March 2, 2013

Jenderam Sepang Gerbang Ke Masa Silam Dan Hadapan

BBB, 19 Rabiul Akhir 1434 = 01 Mac 2013 (Jumaat):


Penemuan artifak-artifak di Jenderam, Sepang membuka ruang dan dimensi baru di dalam meneliti Sejarah Silam, khususnya Selangor. Jenderam adalah Gerbang ke masa silam yang menjambatani ke kini dan masa hadapan. Penemuan artifek-artifek di Babylon berusia 10,000 tahun Sebelum Masihi dan Tulisan-Tulisan Purba Mesir 5,000 tahun SM cukup membanggakan kedua Negara yang mencerminkan ketuaan tamadun dua Negara, bahkan peradaban manusia seluruhnya. Penemuan di Sepang setakat ini tidaklah sehebat dua peradaban di atas. Tetapi setakat ini membuktikan bahawa dengan Orang Neolitik Jenderam menjadi bukti bahawa sejak sebelum Masihi sudah ada manusia Purba mendiami pinggiran Sungai Langat. Ini membuka peluang bagi kajian lebih mendalam terhadap Orang Neolitik Jenderam dan segala budaya yang berhubung dengannya. Kawasan dari Bangi hingga ke Dengkil, bahkan Lembangan Kuala dan Hulu Langat seharusnya menjadi kawasan kajian yang kemungkinan terdapat lagi artifek-artifek yang belum diketemui. Tapak UKM sekarang di tepi Sungai Langat yang dulu sebelum dibuka sebagai Kampus UKM dihuni oleh Orang-Orang Asal yang dipindahkan antaranya ke Bukit Unggul (Nama baru bagi Bukit Tunggul selepas tempat itu menjadi kawasan golf) berdekatan dengan Jenderam dan UKM. Berbagai-bagai pendekatan dapat dilakukan seperti Kajian Arkeologi, bahasa (terhadap Orang Asal dan Tempatan), seni-budaya dan berbagai-bagai lagi. PADAT seharusnya menubuhkan Pasukan Kajian yang menggunakan berbagai-bagai kepakaran secara bersendirian dan kerjasama dengan universiti-universiti yang mempunyai kepakaran di dalam bidang-bidang berkenaan.



Kampus UKM

Penemuan artifak-artifak yang berhubung dengan Orang Neolitik Jenderam meletakkan Jenderam secara khusus, Sepang dan Selangor secara luas sebagai sebuah negeri Tua di Malaysia yang kemungkinan wujud dan berhubungan dengan Tamadun Sriwijaya, Langkasuka dan sebagainya.

Sungai Hulu Langat


Penemuan artifak-artifak Orang Neolitik Jenderam dapat mempromosikan Wilayah Ilmu. Bermaksud penemuan akan mencambah kajian-kajian dan penyelidikan ilmiah. Kawasan yang bersempadan dengan Bangi ini memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu dengan perluasan Wilayah Ilmu dengan memasukkan Nilai, Sepang yang di situ termasuk Usim dan beberapa institusi pendidikan yang lain. Dalam erti kata yang lain Bangi Bandar Ilmu tidak saja terdiri dari Pusat-Pusat Pengajian Tinggi, Pusat Penyelidikan, Latihan setempat, tetapi dapat ditambah satu bidang lagi yang berhubung dengan arkeologi dan permuziuman. Wilayah Ilmu ini bukan saja menjadi Wilayah Ilmu, tetapi daya tarikan Pelancongan Ilmu. Pelancong-pelancong boleh berkunjung dengan pakej lawatan ke Pusat-Pusat Pengajian Tinggi di Sekitar Bangi, Nilai dan Serdang, Pusat-Pusat Penyelidikan, Pusatr-Pusat Latihan, melawat Masjid dan Surau yang utama, Galeri Bangi Bandar Ilmu, Galeri Seni Islam di Bangi dan Perpustakaan. Melawat Muzium Arkeologi Orang Neolitik Jenderam dan masyarakat setempat. Seterusnya melawat Putrajaya sebagai Ibu Negara.



Konsep Jenderam Sepang sebagai Gerbang dunia dan Masa Depan dapat dicapai sekiranya ada kesedaran, kemahuan dan perancangan. Sepang sebagai Gerbang dunia sudah berlaku dengan wujudnya Lapangan Terbang Antarabangsa di Sepang. Tetapi menyediakan Sepang dan sekitarnya termasuk Hulu Langat dan Kuala Langat sebagai daya tarikan belum dieksploitasi dari segi potensinya. Bagi menjadikan wilayah berkenaan sebagai wilayah berpotensi dan berdaya tarikan perlu ada pendekatan dan persediaan. Misalnya menyedar dan menyediakan pusat-pusat Pengajian Tinggi, Penyelidikan dan Latihan, juga Masjid Surau sebagai tempat pengajian dan Pelancongan Ilmu. Menjadikan tempat-tempat berkenaan sebagai kawasan taman yang bersih dan hijau, penyediaan penginapan termasuk bagi pelancongan Ilmu. Kawasan Muzium Arkeologi Orang Neolitik Jenderam hendaklah dibangunkan secara sempurna dan lengkap. Ianya adalah sebagai pengkalan bagi meneroka ke kesilaman, tetapi ke masa mendatang. Jenderam Sepang menjadi salah satu destinasi yang ingin dikunjungi, bukan saja oleh pengunjung-pengunjung tempatan, tetapi juga oleh pelancong-pelancong Luar Negara. Dengan ini Sepang dan daerah-daerah berdekatan bukan saja menjadi Gerbang Ke Luar Negara, tetapi Gerbang bagi pengunjung-pengunjung Luar Negara ke Sini. Bahkan Gerbang ke Masa Silam dan dari Kini ke Masa Depan.


Sungai Dengkil

Sekian.

No comments:

Post a Comment