March 26, 2013

Karnival Rakyat Selangor Di Taman Tenaga


Taman Tenaga, Dun Bangi, 04 Jamadil Awwal 1434 = 16 Mac 2013 (Sabtu):


Salah satu Program Kemasyarakatan yang diatur dan diperuntukkan kewangan oleh Pejabat Adun dengan kerjasama dengan Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga Taman Tenaga beserta dengan Nisa` ialah mengadakan kegiatan Budaya yang dikenali dengan Karnival Budaya. Kegiatan ini diadakan di Dataran Perumahan Taman Tenaga yang melibatkan kegiatan dua hari. Khemah dipasang yang menjadi pusat tempat kegiatan, manakala ruang terbuka bagi kegiatan seperti sukan dan aktiviti riadah.


Taman Tenaga sebagaimana Adun pernah sebutkan adalah kawasan multirasial, bukan saja kependudukan di sini terdiri dari berbagai kaum dari orang Melayu, India dan Cina, tetapi di sini juga menjadi tempat kediaman pelajar-pelajar antarabangsa bagi peringkat Ijazah Lanjutan, kerana di sini ada asrama bagi pelajar-pelajar antarabangsa yang terletak berhampiran dengan surau di sini – Surau Ash-Shakirin. Kebanyakan pelajar-pelajar di sini adalah dari Negara-negara Timur Tengah seperti, Syria, Jordan, Yaman dan beberapa Negara Afrika seperti Sudan, Mesir, Maghribi dan sebagainya. Di sini juga ada Hentian Bas yang menjadi destinasi kesampaian dan bertolak bersifat nasional.


Puncak program pada malam ini ialah mengikuti ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Shauki dari UPM, tetapi sebelum tiba waktu ceramah dan sebelum tiba Penceramah para hadirin yang antaranya Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj hadir dan turut hadir Ustaz Dr. Ibrahim Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tenaga, En. Shaari Hashim Pengerusi Rukun Tetangga, hadirin termasuk kelompok orang Arab yang duduk di pinggir majlis sedang ramai dari anak-anak orang Arab ini berlari-lari dan bermain-main dengan anak-anak orang tempatan, sekali duduk di atas kerusi bersama hadirin dan kadang-kadang keluar bermain bersama anak-anak dengan riang.


Sebelum majlis perasmian para hadirin dihiburkan dengan beberapa persembahan Dikir Barat oleh sekelumpuk anak-anak Kelantan di Perantauan yang mungkin tinggal di Taman Tenaga. Persembahan mereka amat menarik perhatian hadirin. Tema yang di bawa mereka bersifat nasihat, menganjurkan mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak terpuji. Persembahan diselang seli dengan nasyid oleh anak-anak setempat yang dilatih oleh pihak penganjur.


Dalam ucapan perasmian – setelah doa dibacakan, Adun menyebut tentang elemen budaya yang dipersembahkan adalah baik dan menarik dan boleh ditambahkan lagi jika ada mereka yang tinggal dari negeri-negeri budaya berkenaan misalnya Kompang (ala Selangor), Rebana (Pahang), Dabus (Perak), Lagu Teromba (Negeri Sembilan) dan sebagainya, tentulah lebih menarik. Bahkan Adun mencadangkan agar komuniti dari Timur Tengah diajak sama mempersembahkan budaya negera mereka tentu lebih menarik – Adun berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Arab dan mengucapkan selamat datang dan berterima kasih pada mereka. Mereka amat gembira dan memperkenalkan diri dan asal Negara yang mereka datang. Namun untuk mendapat persembahan yang menarik bersifat rakyat dan antarabangsa, tentulah perlu kepada usaha dan tenaga untuk menjayakan. Tapi pada pendapat Adun bukanlah payah sangat. Tapi Adun syor bila ada majlis-majlis sambutan amat wajar diajak mereka terlibat bukan setakat menonton, tapi juga turut sama membuat persembahan. Selepas Adun merasmikan Karnival Budaya Rakyat, Adun tidak berkesempatan mengikuti ceramah Ustaz Shauki, oleh kerana ada program di tempat yang lain.


Keesokan hari Ahad 17 Mac, setelah menghadiri beberapa program pada sebelah pagi di beberapa tempat yang lain, Adun hadir sekali lagi di Krnival Taman Tenaga,  Kali ini bagi menyertai beberapa kegiatan seperti sukanika, melukis, pertandingan gubahan dan uji bakat dan sebagainya yang disertai oleh berbagai peringkat masyarakat menurut kesesuaian umur. Tapi kehadiran Adun yang turut disertai YB. Teo Nie Ching lebih khusus ialah bertujuan menyampaikan bantuan dari pihak PEKAWANIS (Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat ) yang diperturunkan melalui Adun. Kami menyampaikan bantuan-bantuan kepada warga emas setempat dari berbagai-bagai kaum, sedang acara sukanika dan pertandingan-pertandingan masih berjalan. Berikutnya kami memohon diri kerana mempunyai acara-acara tersendiri masing-masing di tempat-tempat lain.


Sekian.

No comments:

Post a Comment