BBB, 04 Jamadil Awal 1434 = 16 Mac 2013 (Sabtu):
Sebagaimana biasa pada hujung minggu Adun mempunyai program
turun padang .
Biasanya program memberat pada sebelah pagi, manakala sebelah petang menghadiri
jemputan-jemputan kahwin dan sambung pula sebelah malam menghadiri jemputan,
ceramah atau mesyuarat.
Program pada hari ini juga adalah sebagaimana biasa, namun
pagi ini semenjak subuh kedengaran alunan bacaan Al-Quran datang dari surau
berdekatan, menandakan ada ahli kariah yang meninggal. Maka bertanya-tanyalah
di kalangan ahli kariah siapa gerangan meninggal. Adun mendapat maklumat yang
meninggal ialah En. Kamaruddin seorang ahli Kariah yang tinggal di jalan berdekatan
dengan surau Al-Ittihad. Jadi sebelum ke program terawal pagi ini jam 8.30 pagi
Adun menziarahi dulu ke rumah al-Marhum En. Kamaruddin membaca Yasin, tahlil
ringkas dan berdoa dan mengucap takziah kepada balu al-Marhum yang sugul di
samping jenazah suaminya.
Bila pulang ke rumah, Adun bertanya tentang identiti Si
Mati, Isteri Adun menyebut yang mereka – suami isteri yang dalam lingkungan
umur 50an menjual nasi ayam pada pasar-pasar malam. Lantas Adun teringat dan
terbayang akan wajah al-Marhum yang setia bersama suami isteri di pasar malam
menjual nasi ayam. Mereka tidak mempunyai anak. Tertanya dalam hati, ``Apakah
Si Isteri akan meneruskan usaha mencari rezeki menjual nasi ayam ? Jika ya,
tentulah Sang Isteri meneruskan usaha mencari rezeki berseorangan dengan penuh
sayu, kerana yang selama setia berusaha bersama mencari rezeki tiada lagi.
Tentu dia lebih sayu di rumah kerana kehilangan yang tersayang.
Tengahari ketika untuk ke satu program Hari Keluarga,
saudara Azizi yang setia dan sentiasa bersama Adun ke program-program terutama
pada hari minggu seperti hari ini, menerima talifon, mulanya memaklumkan adik
iparnya dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang. Sudah berminggu masuk
hospital. Beliau dan keluarganya sering berulang alik ke Hospital. Selepas
beberapa masa, telefon memaklumkan tentang kematian adik iparnya. Adun melihat
air mata mengalir dari wajah saudara Azizi yang sempat disekanya. Adun
berunding dengan saudara Azizi untuk memaklumkan kepada Adun apabila jenazah
adik iparnya – Al-Marhum Yusri bin Yusof dibawa pulang dari Hospital Serdang ke
rumah – tidak jauh dari Surau Al-Buhairah, untuk Adun menziarahinya.
Petang itu dengan jangkaan untuk solat Asar berjamaah dan
solat Jenazah di Surau Al-Buhairah, Adun bersama isteri bertolak ke Surau
Al-Buhairah, Bukit Mahkota. Adun dapati ramai orang yang menziarah di surau.
Selepas solat Asar berjamaah kami bersolat Jenazah. Dari doa yang dibaca oleh
Imam kami memahami latar al-Marhum Encik Yusri, bahawa beliau antara jamaah
surau yang setia. Dalam keadaan uzur bertongkat beliau masih tetap datang ke
surau untuk mengikuti tazkirah.
Encik Yusri mendapat pengajian di London . Semasa di sana beliau antara pendukung utama JIM (Ikram).
Sepulang ke tanah air beliau berkerja dengan swasta dan bekerja sendiri yang
diusahakan bersama isteri. Seorang pejuang Islam yang ramai pengikut dan kawan,
baik semasa tinggal di Shah Alam, kemudian ke Johor Bharu dan kemudian kembali
ke Shah Alam sebelum menetap di Bukit Mahkota. Beliau menderita sakit buah
pinggang dan kencing manis sejak awal usia yang ketara selepas beliau pulang
dari luar Negara. Beliau meninggalkan 5 orang anak, tiga lelaki dan dua
perempuan. Beliau tidak diizinkan menunaikan haji kerana penyakitnya, tetapi dapat
menunaikan umrah. Sebagai orang kuat pergerakan Islam terutama Ikram, beliau
dikenali ramai, lantaran itu ramai yang datang menziarah beliau dari Shah Alam,
Johor, Kedah (tempat asal beliau) dan beberapa tempat yang lain. Beberapa
anaknya sudah bekerja dan berumah tangga dan seorang anaknya belajar di Mesir
yang tidak dapat pulang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Roh En. Yusri
dan juga En. Kamaruddin.
