March 11, 2013

Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Taman Tenaga

-->
BBB, 27 Rabiul Akhir 1434 = 10 Mac 2013 (Ahad):


Adun dijemput oleh Tuan Haji Ibrahim bin Mohamed Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tenaga, Dun Bangi bagi merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk berkenaan. Hadir bersama ialah Y.B. Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, AJK Persatuan dan penduduk yang berjumlah semuanya dalam lingkungan 150 orang.
Dalam ucapan alu-aluannya Tuan Haji Ibrahim berterima kasih di atas kehadiran Adun dan Ahli Parlimen. Beliau berharap kehadiran mereka berdua lebih memberi semangat kepada penduduk bergiat di dalam Persatuan Penduduk yang telah ditubuhkan sejak 10 tahun yang lepas itu. Menurut Tuan Haji Ibrahim Persatuan Penduduk di sini mendapat kerjasama yang baik dengan pihak Rukun Tetangga yang pengerusinya Tuan Haji Shaari yang juga menjadi Setiausaha Persatuan Penduduk. Menurutnya pihak Persatuan juga mendapat kerjasama dari Persatuan Penduduk India di sini yang ketuanya En. Dhobi. Persatuan Penduduk juga mendapat kerjasama erat dengan pihak Polis Sungai Tangkas yang sering menghantar pegawainya ke sini bagi memastikan keselamatan di sini. Cuma menurut Tuan Haji Ibrahim, kawasan ini sering juga mengalami denggi. Tetapi menurutnya, buat masa ini tiada kes denggi berlaku.


Y.B. Teo Nie Ching dalam ucapannya berterima kasih di atas jemputan Persatuan penduduk dan memuji di atas kesempurnaan yang disediakan serta dengan aktiviti yang diadakan sepanjang di bawah jawatankuasa kini. Y.B. Teo Nie Ching juga memaklumkan kepada penduduk yang mungkin sebahagian daripada mereka tidak mengetahui tentang skim-skim yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap penduduk seperti Skim Usia Emas, Jom Shopping, Tawas, Si Kembar, Air Percuma, Skim Pengantin Baru, Ibu Tunggal dan sebagainya. Beliau meminta mana-mana yang tidak menyedari dan layak diharap mendaftar di Pejabat Adun.




















Adun Bangi yang dijemput berucap dan merasmikan Mesyuarat Agung juga berterima kasih kepada Pengerusi dan AJK yang menjemput Adun ke Mesyuarat Agung dan seterusnya merasmikan mesyuarat. Adun menyebut bahawa penduduk Taman Tenaga adalah penduduk yang berada di Gerbang Hubungan ke segala tempat, kerana berada dekat dengan Hentian Kajang. Jadi Taman Tenaga terdedah kepada pemerhatian luar, sebab itu kata Adun, penduduk di Taman Tanaga yang berjumlah 1,500 orang perlu menjaga kebersihan, sebagaimana dikatakan tempat ini sering mengalami kes denggi. Tempat ini juga menjadi kediaman pelajar-pelajar antarabangsa yang tinggal di sini kerana menyambung pengajian, khususnya di UKM, ramai daripada mereka dari Asia Barat dan Utara Afrika. Surau Taman Tenaga sering dipenuhi mereka. Ini adalah baik, tetapi penduduk juga hendaklah mewar-warkan kepada mereka tentang Bangi dan Selangor yang maju. Adun berharap penduduk juga mempunyai hubungan yang baik dengan pelajar-pelajar antarabangsa berkenaan. Adun menyebut juga banyak pembangunan yang berlaku di Dun Bangi termasuk pembaikan jalan-jalan, termasuk jalan-jalan yang dibaiki dan diturap di Taman Tenaga. Adun memaklumkan sekarang jalan antara Jalan Reko ke Pekan Bangi dilebarkan dari dua lane kepada empat lane dan jalan-jalan yang bengkang-bengkok ke Pekan Bangi akan diluruskan. Jalan juga dibuat merentasi Sungai Bangi ke Seri Putra dan Bukit Mahkota yang membolehkan penduduk menggunakan jalan Kajang- Seremban (Kasih) ke Jalan Plus dan sebaliknya. Adun ucap tahniah kepada Persatuan Penduduk yang banyak menjalankan kegiatan dalam sesi pentadbirannya. Adun difahamkan mesyuarat kali ini ada pemilihan. Harap pemimpin yang dipilih meneruskan kegiatan bagi kepentingan penduduk. Adun menyebut setelah berunding dengan Y.B. Teo Nie Ching kami bersetuju memperuntukkan setiap seorang RM1,000 bagi kegiatan Persatuan. Dengan lafaz `Bismillahir Rahmanir Rahim  Adun rasmikan Mesyuarat Agung dan mendokan kepada Allah supaya semuanya berjalan dengan baik.




Oleh kerana Adun mempunyai lebihan ang pau raya Cina yang lepas, maka bagi menceriakan suasana, kami membahagikan bersama sampul-sampul duit berkenaan kepada lebih dari 50 anak-anak yang hadir. Walaupun begitu sampul berkenaan masih belum habis.

Sebelum beredar kami minum bersama hadirin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment