Sungai Ramal Dalam, 12 Jamadil Awwal 1434 = 24 Mac 2013
(Ahad):
Program KAMIL (Kegiatan Amal Islami) adalah merupakan
kegiatan ko-kurikulum tahunan yang disertai oleh Sekolah-Sekolah Rendah
Agama/Islam (SRA/I) dan Kelas Agama
Fardu Ain/Integrasi (KAFA/I) di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Mekanismenya
pertandingan diadakan pada peringkat daerah di antara Sekolah-sekolah di dalam
kegiatan ko-kurikulum seperti tilawah al-Qur`an, nasyid, adhan, solat jenazah, bercerita,
syarahan, muhawarah, khutbah, khat, marhaban dan sebagainya. Johan-Johan pada
peringkat Daerah mewakili Daerah pada peringkat negeri pada pertandingan akhir.
Bagi peringkat Daerah Hulu Langat, oleh kerana Daerah ini
agak luas serta banyak sekolah dan program pertandingan antara Sekolah-Sekolah
Agama di Daerah tidak dapat dislesaikan dalam sehari, maka pertandingan bagi sekolah-sekolah
Daerah dipecah kepada 2 Zon, iaitu Zon Kajang dan Zon Ampang.
Pertandingan KAMIL bagi zon Kajang diadakan pada hari ini
bertempat di Sekolah Rendah Agama, Sungai Ramal Dalam bermula dari pendaftaran
jam 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Adun Bangi dijemput untuk merasmikan
KAMIL (Pembukaan dan Penutup) mulai jam 12.30 tengahari. Menyambut kehadiran
Adun ialah Ustaz Mohd. Fadhlullah Suhaimi bin Mohd. Radhi selaku Pengarah
Program (Guru Besar Sekolah Agama Kajang Raya yang bakal dibuka – April ini),
Ustazah Nur Ashikin Idris Ketua Guru SRA, Sungai Ramal Dalam dan Ustaz Azhar
Ketua Guru SRA, Jubli Perak. Turut hadir Ustaz Jamaluddin bin Sihab Pengerusi
AJK Pelaksana.
Adun diberitahu oleh Ustaz Mohd. Fadhlullah Suhaimi bahawa,
``Sebanyak 25 sekolah menyertai pertandingan dari Sekolah SRI dan Kafa, juga
beberapa buah Sekolah Rendah Islam Swasta.`` Dalam ucapan alu-aluannya Ustaz
Mohd Fadhlullah mengucapkan terima kasih kepada Adun yang dapat hadir
merasmikan KAMIL. Menurutnya penyertaan pada kali ini adalah lebih meriah.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada AJK yang bekerja kuat bagi
menjayakan KAMIL pada hari ini. Menurutnya,``Oleh kerana ramai murid-murid yang
mengambil bahagian, maka ruang sengaja dikosong dari meja dan kerusi dan mereka
duduk bersila di atas lantai. Pun begitu kawasan luar juga melimpah dengan
kehadiran, murid-mrid, guru-guru dan ibu bapa.
Dalam Ucapan Perasmian Adun berterima kasih di atas
jemputan. Kamil menurut Adun, ``Dapat mengeratkan hubungan antara guru-guru,
murid-murid dan ibu bapa yang melibatkan lebih kurang 300 guru dari 25 sekolah,
5,000 murid-murid dan 10,000 ibu bapa yang mengikuti perkembangan anak-anak
mereka, walaupun tidak dapat hadir bersama.`` Yang lebih penting Peraduan Kamil
dapat melatih murid-murid di dalam bacaan Al-Qur`an, adhan, khutbah, muhawarah,
khat dan sebagainya. Paling tidak pelajaran yang disertai mereka memahirkan
mereka dengan bidang-bidang keagamaan yang menjadi amalan dan panduan hidup.`` Kata Adun lagi, ``Kita bergembira sekarang
melihat penghayatan agama Islam bertambah di kalangan masyarakat. Murid-murid
yang dilatih menjadi asset yang penting bagi meningkatkan minat terhadap
pendidikan Islam dan mengamalkan di tengah masyarakat. Adalah diharapkan
masyarakat lebih meningkat dari segi amalan dan budaya keislaman.
Puncak dari Majlis Kamil, ialah penyampaian hadiah kepada
murid-murid yang berjaya dari berbagai Sekolah. Hampir semua Sekolah mempunyai
murid-murid yang berjaya di dalam bidang-bidang yang mereka masuk bertanding,
tetapi sambutan dan tepukan yang diberi ialah kepada yang mendapat
hadiah-hadiah pertama.
Oleh kerana jumlah Sekolah yang banyak dan banyak pula yang
mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan, maka banyaklah hadiah
disertakan. Piala-piala, crest dan berbagai-bagai hadiah tersusun dengan
banyaknya di atas meja hadiah. Adun diminta menyampaikan hadiah dan memakan
masa yang agak lama. Kelamaan disebabkan apabila pemenang dipanggil, tidak
diketahui di mana, dan lambat ke hadapan. Walau bagaimana dengan kemeriahan
suasana, kelamaan masa tidaklah terasa dan hadiah yang banyak itu dapat
disampaikan dengan sempurna. Tahniah kepada murid-murid dan Sekolah-sekolah
yang berjaya.
Terima kasih.
Sekian.
No comments:
Post a Comment