March 12, 2013

Pertemuan Membincangkan Kedudukan PMUKM: Cadangan-Cadangan

Pejabat Adun, 27 Rabiul Akhir 1434 = 10 Mac 2013 (Ahad):


Berikutan dari aduan perwakilan PMUKM pada 5 Mac 2013 tentang usaha pihak UKM sendiri untuk memperkecil dan menghapuskan PMUKM sebagaimana bukti-bukti yang dikemukakan, maka Adun Bangi sebagai salah seorang Pengasas PMUKM berusaha menjemput mereka yang berkaitan, terutama alumni dan pimpinan PMUKM sekarang.

Pertemuan berlaku pada 10 Mac 2003 (Ahad) bertempat di Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi, jam 9.30 malam.


Hadir pada malam tersebut selain dari Adun Bangi, ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB yang pernah menjadi Timbalan Presiden PMUKM, saudara Ahmad Shukran bin Chaharudin Presiden PMUKM sekarang, saudara Ahmad Muzammil bin Muhd Hairi, Presiden sebelum saudara Ahmad Shukran, saudara Hasan Presiden Pewaris, Pimpinan JASA dan lain-lain yang jumlah kehadiran 25 orang.


Dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Adun Bangi itu ditimbulkan soal pemansuhan nama PMUKM yang tidak lagi berhak membentuk Kabinet Pentadbiran pelajar, atas alasan PMUKM terkeluar dari AUKU, tetapi buat masa kini, daripada badan induk itu diterima 4 orang saja ke Majlis Perwakilan Pelajar yang majlis ini sepatutnya berada di bawah PMUKM. Pemansuhan disebut oleh Naib Canselor di dalam upacara penyampaian wathiqah pada 17 Oktober 2012 diikuti dengan surat rasmi dari JPPel merujuk kepada minit mesyuarat Pengurusan Universiti Bil. 22/2012 bertarikh 12 Disember 2012, bahawa nama PMUKM tidak digunakan dan tempatnya digantikan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Beberapa surat lain juga diterima menegaskan PMUKM digugurkan dan tempatnya diganti dengan MPP. Berikutnya secara kasar papan tanda PMUKM dicabut pada 21 Februari 2013.

Tindakan pihak pentadbiran UKM ini tidak saja mengeciwakan para pemimpin pelajar yang memimpin PMUKM, tetapi juga melukai para alumni yang menubuh PMUKM dan pernah memimpin persatuan pelajar UKM. Selama 42 tahun PMUKM bersama membangun dan membina imej UKM, tiba-tiba dihapuskan begitu sahaja. Lantas tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan oleh PMUKM disekat dari melakukannya.

Apa maknanya PMUKM dan atas nama yang lain bertanding dalam pilihanraya kampus, setelah menang diberi 4 suara saja menyamai perwakilan yang lain yang tidak mempunyai kekuatan suara melalui pemilihan ? Implikasi dari tindakan pihak UKM ini:

  1. Hak Persatuan Mahasiswa mengadakan pilihan raya dan mengadakan pentadbiran setelah menang secara bebas tidak diktiraf
  2. Mematikan PMUKM yang telah berfungsi dan berjasa sejak 42 tahun yang lepas.
  3. Mahasiswa tidak diberi peluang berdikari, tetapi terus dikawal dan dibimbing seperti anak-anak sekolah.
  4. Tindakan UKM sebagai tempelakan terhadap pemimpin-pemimpin yang pernah memimpin PMUKM.
  5. Tindakan UKM tidak bersifat telus dan anti demokrasi.

Pada dasarnya, tindakan UKM ini bukan semata-mata setakat larangan dari menggunakan nama PMUKM, tetapi ianya ada hubung kait dengan perancangan bagi menghapuskan suara mahasiswa, apa lagi yang dilihat tidak selari dengan kehendak UKM dan kehendak pemerintah kini.

Berhubung dengan pendapat PMUKM di luar dari ruanglingkup AUKU dan tindakan menghapuskannya, antara yang hadir yang mahir dalam bidang undang-undang, berpendapat, ianya tidak ada kena mengena dengan Akta dan Akta itu sendiri tidak valid dari segi perundangan dan boleh dicabar. Ianya satu yang sewenang-wenang. Ada yang berpendapat penghapusan PMUKM didalangi oleh UMNO-BN yang berada di dalam universiti. Mereka melihat gerakan mahasiswa sekarang (PMUKM) mencanggahi kehendak mereka. Lantaran itu perlu dihapus dan pimpinan mahasiswa perlu dikawal.

Dalam perbincangan bagi mengatasi dan menyelesaikan bukan saja terhadap Istilah PMUKM, tetapi sekatan-sekatan yang tidak demokratik dikenakan terhadap para mahasiswa maka beberapa pendapat dikemukakan:

  1. Cadangan membuat analisa SWOT bagi mengenalpasti masalah dan penyelesaian.
  2. Mendapatkan injunksi mahkamah agar melarang dari menggugurkan PMUKM, sebaliknya mengekalkannya.
  3. Mencabar AUKU Section 48(1) yang sebenarnya menurut pakar dalam undang-undang tidak valid dari segi perundangan. Sebaliknya Akta ini dimomokkan bagi menakut-nakutkan pelajar.
  4. Tindakan mengikut kaedah politik dengan menggunakan `Student Power` bagi menggugatkan sesuatu yang membelenggu pelajar.
  5. Membuat memorandum agar permohonan pelajar didengari dan diambil perhatian.
  6. Mengadakan dialog dan forum bagi membincang dan menyelesaikan permasalahan.
  7. Menunjuk perasaan secara aman bagi melahirkan pendapat dan tindakan yang perlu diambil.

Kita merasa hairan apakah falsafah pendidikan yang mahu ditegakkan oleh Kerajaan (BN) dan Universiti. Sepatutnya pendidikan berusaha menggilap potensi kepimpinan pelajar dengan memberi kemudahan dan galakan. Pihak Kerajaan dan Universiti nampaknya mempunyai persepsi dan tanggapan seolah-olah pelajar yang tidak sehaluan adalah musuh bagi semua pihak dan perlu diikat dan disekat.

Kita berpendapat situasi di UKM dan mungkin di universiti-universiti yang lain – menyekat potensi kepimpinan mahasiswa dari berkembang. Kita juga berpendapat mendepani setengah abad usia UKM wajar ditubuhkan Suruhanjaya menilai kembali UKM apakah UKM selama ini bergerak atas kehendak dan aspirasi rakyat atau sebaliknya. Cadangan-cadangan positif perlu dikemukakan bagi menjana perkembangan UKM pada masa hadapan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment