BBB, 25 Rabiul Akhir 1434 =05 Mac 2013 (Selasa):
Bila menerima aduan dari pemimpin-pemimpin mahasiswa yang memimpin Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sekarang, bahawa ada usaha dari pihak pentadbiran UKM sendiri mau menghapuskan PMUKM bangkit sentiment dan kemarahan di dalam diriku dan simpatiku terhadap pemimpin-pemimpin PMUKM yang datang menemuiku. Mereka memang wajar datang menemuiku, lantaran aku Wakil Rakyat yang UKM termasuk di bawah Dun Bangi. Lebih dari itu mereka tahu aku adalah alumni pelajar sulung UKM yang menubuhkan PMUKM. Bukti mereka tahu aku antara pemimpin yang menubuhkan PMUKM, mereka membawa helaian fotostet yang menunjukkan senarai AJK PMUKM peringkat awal di UKM – termasuk namaku.
Sebagaimana dimaklumi UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dengan menggunakan Kampus Maktab Perguruan Jalan Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Sejak penubuhan UKM hingga akhir tahun 1970 belum ditubuhkan PMUKM. Pada peringkat ini cukup bagi mengadakan kegiatan melalui AJK Kolej Pertama UKM, kerana jumlah pelajar pada masa itu hanya 197 orang yang mengikuti pengajian Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam. Namun pengaruh gerakan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang agak radikal termasuk saudara Anuar Ibrahim (Islam), Syed Hamid (Sosialis) dan saudara Nordin Razak PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu UM). Pengaruh gerakan mahasiswa UM sampai ke UKM yang kampusnya tidak begitu jauh dari UM, bahkan sebahagian dari mahasiswa UM tinggal di Kolej UKM.
Dari pengaruh berkenaan menggerak kami mahasiswa pada peringkat awal 1971 menubuhkan Jawatankuasa Penaja PMUKM yang presiden terawal ialah saudara Ramli Ibrahim dan aku menjadi Bendahari. Bila diadakan mesyuarat Agung pemilihan 1972 aku masih kekal di dalam Exco PMUKM sebagai Setiausaha Perhubungan bersama Exco yang lain termasuklah saudara Muhammad bin Kassim sebagai setiausaha. Saudara Ramli Ibrahim masih mnenjadi Presiden. Kami meletakkan Asas PMUKM sehingga PMUKM masih hidup hingga kini dan kukuh dalam Sejarah Persatuan Mahasiswa. Bagaimana pihak Hal Ehwal Pelajar UKM meragui wujudnya PMUKM dari awal dan meminta pimpinan mahasiswa UKM sekarang membuktikan penubuhannya sehingga mereka terpaksa membuktikan dengan senarai yang mereka fotokopikan?
Menurut Pimpinan PMUKM itu, pihak Perhubungan Pelajar UKM mengeluarkan arahan agar ditukarkan nama PMUKM kepada Majlis Perwakilan Pelajar, oleh kerana PMUKM tidak ada dan terkeluar dari Akta (AUKU – masih berpaut pada Akta ini) dan menghadkan perwakilan kepada 4 orang, iaitu YDP, TYDP, Setiausaha & Bendahari dari jumlah semua 28 perwakilan, manakala yang lain adalah menjadi ahli biasa. Hujah kita, mengapa mau ubahkan nama PMUKM yang bersejarah itu, sedangkan fungsi adalah bersamaan. Dengan mengekalkan nama PMUKM kita mengekalkan keunikan kita dengan sejarah gemilang yang kita lalui dan tidak bersifat Pak Turut sahaja.
Jelas Diskriminasi Terhadap PMUKM dan Pimpinan
Yang jelas pihak pentadbiran universiti mempunyai sikap anti terhadap kepimpinan yang memperjuangkan Islam!
Pimpinan Mahasiswa sekarang (PMUKM) adalah diperintah oleh majority pemimpin dari pendukung IPU (Islam Penyelamat Umat). Mereka mempunyai 18 perwakilan dari 28 (ada 12 kolej x 2 = 24) + 4 = 28 perwakilan dalam Majlis PMUKM sebagaimana dikehendaki oleh pihak Perhubungan pelajar (masih guna PMUKM, walaupun sedang digugat). Mereka (IPU) sudah memerintah di kampus dengan suara majority sejak 2 tahun yang lepas. Walau bagaimana mereka menghadapi berbagai tekanan – antaranya:
- Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM dengan sengaja dan sewenag-wenang menurunkan papan tanda PMUKM.
- Sikap anti Jawi dengan mencalit dan merosakkan logo PMUKM yang bertulisan jawi, bahkan membuangkannya.
- Sejak IPU menang, mereka tidak dibenarkan terlibat dengan Pesta Konvokesyen selepas 2011, pada hal sebelumnya Persatuan Mahasiswa mengendalikannya. Pihak Pentadbiran UKM mengambilalih.
- Minggu Pelajar menyambut pelajar baru sepatutnya dikendalikan oleh PMUKM sebagaimana sebelumnya, tetapi sejak IPU menang, jangankan untuk mengendalikan program Minggu Pelajar dan sambutan, bahkan untuk masuk pun tak boleh.
- Tak benar keluarkan Majalah Aspirasi – Majalah ini dikeluarkan oleh PMUKM sejak awal lagi. Keluaran yang ada nama PMUKM dan Majlis Rasmi UKM sengaja dipotong, bahkan digamkan.
- Pmukm TERPAKSA Mengadakan kegiatan kemasyarakatan secara berdikari seperti bantuan kepada keluarga miskin yang anaknya berada di UKM – tanpa melibatkan pihak Pentadbiran UKM.
- Pihak Pentadbiran UKM menghalang kemudahan-kemudahan yang sepatutnya dinikmati oleh PMUKM.
Menurut Mahasiswa/I yang datang mengunjungi Adun, bahawa dari survey yang dibuat, bahawa mahasiswa/I mengenang jasa PMUKM dan mejoriti dari mereka tidak bersetuju dihapuskan PMUKM. Mereka tidak setuju dengan sikap pentadbir UKM yang bersifat marahkan nyamuk kelambu dibakar. Seharusnya mereka tidak dimarah, sebaliknya perlu disokong.
Pihak pentadbir di UKM yang berada di pusat ilmu, seharusnya bersifat terbuka dan rasional. Satu yang mengejutkan Adun apabila diberitahu tentang sikap anti Adun dari Pakatan Rakyat, bahawa pada peringkat permulaan IPU memenangi PMUKM dan mengendalikan pentadbiran kemahasiswaan, antaranya mengendalikan Pesta Konvokesyen (2011). Sebagai Pra-Pesta dan untuk mewar-warkan kepada orang ramai, Majlis Pra-Pesta Konvokesyen diadakan di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi dan Adun Bangi YB. Dr. Shafie Abu Bakar dijemput merasmikannya. Berikutan dari perasmian ini pihak Pentadbir universiti ambil tindakan tidak demokratik terhadap IPU yang memimpin PMUKM, UKM antaranya dengan menyekat PMUKM dibawah IPU mengendalikan Pesta Konvokesyen 2012 dan tindakan-tindakan sekatan dan tekanan yang lain.
Kita berpendapat tindakan Pentadbiran UKM adalah tidak demokratik dan tidak telus dan tidak boleh menjadi contoh kepimpinan yang baik bagi mahasiswa/i. Kita bertanya adakah sebenarnya AUKU sudah ditarik, kalau ya mengapa terjadi sikap anti demokrasi sedemikian. Jika demikian di mana sebenarnya peluang bagi mahasiswa/I mengambil bahagian dalam pilihanraya yang dikatakan mahasiswa/i bebas menyertainya, sehingga perkara sekecil Adun merasmikan Majlis PMUKM di dalam kawasannya menjadi isu yang membawa penekanan terhadap pelajar yang mendukung PMUKM?
Kita berpendapat berlaku kesongsangan cara berfikir di kalangan sebahagian dari pentadbir UKM, mengapa tidak ? PMUKM sudah menjadi sebahagian dari UKM. Selama 40 tahun PMUKM jatuh bangun dengan UKM dalam membina syakhsiah, keilmuan dan kepimpinan. Banyak jasa yang sama dicurahkan oleh PMUKM di dalam tempoh 4 dekad di dalam menjulang nama UKM. Rasionalkah Pentadbir UKM mau menghapuskan PMUKM ? Kita berfikir adalah sebaliknya. PMUKM bukan dihapuskan, tetapi hendaklah disubur, diberi ruang dan peluang bagi meningkatkan prestasinya sebagai wadah perjuangan mahasiswa/I dan pembinaan masa depan mereka, masa depan Negara, agama dan bangsa. Mari kita renung peranan dan jasa PMUKM – Sekadar menyebut sebahagian daripadanya.
- PMUKM menjadi jurucakap dan Perwakilan mahasiswa/I sama ada di dalam konteks hubungan antara siswa, dengan pihak luar yang memprojekkan imej UKM sejak empat dekad yang lalu.
- PMUKM pernah bertindak secara kolektif sesama pelajar menolak lantikan seorang Naib Canselor UKM yang dianggap lemah dan mau yang lain memenuhi kerusi berkenaan dan mereka berjaya.
- PMUKM dan pelajar-pelajar pernah membantah kehadiran tokoh Pemimpin Luar Negara melawat Malaysia yang dianggap bercanggah dengan pendirian rakyat.
- PMUKM mengeluarkan Surat Khabar Siswa yang dikenali dengan GEMA SISwa’. PMUKM juga mengeluarkan Majalah PMUKM yang dikenali sebagai Aspirasi.
- PMUKM menubuhkan beberapa kelab dan persatuan seperti Club Studi Sastera, dan OMLA (Organisasi Mahasiswa Luar Kampus)
- PMUKM menubuhkan Kelab Koperasi sejak di Kampus Jalan Pantai dan berjalan dengan baik.
- PMUKM berusaha membudayakan masyarakat kampus UKM dengan nilai-nilai Islam.
- Dan banyak lagi kegiatan PMUKM yang dapat diperturunkan sepanjang kegiatannya selama 40 tahun. Kita berharap pihak pentadbir UKM dapat menilai peranan PMUKM sepanjang sejarah UKM yang sebenarnya menjadi sebahagian dari sejarah UKM.
Selaku Pengasas PMUKM bersama dengan mahasiswa/I UKM dan selaku alumni UKM kami tidak bersetuju dihapuskan PMUKM. Sebarang usaha dan tindakan mau menghapuskan PMUKM akan menimbulkan reaksi penentangan. Perlu diingatkan bahawa UKM adalah hak rakyat, bukan hak segelintir pentadbir UKM sekarang.
Untuk mencerminkan ketelusan dan keterbukaan kami syor untuk menganjurkan debat terbuka di kalangan mahasiswa, alumni dan masyarakat tentang, ``Wajarkah PMUKM dihapuskan!``
Sekian.
No comments:
Post a Comment