March 22, 2013

Intelektual & Kesedaran Rakyat Dalam Hubungan Dengan PRU Ke 13



BBB, 08 Jamadil Awwal 1434 = 20 Mac 2013 (Rabu): Adalah merupakan tajuk forum yang menarik anjuran JASA yang diadakan di sini pada malam ini bertempat di Kompleks Pendidikan Islam (KPI), Seksyen 16, BBB. Ahli panel forum terdiri dari Dr. Abdul Aziz Bari Bekas Profesor Undang-Undang UIA, Dr. Shahrir Mohd Zain Bekas Profesor Matematik UKM, dan saudara Dinsman (Shamsuddin Othman) Penulis dan Presiden PAKSI. Manakala Perasmi Forum ialah YB. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi. Turut hadir ialah Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk BBB, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB, saudara Azizon Norhan Timbalan Presiden JASA (mewakili Presiden sdr. Zulkhairi bin Abdul Aziz), saudara Nor Hosni Mohd Said Setiausaha JASA, para jemputan dan hadirin yang memenuhi medan anjung KPI. Moderator pada malam ini ialah saudara Ikram bin Darus yang dalam alu-aluan secara tidak langsung memperkenalkan JASA, iaitu Persatuan Alumni UKM yang ditubuhkan pada tahun 2006 yang memfokuskan kegiatan dalam bidang keilmuan, kemasyarakatan dan keilmuan. Kegiatan lebih bertempat di Bangi dan Lembah Kelang. Dalam Ucapan Perasmian Adun menekankan bahawa intelektual adalah merujuk kepada mereka yang berpelajaran baik secara formal atau tidak formal, mampu membuat penilaian secara objektif dan mempunyai pendirian dan pandangan betul dan benar berasaskan keyakinan intelektual. Misalnya melihat kepada suasana politik Negara, mereka faham berasaskan reality dan fakta dan tidak mudah dipengaruhi oleh elemen-elemen yang tidak benar. Adun membawa contoh Selangor lebih tinggi dari segi kesedaran intelektual, kerana negeri ini mempunyai banyak pusat pengajian tinggi dan mempunyai kemudahan komunikasi, sebab itu negeri ini lebih ke depan dari segi kesedaran politik, ekonomi dan perubahan sosial. Namun dari satu segi ada hambatan-hambatan, umpamanya pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja kerajaan Persekutuan bimbang kerana menghadapi tekanan, sebab itu mereka ini lebih mengambil sikap berdiam diri. Contoh yang lebih kecil di Dun Bangi kawasan yang tinggi dengan kesedaran pelajaran, lantaran di sini mempunyai 18 buah universiti, berpuluh pusat penyelidikan dan berpuluh pula pusat latihan. Kebimbangan ketara misalnya untuk menyampaikan bantuan kepada Sekolah-sekolah Persekutuan guru-guru tidak berani berjumpa dengan Adun, sebaliknya urusan adalah melalui PIBG. Tenaga-tenaga akademik yang ramai tinggal di sekitar Bangi, juga kelihatan lebih suka berdiam diri dari bersikap terang-terangan. Tetapi kita yakin dengan keintelektualan mereka, mereka menterjemahkan kefahaman yang ada pada mereka kepada keyakinan dan sokongan. Adun menekankan, kesedaran seperti yang ada pada wilayah intelektual seperti di Bangi perlu digerakkan ke kawasan-kawasan yang kurang terdedah kepada maklumat dan kedudukan sebenar, agar mereka sama mendapat maklumat dan kedudukan sebenar, khususnya dari segi politik dan kemasyarakatan. Adun berpendapat forum seperti malam ini seharusnya turut dibawa ka wilayah-wilayah yang masih tertinggal dari segi maklumat dan kedudukan sebenar. Dr. Abdul Aziz Bari yang memberi respond terhadap forum yang berasaskan soalan Pengerusi (Moderator), berpendapat intelektual ialah orang yang mempunyai idea segar, original dan bernas. Tidak semestinya lulus universiti, bahkan menurutnya tidak semestinya seorang professor seorang intelektual. Beliau menyindir tajam berhubung dengan cadangan untuk membawa isu konflik bersenjata dan berdarah di Sabah ke Parlimen, yang dijawab oleh ahli Persatuan Profesor, `tidak perlu`. Dr. Aziz berpendapat cadangan mengenai isu ini penting, tetapi `profesor yang meremehkan cadangan memperlihatkan daya fikir yang lemah dan anti intelektual. Mereka sebenarnya lebih bersifat merapu dan merepek dan tidak layak digelar intelektual. Menurut Dr. Aziz kini tidak ada yang menjadi Public Intelektual yang berkomunikasi dengan rakyat, tetapi ramai ialah pseudur intelektual yang menjadi alat bagi menjaga kepentingan, kedudukan dan publisiti diri. Saudara Dinsman sebagai aktivis dan seniman rakyat menyatakan beliau dan kawan-kawan menubuhkan PAKSI bagi memperjuangkan kebenaran dan membela rakyat. Malangnya keahlian yang asalnya berjumlah 40 orang tidak banyak bertambah, mereka sukar dan berat untuk bergerak bagi membela rakyat kecuali seperti Pak Samad Said dan beberapa teman yang lain – turut sama datang bersama sdr. Dinsman beberapa temannya dalam PAKSI. Namun saudara Dinsman merasa gembira dan kagum dengan perubahan yang berlaku di kalangan artis yang ramai dari kalangan mereka yang berhijrah dan berpihak kepada rakyat. Kata saudara Dinsman, walaupun dengan kelompok yang kecil ``Kami dapat mewarnai pergerakan dan menggugat establishment, kami dengan lantang menyuarakan pembelaan terhadap Bahasa Kebangsaan, system pendidikan, mengecam rasuah, nepotisme dan kronisme.`` Tambahnya, ``Kami lebih lantang dan berada di atas landasan kebenaran berbanding dengan 1,600 Majlis Professor yang lebih bersifat merapu dan membodek bagi menjaga kedudukan dan pangkat !`` Dr. Shahrir Mohd Zain lebih membicarakan tentang istilah intelektual yang pada zaman tradisi digunakan istilah `budi` - Intelektual bererti `Budiman` dan kini istilah ini dipadankan dengan istilah `ulul al-bab`. Menurutnya satu survey yang dilakukan pada tahun 2008 bahawa intelektual 60% adalah dari kalangan akademik, 22% adalah dari kalangan wartawan dan selebihnya dari berbagai lapangan. Dari survey itu menunjukkan hanya ada 11 intelektual di Malaysia, tetapi hanya 4 orang daripadanya dari kalangan akademik. Persoalan lain yang ditimbulkan selepas itu mengenai kebebasan akademik. Menurut Aziz Bari, kini tiada kebebasan akedemik. Sebelum 1974 ahli akademik lebih bebas. Kini mereka terikat dengan berbagai akta dan peraturan yang membelenggu mereka. Turut sama terikat ialah para mahasiswa. Mereka juga menghadapi berbagai sekatan. Dr. Tajul Ariffin Noordin menimbulkan masalah belenggu yang dihadapi oleh tenaga akademik yang mereka diperlakukan sebagai guru sekolah. Para panel bersetuju kesedaran intelektual di kalangan masyarakat amat penting yang membolehkan mereka membuat pilihan secara tepat – termasuk soal politik. Mereka seharusnya bukan saja mengambil tindakan perseorangan, tetapi seharusnya menyedar dan menggerakkan massa agar semua menentang kebatilan dan menegakkan kebenaran dan keadilan.




 Sekian.

No comments:

Post a Comment