Taman Jasmin, Kajang, 11 Jamadil Awwal 1434 = 23 Mac 2013 (Sabtu):
Taman Jasmin relatifnya agak baru dihuni, iaitu pada tahun 1993. Perumahan di sini dimajukan oleh Syarikat Perumahan MBF. Jumlah perumahan di sini adalah sejumlah 1.040 buah rumah dengan penduduk multi-rasial berjumlah lebih kurang 7,000 orang.
Penubuhan Persatuan Penduduk Taman Jasmin, menurut Tuan Haji Mohd Zaid bin Hussin Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jasmin pada tahun 1993 disebabkan menurutnya, ``Adanya masalah-masalah perumahan yang perlu dibawa ke atas. Ini membawa kepada penubuhan Persatuan Penduduk Taman Jasmin.`` Sejak penubuhan terawal sehingga kini Persatuan Penduduk adalah diterajui oleh Cikgu Hj. Mohd Zaid bin Hussin. Hingga kini selain dari mesyuarat biasa, mesyuarat pemilihan AJK diadakan setiap dua tahun sekali. Mesyuarat kali ini adalah merupakan Mesyuarat Kali Keempat.
Bagi mesyuarat kali ini Adun Bangi dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung. Sebenarnya ini bukan kali pertama Adun datang merasmikan Mesyuarat Agung, bahkan Adun sering dijemput menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjur oleh Persatuan Penduduk Taman Jasmin seperti kegiatan gotong royong, menyambut Maulidur Rasul, sambutan Hari Raya dan berbagai-bagai kegiatan yang lain.
Bagi merasmikan mesyuarat pada malam ini sepatutnya Adun datang sebagaimana biasa bersama saudara Azizi, tetapi oleh kerana beliau ada masalah, maka Adun datang berseorangan, tetapi di sini ada saudara Shahrum Abdullah yang dapat bersama Adun – termasuk mengambil gambar.
Majlis Mesyuarat Agung bermula dengan doa dan ucapan oleh Cikgu Hj Mohd Zaid bin Hussin. Beliau mengucap terima kasih di atas kesudian Adun hadir yang menurutnya menyemarakkan lagi majlis dan memberi semangat kepada penduduk untuk hadir. Menurut Cikgu Haji Zaid, Sepanjang memimpin Persatuan, banyak aktiviti yang dapat diadakan bagi faedah penduduk, Antaranya:
- Mendapat pampasan kerosakan dan keluasan rumah yang tidak menurut spesifikasi dalam perjanjian. Rumah-rumah berkenaan ada yang mendapat pampasan antara RM500 hingga RM1,000.
- Berusaha hingga mendapat tapak surau Taman Jasmin yang kini dbenar didirikan solat Jumaat
- Mendirikan Sekolah Agama yang tapaknya berdekatan dengan Surau Taman Jasmin
- Persatuan Penduduk juga berjaya mewujudkan Pasar Malam Taman Jasmin.
- Mewujudkan Rukun Tetangga bagi keselamatan Taman
- Mengadakan Sambutan Maulidur Rasul bersama KAFAI Jasmin 2012 dan 2013
- Mengadakan Hari Keluarga dari masa ke semasa. Contoh Hari Keluarga dan Jamuan Mesra Penduduk 2012.
- Mengadakan Gotong Royong Perdana yang melibatkan kerjasama dengan MPKj, Bomba dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat pada 18.12.2011.
- Kegiatan Belia 2011-12
- Pertandingan Kejirana Terbaik dan Gotong Royong Perdana 24.6.2012.
- Program Sukaneka bersama MPKj 20.6.2012
- Jamuan Makan Malam, Majlis Kesyukuran dan sambutan Hariraya
- Majlis Taklimat dan Dialog Pelaksanaan Projek Rangkaian Pembentungan Kajang 2
- Ziarah Kebajikan termasuk bersama Adun.
- Mewujudkan Pejabat Tetap Pejabat Persatuan.
Dalam ucapan Adun, mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan merasa kagum di atas kerjasama penduduk yang terdiri dari pelbagai kaum. Ini terbukti dari kehadiran pada malam ini yang terdiri dari berbagai kaum – berjumlah 50 orang. Kejayaan ini tentulah diatas kebijaksanaan AJK Persatuan yang dipimpin oleh Cigku Haji Zahid yang merupakan seorang yang aktif yang bukan saja memimpin Persatuan Penduduk, tetapi juga setahu Adun, memimpin Surau dan juga Sekolah Agama. Saya sendiri kata Adun, ``Sering kali menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh Persatuan, juga kegiatan di Surau dan juga Sekolah Agama.`` Sesungguhnya keharmonian dan kejayaan penduduk adalah hasil dari kerjasama dari kalangan semua penduduk. Adun berharap kerjasama dan keharmonian dapat diteruskan. Dari laporan Adun dapati ianya bukan saja terdapat maklumat kegiatan, tetapi juga kewangan yang agak teguh. Adun memaklumkan sedia berkerjasama dengan Persatuan Penduduk, umpamanya menyampaikan maklumat dan skim-skim Kerajaan Negeri yang agak banyak dan berharap penduduk ambil peluang. Misalnya orang tua mengambil manfaat dari Skim Warga Emas, orang muda skim insentif dan pinjaman pelajaran, Skim Mempelai yang baru mendirikan rumah tangga, pinjaman Mimbar dan Skimsel, anak-anak Skim Sikembar, Tawas, Tuisyen Percuma dan Anak Pekerja Ladang. Bagi semua menikmati Bekalan Air Percuma dan sebagainya.
Bersempena dengan Perasmian Mesyuarat Agung, Adun menyampaikan cek seharga RM300/= sebagai menampung keperluan Mesyuarat Agung. Adun berharap Mesyuarat Agung berjalan dengan baik dan pemilihan pimpinan berjalan lancar.
Sekian.
No comments:
Post a Comment