March 4, 2013

Membicarakan Karya-Karya Dua Sasterawan Negara Selangor

Muzium Sultan Alam Shah, 06 Rabiul Akhir 1434 = 16 Februari 2013 (Ahad):



Pada Sabtu 16 Februari yang lepas telah diadakan Program Bicara Karya Sasterawan Negara Anak Selangor bertempat di Muzium Sultan Alam Shah, Padat. Program ini diadakan berikut dari Majlis Meraikan Dua Sasterawan Negara Anak Selangor yang diadakan pada malamnya ( Jumaat 15.2.2013) bertempat di Bangunan Perbadanan Kemajuan Peladang Selangor (PKPS).


Hadir pada pagi ini ialah YB. Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan selaku Perasmi, S.N. Dato` Dr. Anuar Ridhwan, S.N. Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) yang kedua-duanya diraikan, saudara Prof. Madya Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana), saudara Hamzah Hamdani dan saudara S.M Zakir selaku Panel Forum dan Moderator, Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Pegawai-Pegawai Padat, mahasiswa/wi dari UPSI dan Aswara dan peminat-pendengar.

Pasang Tanglung di malam hari
Cahaya menawan warnanya merah
Datang berkampung kita ke sini
Dua sasterawan Negara dianugerah.

Selepas menugal menumbuk emping
Bergaul kelapa enaknya mari disaji
Pantas terkenal seorang dengan novel-cerpen
Seorang lagi ketara dalam genre puisi


Dalam ucapan alu-aluan Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT menyebut, bagi seorang sasterawan apa yang lebih berharga bagi dirinya kalau bukan buku dan hasil penulisannya. Buku ialah hasil pemikiran, daya imaginasi dan kreativiti seorang penulis baik sebagai easiest, novelis, cerpenis dan penyair. Kita dapat mengenal pemikiran, imaginasi dan kreativiti Anuar Melalui katakan novelnya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus, melalui kumpulan-kumpulan cerpennya seperti di dalam Sesudah Perang atau Dunia Sebuah Apartment dan mengenali Kemala melalui kumpulan-kumpulan puisinya Ayn (1983), Titir Zikir (1995) dan Mim (1999).


Menurut Adun kita mampu memahami karya dengan membaca, tetapi dengan pembicaraan lebih serius seperti diskusi dan kritikan dapat membantu kita memahami lebih mendalam tentang karya-karya yang diperkatakan. Lantaran itu kita adakan Program Bicara Karya sasterawan Negara bertujuan untuk melihat :

  1. Keistimewaan dan Keindahan karya-karya kedua Sasterawan Negara Selangor
  2. Menghayati rasa kemanusiaan yang tinggi yang berperanan mengharmonikan jiwa dan kehidupan
  3. Melatih diri menggunakan bahasa dan sastera secara baik dan indah
  4. Memupuk kecintaan terhadap bahasa
  5. Melihat identiti penulis yang mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri.


Inilah antara tujuan kita menjemput pembicara-pembicara berwibawa, iaitu saudara Hamzah Hamdani Penulis, Pengkritik dan Pemimpin Oraganisasi (GAPENA), manakala saudara Mana Sikana Ahli Teori Sastera, Penulis dan Pengkritik yang kini berkhidmat di UPSI. Manakala moderator juga tidak kurang terkenal. Saudara S.M. Zakir Penulis Muda yang banyak menghasilkan cerpen-puisi bergaya baru dan buku-buku yang mengukukuhkan kedudukan di dalam penulisan, di samping pengkritik yang tajam mata penanya. Adun berharap khalayak sastera akan berpuashati di dalam mengikuti pembicaraan pada pagi ini. Adun juga berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program dan yang datang menyeri dan menghidupkan perbincangan.


YB Dr. Ahmad Yunus dalam ucapan perasmiannya beliau memberi penghargaan kepada dua tokoh sasterawan Negara yang telah mencurah idea dan kretivitinya bagi kepentingan sastera, budaya, negeri dan Negara. Dua Sasterawan Negara adalah anugerah dari Allah kepada negeri dan rakyat negeri Selangor secara berturut-turut - S.N. Negara Dato Anuar Ridhwan ke sepuluh (2010) dan S.N. Dato` Dr. Ahmad Kamal bin Abdullah ke sebelas (2011) membawa contoh yang baik dari segi penghasilan karya dan pengluahan rasa yang bermutu. Menurut YB. Dr. Ahmad sumbangan kedua Sasterawan Negara terhadap Negara dan negeri amat banyak. Penghargaan kerajaan Negeri terhadap mereka adalah kecil. Tetapi kata YB. Dr. Ahmad Yunus penghargaan adalah lebih penting dari apa barangan diberikan. Beliau berharap lebih ramai lagi Sasterawan Negera akan lahir dari negeri Selangor.


