March 14, 2013

Menyampaikan Bantuan Rumah Tebing Runtuh & Melihat Atap Rumah Bocor

Kampung Bahagia, Bangi, 01 Jamadil Awal 1434 = 13 Mac 2013 (Rabu):


Semasa musim hujan pada bulan November 2012 lepas berlaku kejadian tanah runtuh, antaranya berlaku kepada dua rumah berdekatan di Kampung Bahagia, Bangi. Adun menerima aduan dan turun melihat tanah runtuh yang berlaku, iaitu tanah runtuh rumah Tuan Haji Abdul Hamid Othman, menimpa dinding jiran rumah di bahagian bawah, iaitu rumah Puan Bariah – Ibu Tunggal. Rumah Puan Bariah adalah Rumah Peruntukan PPRT Persekutauan dari peruntukan Felda. Manakala rumah Tuan Haji Abdul Hamid adalah rumah yang dibina dari peruntukan sendiri yang siap dibina pada tahun 2011.

Adun berunding dengan Ketua Kampung En. Azlan bin Nordin yang turut serta melihat tanah runtuh berkenaan dan bersetuju untuk membiayai kos membina tembok penghadang dari berlaku tanah runtuh antara rumah Tuan Haji Abdul Hamid dengan rumah Puan Bariah.


Atas persetujuan dari Adun, maka tembok penghadang dari tanah runtuh dibina oleh Tuan Haji Abdul Hamid dan hari ini Adun bersama saudara Shahrom Abdullah dan sdr. Amir Othman turun sekali melihat tembok tebing runtuh yang dibina kembali dengan batu konkrit yang agak kukuh. Turun sama ialah En. Azlan, Tuan Haji Sanusi, Tuan Haji Abdul Hamid dan jiran. Adun melihat konkrit agak kukuh. Menurut Tuan Haji Sanusi Setiausaha JKKK dan AJK surau di sini yang pernah bekerja di JKR dalam bahagian pembinaan, Menurutnya, ``Konkrit agak kukuh dan boleh tahan –Insya Allah. Kosnya dalam lingkungan RM 1500.


Pada pertemuan ini Adun menyerahkan cek kos bagi pembinaan tembok penghadang tanah runtuh. Cek ini disalurkan melalui Ketua JKKK yang akan membayar kepada Tuan Haji Abdul Hamid. Adapun rumah Puan Bariah yang retak – berlaku persefahaman antara kami dengan pihak PPRT Persekutuan. Pihak PPRT mengambil tanggungjawab membaiki dinding rumah Puan Bariah yang retak yang Adun difahamkan bahawa kos membaiki dinding rentah lebih kurang sama dengan kos membina tembok berkenaan.

(Puan Bariah tidak dapat bersama hari ini, kerana ada urusan luar). Selepas penyampaian cek kami dijemput untuk minum di rumah Tuan Haji Abdul Hamid Othman.


Selesai minum kami bergerak ke sebuah rumah lagi yang kami menerima aduan melalui Ketua Kampung En Azlan tentang rumah warga emas yang rumahnya uzur dan bocor. Sebagai warga emas beliau tidak lagi bekerja. Rumah yang rosak dan bocor tidak dapat dibaiki. Kami mengikuti Ketua Kampung En. Azlan yang mendahului kami turun bukit dan naik bukit dan akhirnya samapai ke rumah yang dimaksudkan, iaitu rumah Encik Alias bin Ali (64) yang dulu bekerja sebagai Pengawal dan kemudian bekerja sendiri dan sejak bersara dan berusia emas beliau tidak lagi berpekerjaan. Rumah beliau yang dibina sejak 30 tahun yang lepas, kini uzur dan banyak bocor. Kami meninjau rumah berkenaan dari depan dan ke belakang dan memang didapati rumah beliau uzur dan sebahagian atap zin rumah berkenaan telah reput.


Kami berbincang dengan Ketua Kampung – En. Azlan dan Tuan Haji Sanusi dan akan membuat keputusan nanti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment