March 16, 2013

Melawat 2 Buah Rumah Pangsa & 15 Rumah Teres Dilanda Ribut

-->
Bukit Mewah, 01 Jamadil Awwal 1434 = 13 Mac 2013 (Rabu):

Jam 6.00 petang semalam berlaku ribut kuat melanda keseluruhan Dun Bangi. Bunyi ribut sebagai bunyi kereta lumba ferari di litar perlumbaan. Berikutnya  turun hujan yang kemudian meredakan ribut. Pada jangkaan Adun, dengan kekuatan ribut sedemikian pada kebiasaan atap-atap rumah dan bumbung terkopak dan diterbang angin. Memang benar, selepas solat Maghrib Adun mulai menerima telefon-telefon memaklumkan kerosakan-kerosakan rumah yang dilanda ribut. Antara telefon yang diterima ialah darinya Haji Muhammad Yusof Kamat Ketua Kawasan bagi Bukit Mewah dan juga dari Tuan Haji Rushdi Ketua Kebajikan. Walau macam mana oleh kerana malam hari, maka sukar untuk melihat kerosakan-kerosakan, maka kami membuat keputusan untuk turun pada pagi esok. Pada malam itu kami hanya berunding cara turun dan adakah bantuan perlu dibawa bersama. Kami menjangka banyak rumah yang terlibat, kami bercadang esok akan melawat dan membuat survey dan anggaran dan mungkin juga akan membuat kerjasama dengan pihak Ahli Parlimen Serdang, kerana esok kami mempunyai sidang akhbar di Kg. Pinggiran, Desa Seroja, selepas itu diharap kami dapat bersama melawat rumah-rumah dilanda ribut berkenaan.



Jam 11.00 pagi kami Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang dan pengiring-pengiring – termasuk AJK Kebajikan berkonvoi ke Rumah Pangsa, Bukit Mutiara dan rumah-rumah teres bersebelahan. Kedua rumah pangsa di sini memang sering menjadi mangsa ribut, bahkan dikatakan kawasan di sini dan berdekatan adalah menjadi laluan angin, sedikit berlaku ribut maka berlaku kerosakan bumbung dan atap. Bagi Blok A  Jalan Mutiara 2, kesan-kesan kerosakan ribut-ribut yang lepas masih kelihatan dan hari ini kerosakan makin bertambah. Kedua-dua bahagian depan dan belakang bahagian atas – tingkat lima rosak. Bangunan B juga terkopak di bahagian yang pernah rosak. Tempat-tempat yang rosak ini melibatkan beberapa keluarga yang tinggal di bahagian atas. Kami memaklumkan kepada Ketua bagi Blok A, En. Muhammad bahawa kerosakan bagi kedua tempat agak banyak, kita mungkin bawa masalah ini kepada bahagian  Bencana di Pejabat Daerah atau terus ke Bahagian Exco Perumahan negeri Selangor. Dari rumah Pangsa kami didahului oleh Tuan Haji Muhammad Yusof ke Jalan 25 dan 26 dan lain-lain di Bukit Mewah bagi melihat rumah-rumah yang rosak. Pada masa kehadiran kami di Jalan 25 Bukit Mewah ada pekerja-pekerja sedang membaiki atap rumah yang tertanggal dan pecah.
Adun sendiri bersama Tuan Haji Yusof dan pengiring-pengiring membuat survey dan mencatat nama-nama pemilik rumah yang rosak – kebanyakan rumah terkopak atap, akibat dari ribut.
Akhirnya kami dapati:

1)  Jalan 19, Bukit Mewah      01  buah
2)  Jalan 21,    ,,         ,,            01    ,,
3)  Jalan 24     ,,         ,,            01    ,,
4)  Jalan 25     ,,         ,,            05    ,,
5)  Jalan 26     ,,         ,,            07    ..

Pada dasarnya atap-atap rumah yang diterbang angin ini tidaklah teruk, kecuali satu dua rumah. Sebahagian daripada pemilik mengambil tindakan dengan membaiki dengan segera.




Adun mendapat maklumat dari percakapan dengan penghuni-penghuni yang tiggal di jalan 25 & 26, kebanyakan rumah di sini sudah berubah tangan (berubah pemilik). Ini ialah kerana pemilik-pemilik tak tahan dengan kerosakan yang sering diakibatkan oleh ribut. Kerana kawasan ini adalah jalan angin. Oleh kerana sering rosak, maka yang membelinya mengambil tindakan menjualnya, begitulah dengan pemilik-pemilik berikutnya. Pada masa kehadiran kami, seorang pembeli yang baru, baru berkira-kira hendak bersih kawasan rumah secondhand yang baru dibelinya. Ini membuktikan rumah di sini mudah dijual dan bertukar tangan.



Kami dapat tahu dari Haji Yusof ada beberapa tempat lagi yang berlaku kerosakan atap, untuk tempat-tempat berkenaan, kami serahkan kepada Tuan Haji Yusof membuat bancian. Selepas ini kami akan membuat perkiraan bagaimana untuk mengambil tindakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment