March 10, 2013

Lima Tahun Pakatan Rakyat Memerintah Selangor: Sambutan

-->
Shah Alam, 25 Rabiul Akhir 1434 = 08 Mac 2013 (Jumaat):

Setelah Dato` Seri Najib bertangguh-tangguh untuk membubarkan Parlimen, tempoh matang hampir lengkap. Tidak pernah dalam sejarah berlaku sedemikian. Walau bagaimana memungkinkan untuk disambut Usia Lima Tahun Pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat. Beberapa pendekatan diambil antaranya Forum Perdana, Program Mesra Bersama Penerima MES dan Majlis Kemuncak Sambutan 5 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Kesemua sambutan peringkat Negeri ini disambut di Shah Alam pada 9 Mac, kecuali Forum pada petang 8 Mac 2013 bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mulai jam 7.00 malam.


Oleh kerana ingin mengikuti Forum Perdana, maka penulis bertolak ke Shah Alam mulai jam 7.00 petang. Setelah singgah bersolat maghrib di surau diperjalanan kami tiba jam 8.00 malam dan mendapati Penceramah Bebas Terkenal Y. Bhg. Dr. Zulkifli Al-Bakri sedang menyampaikan Kuliah Maghrib Khas, di bawah tajuk:


Memahami Konsep Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur

Bagi mengisi slot masa antara waktu Maghrib dengan Isyak sebelum bermulanya Forum Pertdana Hal Ehwal Islam selepas solat Isya`. Menurut Dr. Zulkifli bagi memahaminya hendaklah berprinsipkan ayat-ayat Quran, Hadith, Perjalanan Sahabat dan Tokoh:

  • Pemimpin berlumba-lumba membuat kebajikan  (Al-Baqarah: 148)
  • Mendirikan solat dan mengeluarkan zakat (At-Taubah:18)
  • Beriman dan bertaqwa, menyuruh membuat baik dan mencegah dari membuat perkara mungkar (Ali Imran: 104).
  • Masyarakat yang berkeinsafan sebagaimana digambarkan dalam Hadith Rasulullah s.a.w. Tujuh golongan yang mendapat lindungan Allah dihari kiamat …(Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Bijaksana Contoh Perjanjian Hudaibiah oleh Rasulullah dengan pemimpin Qurasy
  • Bermodelkan pemerintahan Khalifah Umar Ibn Al-Khattab dan Umar bin Abdul Aziz
  • Pemimpin saksama, adil dan mesra rakyat
  • Mendapat keberkatan dari Allah (Al-A`raf: 96).

Jam 8.30 ketibaan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor diiringi antaranya Y.B.Dr. Ahmad Yunus Exco Perbadanan Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dato` Setiausaha Kerajaan Selangor, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Selangor Sahibus-Saadah Pengarah JAIS dan pembesar-pembesar yang lain. Mereka bersolat Isya` dengan para jamaah. Kemudian diikuti dengan forum Perdana Hal Ehwal Islam yang bertajuk: Mengangkat Martabat Ummah; Tanggungjawab siapa ?
Ahli Panel terdiri dari:

  • Y.Bhg. Dato` Dr. Harun Din
  • Y.Bhg. Dr. Zaharuddin bin Abd. Rahman
  •  Y.Bhg.Ustaz Zamri bin Haji Mohd Zainuldin

Moderator ialah Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.



Antara perkara yang ditimbulkan oleh ahli panel ialah:

  • Umat Islam sebaik-baik umat dikeluarkan bagi manusia. Kamu menyuruh membuat baik dan menegah dari perbuatan mungkar (Ali Imran: 110)
  • Bermodelkan Rasulullah sebagai uswah dan qudwah hasanah
  • Kukuhkan aqidah dan menjauhi dari sifat syirik
  • Mengangkat umat tidak lain dari menurut prinsip aturan Islam
  • Memakmurkan bumi dan kehidupan secara adil dan ihsan
  • Pentingkan pendidikan pada semua peringkat
  • Mementingkan kebajikan rakyat
  • Pengukuhan di dalam pentadbiran antara ulama` dan umara`
  • Mencontohi pemimpin-pemimpin di dalam Islam
  • Sentiasa berdoa memohon hidayah dari Allah.


Apa yang menarik begitu ramai yang hadir. Untuk mendapat tempat parking begitu sukar dan masjid penuh dengan mereka yang datang untuk mengikuti program yang berlangsung. Ramai yang datang secara berkeluarga. Mereka bagai berkelah sambil mendengar program, makan bersama keluarga di tepian. Makanan memang disediakan oleh pihak Masjid dengan agak banyak.  Difahamkan semarak pengajian memang begini secara berterusan di Masjid Negeri di sini, Al-Hamdulillah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment