March 23, 2013

Membaiki Lift Rosak Di Blok A, Taman Seri Kenari - Melawat Aktiviti Gotong Royong

-->
Taman Seri Kenari, 05 Jamadil Awwal 1434 = 17 Mac 2013 (Ahad):

Masalah di Apartment Blok A, Taman Seri Kenari di sini bagi Adun dan juga Ahli Parlimen bagai tiada hujung penyelesaian. Masalah utama tiadanya pentadbiran yang mentadbir perjalanan di Blok Kediaman di sini (Blok A1, A2, A3,A4) yang berjumlah 300 unit. Tiada ditubuhkan JMB. Pernah ditubuhkan persatuan dan Pengerusi lamanya – tidak lagi menghuni di sini. Meter air di sini masih secara pukal dan berlaku tonggakan hingga mutakhir berjumlah RM22,781.00.


Masalah kritikal yang berulang apabila berlaku kerosakan pump air dan juga kerosakan lift. Oleh kerana tiada pentadbir dan tiadanya kewangan, maka kerosakan tiada dapat dibaiki. Isu menjadi besar dan diguna oleh pihak-pihak tertentu mengexploitasi keadaan. Pihak musuh politik mengambil kesempatan dari keadaan. Misalnya sudah beberapa kali berlaku kerosakan meter air dan air tiada. Lori tangki terpaksa didatangkan. Untuk membaiki tiada peruntukan. Pihak dari MPKj yang turun bersama Adun, mensyaratkan ditubuhkan JMB sebagai saluran untuk menurunkan peruntukan atau sekurang-kurangnya ditubuhkan persatuan (sudah ada tak berfungsi). Apabila keadaan kritikal, isu dimasukkan sebagai berita akhbar. Sebenarnya sudah beberapa kali isu ini dihadapi Adun dan sudah beberapa kali terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk baiki pump yang rosak, termasuk juga diambil kesempatan oleh musuh politik. Bila dibaiki keadaan kembali normal, tapi tiada jaminan keadaan normal berterusan, oleh kerana pump yang diguna satu daripada dua yang rosak dan boleh rosak bila-bila masa dan isu kembali meletup.


Isu kedua yang tidak kurang mendapat perhatian dan publisiti, ialah seringnya berlaku kerosakan lift (dua lift) – tiada maintenance. Isu menjadi besar bila pernah berlaku kematian pada tingkat tiga (lima tingkat) dan lift rosak dan mayat terpaksa diturunkan secara menjulang dari satu tingkat ke satu tingkat melalui tangga ke bawah. Ianya menjadi berita dan buah mulut. Masalah ini kembali kepada Adun dan terpaksa mengambil tindakan. Adun seolah-olah menjadi `ransom` yang terugut dengan keadaan dan tertekan dan terpaksa mengeluarkan peruntukan yang seharusnya ditanggung oleh JMB atau Persatuan Penduduk atau MPKj. Jika tidak Adun dituduh tidak mengambil perhatian terhadap penduduk dalam kawasan.

Lift yang rosak ini berlaku berulang-ulang, bila dibaiki selepas beberapa masa kembali rosak. Untuk baiki keseluruhan di luar dari kemampuan Adun. Kemampuan Adun setakat membaiki yang rosak.

Demikianlah pada hari ini (17 Mac 2013), selepas dilantik Pengerusi Sementara yang baru saudara Azman bin Abu Bakar dibantu En. Fauzi bin Hasan Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang setuju untuk turun melalui aktiviti Gotong Royong yang diadakan pada hari ini. Sebelum itu kami bersama (Adun dan Ahli Parlimen) bersetuju membaiki dan membiayai kos lift yang rosak secara bersama berjumlah RM5,000/=.Oleh kerana Adun mempunyai program sebelah pagi Y.B. Ahli Parlimen turun melawat sebelah pagi dan pada tengahari setelah selesai program tempat lain Adun pula turun melawat.


Dalam Majlis Ringkas yang dihadiri Adun, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, saudara Abu Bakar, saudara Azman Abu Bakar, saudara Fauzi bin Hasan dalam ucapan ringkas Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengharapkan Pengerusi Sementara saudara Azman Abu Bakar dan AJK dapat menjalankan kegiatan bagi kepentingan penduduk Apartment Nuri dan berusaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Pihak Adun, Ahli Parlimen, MPKj dan Ketua Kampung sedia memberi kerjasama bagi kepentingan penduduk. Penyerahan cek membaiki lift juga dilakukan atas nama Syarikat Pembaiki lift iaitu:
Jai Sree Raam Service.


Selepas penyerahan cek Adun bersama Ketua Kampung Sungai Ramal Luar dan AJK dan lain-lain membuat lawatan kawasan gotong royong. Pada masa itu pekerja-pekerja memotong pokok, membersih sampah dan mengangkat sampah ke dalam kenderaan yang disediakan. Adun hanya berharap isu di sini tidak lagi menjadi bahan yang diexploitasi dan menjadi tekanan dan bebanan Adun dari masa ke masa secara berterusan.



Sekian.

No comments:

Post a Comment