Dalam pembicaraan Sasterawan Negara, saudara Hamzah Hamdani yang berkhidmat di DBP (1977-2005) menyatakan Novel terkuat Anuar Ridhuan ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman hasil dari Sayembara Penulisan Novel oleh Yayasan Sabah-Gapena (1979), manakala Novel Arus adalah hasil Hadiah Sastera Malaysia (1980an). Menurut Hamzah Hamdani, Pada peringkat awal Anuar menulis menurut aliran realisme bergerak ke Realisme magis dan turut membawa elemen-elemen Islam dan kembali kepada realisme.

Menurut Mana Sikana, beliau mengikuti perkembangan Kemala sejak beliau bersekolah di Sekolah Izzuddin Ipoh. Beliau tertarik dan membuat potongan akhbar karya Kemala dan menyimpan puisi-puisi berkenaan. Di universiti beliau juga memilih penelitian terhadap puisi-puisi Kemala. Beliau juga mengeluarkan pendapat, ``Di Malaysia hanya ada tiga orang penyair, iaitu Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Kemala.`` Biarpun pernyataan beliau ini menimbulkan kontroversi, ternyata pendapatnya berasas. Ketiga-tiga orang ini paling kukuh dalam penulisan.

Mana Sikana juga melihat kecenderungan Mutakhir Kemala kemudiannya kepada pengucapan puisi-puisi Islam sebagaimana di dalam karya-karyanya Meditasi, Era, Kaktus-Kaktus dan lain-lain. Beliau juga melihat Suhaimi Haji Muhammad juga selaku penyair Puisi Islam. Mana Sikana melihat Kaktus-Kaktus sebagai puisi yang kaya dengan stylistic.

S.M.Zakir sebagai moderator mengalihkan pembicaraan kepada penggunaan teori dengan mengaitkan Teori Takmilah yang melihat tentang keindahan dan keunggulan karya oleh Penulis dan Taabbudiyyah dan Tekdealisme oleh Mana Sikana Sendiri. Menurut Mana Sikana ada beberapa tahap dalam penujuan kepada Teori, iaitu bermula dari Gagasan, Model, Pendekatan dan Teori. Menurut Mana Sikana beliau pernah menggunakan Teori Takmilah dalam menilai karya Kemala. Turut disentuh tentang Estetika Bersepadu oleh Dr. Abdul Halim. Shahnon Ahmad turut membicarakan tentang teori dan Pelanggaran yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam karya yang disifatkan ada Hijrah termasuk berkarya di dalam Islam yang seharusnya menuju kepada yang lebih baik dan Islamik di dalam berkaya.

Saudara Hamzah Hamdani menyebut di dalam menilai karya (Peraduan) kita tak tau siapa pengarang, tetapi kita merasa tentang gaya bahasa. Beliau memberi contoh karya Menyeberang Sempadan oleh Anwar Ridhuan yang diketahui selepas keputusan. Anuar juga berexperimen beliau memberi contoh karya Ogonshoto yang berasal dari cerpen dan meningkat jadi novel. Tapi menurut Hamzah, walaupun Anuar bergerak berubah dalam berkarya dari realisme, kepada realisme magis, Islam akhirnya beliau kembali kepada realisme.

S.M.Zakir sekali lagi mengaitkan puisi Kemala dengan unsur Tasauf yang boleh dilihat melalui Teori Takmilah dan Taabbudiyyah. Sastera Sufi adalah sastera kerohanian yang digarap oleh amalan dan orientasi kesufian. Kemala sudah tentu terpengaruh dengan Pengajaran Habib Umarnya, karya-karya Hamzah Fansuri, Rumi, Iqbal dan lain-lain. Ini dapat dilihat di dalam karya-karya beliau seperti di dalam Ayn, Kaktus-Kaktus, Pelabuhan Putih dan Mim.


Ketika Majlis dibuka kepada soal jawab, pada permulaan tiada yang mahu menyoal. Tapi di atas kebijaksanaan Pengerusi S.M. Zakir, beliau menghidupkan pembicaraan dengan beliau sendiri membuat soalan-soalan. Ada pertanyaan berhubung kurangnya sasterawan muda yang menjadi pelapis akan datang. Kekurangan adalah lantaran kesilapan polisi Negara yang amat memberi penumpuan terhadap sains dan teknik. Sebab itu bidang sastera mengalami kekurangan bakat dan minat serta lemah dari segi penggunaan bahasa. Sebagaimana sukar berbahasa, maka akan bertambah sukar untuk menghasilkan karya. Kejayaan dua S.N. Selangor dapat dicontohi. Mereka menguasai bahasa dengan baik. Adalah diharap mereka berdua menjadi contoh kepada generasi baru bagi terus berkarya. Semoga akan ramai lahirnya sasterawan Negara di Selangor pada masa akan datang.

Pada akhirnya kedua Sasterawan Negara diberi peluang berucap dan mereka berterima kasih kepada panel forum memperkatakan tentang Kedua mereka dan pihak PADAT yang meraikan 2 Sasterwan Negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment