Putera Jaya,
khususnya bila berlaku kekurangan air. Kawasan lombong Jenderam di sini kini
seolah-olah merupakan kawasan tadahan air bagi disalirkan ke Putera Jaya. Bagi
membina terusan-terusan berkenaan kemungkinan tanpa disedari ada
artifek-artifek diketemui, tetapi tidak disedari oleh pekerja-pekerja dari segi
kepentingan sejarah atau memang rosak dan musnah oleh mesin-mesin atau kegiatan
membuat saliran.
3) Kegiatan
terbaru yang mengakibatkan kerosakan dari segi permukaan bumi di kawasan di
Jenderam (Perlombongan lama) ini ialah kegiatan mengeluarkan pasir dari kawasan
ini dengan cara besar-besaran. Pada masa lawatan kami di sini kami
berkesempatan menemui Ketua Pekerja Melombong Pasir, Encik Lee Yan Beng dari
Syarikat Bright Century dari Bandar Botanik, Kelang dan bertanya kemungkinan
mereka menemui barang-barang lama berharga (artifek) di kawasan perlombongan
pasir di situ. Walaupun beliau menjawab tidak ada menemui apa-apa, kita tidak
boleh berpegang sangat dengan jawapannya. Mungkin pekerja-pekerja ada menemui
bahan-bahan bersejarah, tidak diketahui nilainya, maka bahan-bahan ini musnah
dan hilang. Atau berlaku kerosakan pada bahan-bahan baik dengan sengaja atau
tidak sengaja yang bagi mereka tidak penting dan tak kisah. Sebab itu bagi
mengelakkan dari kehilangan bahan-bahan dari tempat bersejarah ini perlu
diambil tindakan menghentikan dari penerusan perlombongan pasir di sini atau
sekurang-kurangnya ada pemantau bagi memastikan jika ada artifek atau bahan
bersejarah dapat siselamatkan (Adun berpesan kepada Encik Lee jika ada sebarang
penemuan bahan bersejarah memintanya memaklumkan kepada Ketua Kampung – En.
Osman bin Mohd. Noh (65) yang turut bersama kami).
Usaha penyelamatan jangka panjang tapak di sini perlu diambil antaranya menggezetkan kawasan di sini sebagai Kawasan Warisan. Tindakan membaikpulih dan membangunkan kawasan ini sebagai kawasan Warisan Sejarah perlu dilakukan. Usaha-usaha bagi mendapatkan artifek-artifek di sini dan kawasan sekitaran termasuk kawasan Bangi Lama, Genderam Hulu hingga Dengkel hendaklah dijadikan kawasan kajian bagi mendapat lebih maklumat dan bahan-bahan tinggalan.
Tempat ini haruslah dibina sebagai Tapak Warisan Sejarah dan
Budaya Masyarakat Silam dan kelak ianya boleh dijadikan kawasan pelancongan
secara terkawal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment