March 27, 2013

Projek Hantu Makin Merosakkan Jalan

-->
Sungai Ramal, 09 Jamadil Awwal 1434 = 21 Mac 2013 (Khamis):

Pada petang hari ini sepulang Adun dari urusan interview biasiswa/pinjaman pelajar pengajian tinggi di Shah Alam Adun menerima telefon dari Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir bahawa ada pekerja-pekerja menurap jalan menceroboh masuk ke Kg. Sungai Ramal Luar tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada Ketua Kampung. Menurut Tuan Haji Mohd. Yusof, pada mulanya dia menyangka projek Kerajaan Negeri, sebab itu beliau tidak menghalang apabila pada malamnya pekerja menyimpan steamroller di dalam kawasan Masjid Sungai Ramal Luar (Masjid Haji Mat Saman), tetapi apabila pada pagi ini beliau menerima aduan dari jamaah Surau Al-Huda, Sungai Ramal Baru, bahawa pihak pekerja menurap jalan di halaman Surau Al-Huda yang sudah baik dengan kualiti tar yang tidak baik dan pecah-pecah dan mengorek lubang yang tidak ditimbus dan tidak ditampal – berlubang, maka Tuan Haji Mohd Yusof pergi memeriksa tempat berkenaan dan didapati betul. Lantas beliau memeriksa beberapa batang jalan yang sudah ditampal dan turap secara kualiti yang rendah. Sebelum ini Kerajaan Negeri telah membaiki jalan-jalan seperti di Sungai Ramal Dalam 12 jalan kecil dan Jalan Utama diturap. Banyak pula jalan-jalan di Sungai Ramal diturap dengan sempurna, tiba-tiba ada Projek-Projek Hantu dibawa ke Sungai Ramal Luar dan Dalam, tanpa merujuk kepada pihak-pihak berkenaan terlebih dahulu.


Dari penelitian Tuan Haji Mohd Yusof terhadap Projek Hantu itu beliau dapati.

1) Turapan yang dilakukan nipis dan rendah kualiti
2) Kualiti tar yang diturap keras dan mudah pecah
3) Turapan pula terlampau nipis – kurang dari seinci
4) Bahan-bahan yang digali dibiarkan tepi jalan
5) Tempat yang sudah baik, diturap, manakala tempat berlubang yang perlu diturap tidak diturap. Orang Umno sendiri marah dengan kerja-kerja yang tak sempurna dan rendah kualiti, kata Haji Mohd. Yusof.

Tuan Haji Mohd Yusof mencari pekerja-pekerja kontrektor dan mendapati kerja-kerja yang dilakukan bukan dari arahan Kerajaan Negeri. Beliau merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Daerah, MPKj dan UPEN, semuanya memaklumkan bukan dari projek yang diperturunkan.


Tuan Haji Mohd. Yusof memaklumkan kepada Adun dan Adun turun segera pada petang itu disertai saudara Azizi yang pergi terus ke Masjid Sungai Ramal Luar sebagai tempat bertemu dan dari situ kami membuat lawatan jalan-jalan di Sungai Ramal Luar dan juga jalan-jalan di Sungai Ramal Dalam, di sana juga ada kerja-kerja yang dibuat dan turut disertai Ketua Kampung Sungai Ramal dalam Tok Lateb Manan:

Kami melawat jalan-jalan dirosakkan dengan turapan dan tar yang tidak bermutu iaitu:

Sungai Ramal Luar:

1)      Jalan Desa Meringin
2)      Jalan Lorong SRL 7 (Lorong individu yang tidak diminta diturap, tetapi diturap dengan cara yang tidak bermutu).
3)      Halaman Surau Al-Huda, medan Surau elok, bila ditampal dengan tar yang rendah kualiti jadi buruk dan ditinggal kawasan yang dikorek berlubang.
4)      Jalan Utama Sungai Ramal Luar

Kami juga pergi ke Sungai Ramal Dalam bersama Ketua Kg. Sungai Ramal Luar disertai Tok Lateb bin Manan Ketua Kg. Sungai Ramal Dalam, pada asalnya untuk mencari pekerja-pekerja yang dikatakan sedang menurap jalan di Sungai Ramal Dalam. Kami menemui mesen roller dan mesen menabur tar di tepi jalan utama berhadapan bangunan Latihan Usahawawan Sungai Ramal Dalam, tetapi tiada pekerja, walau bagaimana  kami melawat jalan-jalan yang telah diturapkan iaitu,

1)      Jalan ke Surau Al-Umm, Sungai Ramal Dalam – tak sempurna
2)      Jalan ke Tahfiz Sungai Ramal Dalam yang baru diturap, tetapi diturap kembali secara tidak sempurna.

Ada beberapa tempat lagi yang diturap dan ditampal yang tidak kami lawati.
Pada dasarnya kita tidak menentang pembaikan penurapan jika dilakukan dengan baik, bertemu dulu dengan Ketua Kampung untuk mendapat nasihat dan pandangan mengenai tempat-tempat wajar diturap dan priority patut diberi perhatian, lebih wajar lagi jika projek seperti diperturunkan melalui sama ada Pejabat Daerah atau MPKj. Perlu diingat peruntukan yang diguna adalah dari harta rakyat baik pada peringkat negeri maupun pada peringkat Persekutuan. Negeri Selangor menyumbangkan kepada Kerajaan Persekutuan hampir satu perempat dari pendapatan Negara. Negeri berhak mendapat peruntukan yang merupakan pengembalian balik hasil negeri. Peruntukan yang diperturun hendaklah diguna secara amanah dan dilaksanakan sebaik mungkin.


Pada petang hari Isnin 25 Mac 2013 dalam Mesyuarat Mingguan Antara Dato` Menteri Besar, Exco, Adun, Ahli Parlimen dan Pemimpin Parti Negeri mengenai isu-isu semasa, Adun Bangi berkesempatan membangkitkan persoalan Projek Hantu Membuat Jalan berkenaan kepada YAB Dato` Menteri Besar dan Ahli-Ahli yang hadir. Aduan ini mendapat respond yang baik dari YAB Dato` Menteri Besar, bahkan beberapa ahli yang hadir termasuk YB. Dato` Tuan Teng Chang Khim Speaker membangkitkan tentang jalan-jalan yang ditunjuk untuk diperbaiki (peruntukan Maris), tidak dibaiki, tetapi jalan yang tidak diminta baiki diperbaiki. Kontrektor pula dari kalangan yang lama dari parti lawan. Ahli-ahli yang lain mempersoalkan lambatnya tindakan yang diambil oleh PBT menyebabkan peruntukan yang diberi tidak dapat dimanfaat sepenuhnya. YB. Dr. Mariah pula kecewa dikawasannya yang banyak kerosakan jalan tidak dapat dibaiki sewajarnya. Pada satu peringkat dipersoalkan tentang kedudukan YDP PBT yang tidak mesra Wakil Rakyat. Berhubung dengan masalah peruntukan dan jalan ini YB. Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam mencadangkan agar diadakan Sidang Akhbar Khas berhubung dengan Projek-Projek Jalan Raya bermasalah.


Terakhir pagi Selasa 26 Mac 2013 jam 10.30 Adun terima telefon dari Ketua Kampung Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd Yusof, memaklumkan bahawa, hujan lebat malam tadi mengopakkan turapan tar yang tidak bermutu pada jalan perumahan berdekatan Sekolah Leftenan Adnan, Sungai Ramal Luar. Tar-tar tersebut tercabut berkeping-kepingan bagai keping-keping roti canai. Ini mencerminkan betapa tidak bermutunya jalan yang dibuat. Adun memaklumkan pada saudara Azizi untuk menghubungi Tuan Haji Yusof mengenai jalan pecah selepas diturap secara tidak sempurna. Kata saudara Azizi, ``Saya akan mendapatkan maklumat mengenai kerosakan jalan yang diturap tersebut.``
Persoalan Projek Hantu ini juga dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet Mini Adun Bangi pada malam 26 Mac untuk makluman ahli.

Sekian.

No comments:

Post a Comment