Selepas mengiringi jenazah En. Yusri ke perkuburan di Bandar
Seri Putra dan hujan semasa tahlil dibacakan, Adun dan isteri mau pulang
melalui highway Plus, tetapi kerana sukar untuk membuat pusingan, kerana banyak
kenderaan yang datang ke perkuburan, Adun ambil keputusan pulang melalui Jalan
Pekan Bangi ke Bandar Baru Bangi. Hujan yang mulai turun dikubur tadi terus
lebat dan bertambah lebat, sehingga perjalanan terpaksa diperlahankan, kerana
gangguan penglihatan oleh kerana hujan terlampau lebat. Bila hampir kampus UKM
jam lebih kurang 6.30 petang kilat dan petir berdentum. Walau bagaimana Adun
bersama isteri selamat tiba ke rumah sebelum Maghrib. Dari percakapan telefon
yang diterima isteri dari Puan Mariah Isteri Haji Roshdi Ketua Kebajikan Adun,
bahawa mereka berdua suami isteri dalam perjalanan pulang ke Kelantan – Pasir
Mas, bapa Tuan Haji Roshdi dalam keadaan kritikal – sakit tua. Puan Mariah
bertanyakan isteri Adun selaku AJK Isteri-Isteri Wakil Rakyat Pakatan Rakyat –
PEKAWANIS, tidakkah beliau dijemput sebagai AJK PEKAWANIS untuk menyampaikan
sumbangan duit PEKAWANIS di Taman Tenaga esok. Isteri Adun menjawab, tiada ada
sebarang makluman diberitahu mengenai perkara itu. Beberapa ketika selepas itu,
isteri Tuan Haji Roshdi memaklumkan kepada isteri Adun, bahawa ayah Tuan Haji
Roshdi sudah menghembuskan nafas terakhir. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.
Manakala Adun pula menerima maklumat dari saudara Abu Bakar,
bahawa seorang pelajar yang sedang menunggu peperiksaan SPM yang bermain bola
di padang
Sekolah Menengah Kajang Utama, mati dipanah petir pada petang tadi sewaktu
hujan lebat dan petir berkenaan berlaku semasa Adun pulang dari Bukit Mahkota
ke Bandar Baru Bangi.
Adun berusaha mendapat maklumat lanjut dan berjanji untuk
menziarah pada malam ini juga ke rumah pelajar yang meninggal ini – Khairul
Anwar bin Ruslan. Hingga jam 10.30 malam diberitakan mayat pelajar berkenaan
belum dapat dikeluarkan untuk di post mortom. Ketika Adun dalam perjalanan
pulang ke rumah, Adun mendapat maklumat jenazah dibawa pulang. Adun bersama
saudara Azizi berpatah balik dan pergi ke Perumahan Pangsa Citra di Kajang
Utama dan dapati jenazah belum tiba. Setelah menunggu lebih kurang setengah
jam, jenazah yang tidak perlu dipost mortom itu tiba disambut ramai yang datang
menunggu – terutama kawan-kawan Khairul Anwar. Mayat ditatang ke tingkat tiga
rumah pangsa Citra oleh kawan-kawan Khairul Anwar.
Adun memimpin bacaan tahlil ke atas roh Khairul Anwar dan
doa oleh Tuan Haji Ghazali Pengerusi Surau Al-Muhajirin. Adun juga mengucapkan
takziah kepada ibu Khairul Anwar yang merupakan ibu tunggal (ada 6 anak, empat
lelaki) –Suaminya meninggal sejak tiga tahun lalu. Beliau menyuarakan harapan
Khairul Anwar dapat dikebumikan di samping kubur ayahnya di Sungai Kantan. Esok
jenazah Khairul Anwar akan dibawa ke Surau Al-Muhajirin untuk dimandi, dikafan
dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.
Demikianlah kehidupan yang pada hari ini ditandakan dengan bukti-bukti
kefanaan yang menginsafkan, bahawa hidup adalah sementara, tiba masnya
berpulanglah kita. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka.
Sementara itu pada malam Ahad 17 Mac Adun datang
menyampaikan peruntukan bagi menyiapkan Pondok Pentadbiran sebanyak RM5,000
yang Adun janji semasa datang menyertai Hari Keluarga Perumahan Citra di sini.
Cek Adun sampaikan kepada Encik Ghazali
bin Khamis Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Citra di sini. Menurut En.
Ghazali dengan peruntukan ini insya Allah Pondok Pentadbiran dapat disiapkan.
Sebelum itu Adun dapat menghadiri sekali lagi Majlis Tahlil arwah Khairul Anwar
sebelum turun ke bawah bagi minuman Majlis Tahlil dan Penyerahan cek.
Sekian.
No comments:
Post a Comment