March 28, 2013

Wasiat Rasulullah s.a.w. Tema Kuliah Di Rumah YAB Dato` Menteri Besar Selangor

Kediaman Rasmi Menteri Besar, Shah Alam, 09 Jamadil Awwal 1434 = 21 Mac 2013 (Khamis):


Sudah lama tidak menghadiri Kuliah Bulanan yang biasanya diadakan pada malam Jumaat sekali sebulan di Kediaman Rasmi Dato` Menteri Besar Selangor – dihentikan sementara. Mutakhir pada bulan lepas dari siri baru diadakan di Ijok, Kawasan Dun YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor. Oleh kerana tempat begitu jauh dan waktu malam, maka Adun Bangi yang sering menghadirinya di Kediaman Rasmi YAB, maka Adun tidak menghadirinya ke Ijok.


Malam ini kuliah kembali diadakan di Kediaman Rasmi Dato` Menteri Besar di Seksyen 7, Shah Alam. Mulai jam 6.00 petang secara berseorangan Adun bertolak dari Bangi dan tiba betul-betul masuk Maghrib – jem di jalan orang pulang kerja, berkesempatan berjamaah. Selepas solat pengumuman dibuat bahawa Penyampai Kuliah ialah Ustaz Hj. Ghazali Bin Hj. Omar seorang pendidik lulusan Al-Azhar dan juga Pendakwah yang sering menyampaikan ceramah. Tapi pengumuman memaklumkan, bahawa pada malam ini tidak sebagaimana pada siri-siri lepas - menyambung Kitab Fiqh As-Siyasah oleh Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang diedarkan kepada hadirin sebelum pengajaran, sebaliknya Ustaz Haji Ghazali akan berkuliah mengenai tajuk Wasiat Rasulullah s.a.w. berdasarkan buku hasil karangannya yang berjudul:

Buktikan Cinta Terhadap Rasulullah s.a.w.


Buku ini diedarkan dan boleh dimiliki dengan harga RM15.00 sebagai derma kepada Ma`had Tahfiz yang Penceramah sama berusaha mendirikannya, iaitu Ma`had Tahfiz Parit Kemahang. Wasiat Rasulullah adalah sebahagian daripada kandungan buku yang dihasilkan oleh Ustaz Haji Ghazali pada bahagian akhir yang disedut dari Khutbah-Khutbah Rasulullah s.aw. Beliau mengemukakan tiga wasiat.

Wasiat Pertama:
Iaitu dari Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w. yang disampaikan pada 9 Zulhijjah, tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah yang membayangkan pengakhiran hayat Baginda Rasulullah s.a.w yang mengingatkan bahawa jiwa dan harta setiap orang Islam sebagai amanah suci, kembalikan harta yang diamanahkan kepada pemilik sebenar, jangan menyakiti sesiapa, kamu akan kembali kepada Allah dan mendepani perhitungan di atas amalan kamu, Allah mengharamkan riba, waspadalah dari tipu daya syaitan, jagalah hak suami isteri, layanilah wanita dengan baik, jangan biarkan mereka yang tidak berkenaan masuk ke rumah kamu dan jauhi dari zina. Dirikan solat, berpuasa bulan Ramadhan, keluarkan zakat dan kerjakan ibadat Haji jika berkemampuan. Setiap muslim adalah bersaudara dan tiada kelebihan antara kamu melainkan yang bertaqwa dan beramal salih.

Wasiat Kedua:
Dipetik dari Hadith riwayat Al-`Irbad bin Sariyah r.a.

Tentang wasiat Rasulullah yang begitu berkesan, sebagai wasiat Baginda bakal pergi. Baginda meminta supaya mereka bertaqwa kepada Allah dan patuh kepada pimpinan walaupun dia seorang hamba. Baginda menelah akan banyak perselisihan dan Baginda meminta supaya berpegang pada Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Khulafa` Ar-Rashidin. Berpegang teguhlah kamu dengannya.

Wasiat Ketiga:
Dipetik dari Abu Laith dari Ali bin Abi Talib k.w. berkata: Semasa turun Surah Al-Nasr, Rasulullah s.a.w. keluar dalam keadaan sakit berikat kepala. Baginda naik ke mimbar dan berkhutbah dengan muka yang pucat dan mata berlinang air mata. Baginda menyuruh Bilal memanggil orang berkumpul bagi mendengar wasiat Baginda. Ramai yang datang sehingga penuh Masjid Madinah. Baginda mengisyarat kedekatan pengakhiran usia Baginda dan Baginda sedih bakal meninggalkan mereka tentang apa yang mereka lalu kelak sepeninggalan Baginda, Baginda meminta mengamal yang halal , meninggalkan yang haram dan yang harus kamu lakukan, awasi dari nafsu, istiqamah dengan jamaah, takutlah kepada Allah dan jaga Agama, jagalah keluarga, pelihara isteri, patuhlah kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah, jagalah diri dari api neraka, patuhlah pada pemerintah, cintailah pada Rasulullah s.a.w. Dirikan solat lima waktu, tunaikan Haji, Baginda gambarkan hari Kiamat. Jagalah lidah, lepaskan dari kebudakan. Siapa yang berbuat kebajikan dia mendapat pahala, hadirlah diri di hadapan Allah dengan penuh iman dan taqwa.


Selepas pengajaran para jamaah mendirikan solat Isya` dan kemudian dijemput makan di Dewan di bahagian bawah dan kemudian bersurai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment