March 21, 2013

Rasmi Pasar Tani Guna Sementara Tapak Masjid At-Taqwa Bukit Mahkota

Bukit Mahkota, 05 Jamadil Awwal 1434 = 17 Mac 2013 (Ahad):


Sebagaimana penduduk Bandar Seri Putra berusaha mahu mendirikan masjid bagi penduduk Bandar Seri Putra, maka demikianlah penduduk Bandar Bukit Mahkota yang diduduki lebih kurang sama – 2002, juga maukan sebuah masjid didirikan di Bandar Bukit Mahkota. Kedua-dua tempat mempunyai tapak masjid yang telah disediakan oleh pihak Pemaju. Cuma di Bandar Seri Putra pihak AJK Pembinaan Masjid berusaha mendirikan Masjid dengan pemungutan derma dari orang ramai, manakala bagi Bandar Bukit Mahkota berusaha mendapat peruntukan kerajaan yang secara token dimasukkan ke dalam RMK ke 10, tetapi hingga kini masih belum mendapat peruntukan. Perkara ini dibangkitkan kepada JAIS dan pihak AJK diminta bersabar.


Ironinya tapak masjid Bandar Seri Putra (Masjid Al-Mustaqim) kini digunakan oleh Pasar Malam, tetapi Adun menerima surat bantahan, tidak mau tapak ini digunakan sebagai tapak Pasar Malam, dan mau Pasar Malam dipindah balik ke tempat awal dan asal. (Mengapa tidak diambil peluang mengambil bayaran tapak berniaga bagi kepentingan Masjid Seri Putra ?), sedangkan pada pagi ini Adun menerima jemputan dari pihak AJK Pembinaan Masjid At-Taqwa, Bukit Mahkota bagi merasmikan (bererti membenarkan) pihak Pasar Tani (juga mendapat kebenaran bersurat dari JAIS) di Tapak Masjid At-Taqwa yang sudah tentu untuk mendapat dana bagi persediaan pembinaan Masjid At-Taqwa. Walau bagaimana Adun tidak mau mempersoalkan keputusan dan tindakan kedua-dua AJK Masjid berkenaan.


Adun hadir pagi ini ke Tapak Pasar Tani yang menggunakan secara sementara Tapak Masjid At-Taqwa bagi kemudahan penduduk mendapat barangan dapur. Semasa ketibaan ramai pengunjung-pengunjug sedang membeli belah. Kenderaan Adun terus masuk ke dalam disambut antaranya oleh Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, Pengerusi JK Pembinaan Masjid Ustaz Zahari Abdullatif, Leftenan En. Shukor Ketua Rela, Tuan Haji Khair, Tuan Haji Jamali, AJK-AJK, peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung Pasar Tani. Dalam percakapan sebelum bermulanya Majlis, Adun diberitahu, bahawa di atas tapak yang lebih kurang sama ada dijalankan perniagaan Pasar Pagi (waktu lain) dan Car Boot Sell di tepi jalan – ada pada pagi ini.


Ustaz Haji Zahari dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan tentang projek Masjid yang telah mendapat pengakuan sebagai dimasukkan ke dalam RMK 10, tapi tidak dapat dipastikan bila sebenarnya akan mula dibina. Beliau dan AJK memngharapkan Masjid berkenaan segera dibina. Adapun Pasar Tani diadakan bagi kemudahan penduduk, buat masa ini tiada tanda-tanda pembinaan, sebab itu dari terbiar kosong, lebih baik digunakan. Darinya dapat sumber bagi kegiatan dan penyediaan mendirikan Masjid. Tuan Haji Mazwan yang merupakan Penaung, juga melahirkan harapan agar Masjid berkenaan dapat didirikan segera.


Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan yang dibuat. Kata Adun, ``Ini merupakan kegiatan kedua kali Adun datang ke tapak Masjid ini. Pertama semasa menyertai Karnival Kayuhan Kasih beberapa bulan yang lepas. Kata Adun, ``Sejak itu Adun dapati bahawa tempat ini – di tapak Masjid di sini berpotensi maju, Ini terbukti dengan kahadiran pengunjung begitu ramai. Sudah tentu ada tawaran yang menarik yang dapat diberi oleh Pasar Tani dan jualan-jualan yang lain. Namun Adun mengingatkan kepada peniaga-peniaga agar menawarkan barang-barang yang baik dengan harga berpatutan, tetapi jika dijual barang yang tidak fresh dan rosak menjadikan orang sukar untuk datang bagi kali kedua dan seterusnya. Ingatlah Pengguna adalah Raja, kita perlu mengadakan perkhidmatan yang memuaskan mereka. Jika perkhidmatan tidak memuaskan seperti barang tidak elok dan harga agak mahal, orang mungkin datang sekali dua dan serik tidak datang lagi.


Berhubung dengan Masjid At-Taqwa, Adun berpendapat AJK tidak seharusnya menunggu bila projek akan dimasukkan ke dalam RMK Ke-10, sebaliknya terus berusaha bagi memastikan projek dapat berjalan dengan segara. Antaranya menggunakan cable-cable yang berpengaruh agar menjadikan pembinaan Masjid At-Taqwa sebagai priority. Adun mencadangkan agar Tabung Derma Masjid At-Taqwa juga dilancarkan, sekuarng-kurangnya dengan duit yang didermakan dapat digunakan bagi persediaan pembinaan tapak. Pada penghujung dari ucapan Adun, Adun melafazkan bimillahir Rahmanir Rahim merasmikan Pasar Tani bagi kali pertama penjualan diadakan di atas Tapak Surau At-Taqwa dengan mendoakan kepada Allah perniagaan oleh Pasar Tani, Pasar Pagi dan juga Bootcar selling dapat hidup di dalam memberi kemudahan kepada penduduk, khusus penduduk Bukit Mahkota mendapat barang keperluan dapur dan harian mereka.


Selepas dari perasmian Adun melancarkan Tabung Derma Masjid At-Taqwa dan selepas itu Adun dibawa melawat dari gerai ke gerai bertanya khabar sambil melihat barangan yang dijual.

Sekian.

No comments:

Post a Comment