March 25, 2013

10,000 Langkah Berjalan - Program Surau Al-Kauthar Galak Jaga Kesihatan

-->
Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, BBB, 12 Jamadil Awwal 1434 = 24 Mac 2013 (Ahad):


Walaupun dalam program, Adun adalah merupakan Perasmi bagi Program Masjid Sejahtera Berjalan 10,000 langkah, pada hakikatnya Adun adalah peserta yang terlibat di dalam program yang diaturkan. Adun dijemput jam 8.30 pagi untuk perasmian. Adun memaklumkan saudara Azizi untuk datang bersendirian dan Adun juga datang secara bersendirian dari rumah ke Surau Al-Kauthar. Adun tiba sedikit awal, lebih awal sedikit dari saudara Azizi untuk merakamkan gambar. Pada masa ketibaan Adun, senam robit sedang giat berjalan. Peserta-peserta – lelaki perempuan berasingan, memakai baju kuning khas dan berseluar track suit. Sedang Adun memakai seluar hitam biasa, berkasut kulit lembut biasa,  tetapi baju juga kuning, berjenama lain. Adun masuk ke dalam kumpulan senam robik lelaki dan mengikut gerak senaman berdasarkan gerak senaman instructor di atas pentas disertai bunyi muzik. Jadi Adun dapat mengikuti separuh (15 minit) daripada senam robik sepenuh (8.00 – 8.30 pagi) yang mulai memanaskan badan.


Mulai jam 8.30 pagi sebagaimana dijadualkan Majlis Perasmian bermula dengan peserta termasuk Adun berdiri, turut berdiri Tuan Haji Nazri Pengerusi Surau Al-Kauthar, Tuan Haji Zulkifli Timbalan Pengerusi, Ustaz Shafie Ngah yang singgah dengan pasukan berbasikalnya, Dr. Azariah dan Salwani Penasihat Kegiatan Kesihatan Daerah, Datuk Abdul Karim Ketua Persatuan Penduduk Seksyen 4, peserta-peserta lelaki perempuan yang berjumlah lebih dari 100 orang (jumlah 100 baju kuning disediakan kepada setiap peserta, tetapi tidak cukup. Sudah habis masa Adun tiba).



Majlis tertumpu ke pentas apabila pengerusi naik ke pentas memulakan percakapan dan menjemput Ustaz Abdul Shukur Othman untuk membaca doa, sedang peserta berterabur di dataran Surau dan di bawah khemah. Selepas doa dibacakan Pengerusi Majlis menjemput Tuan Haji Nazri untuk menyampaikan ucapan. Tuan Haji Nazri memaklumkan bahawa Program Masjid Sejahtera adalah penerusan dari program-program yang lepas yang kali ini adalah merupakan kali ketiga seumpamanya. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Penasihat Kesihatan Dr. Azariah dan Dr. Salwani dari Pejabat Kesihatan Daerah yang mencadangkan Program Berjalan pada hari ini yang perlu diamalkan umpamanya selang seminggu. Menurut Tuan Haji Nazri namun program hari ini tidak sampai 10,000 langkah yang menyamai  perjalanan sejauh 3 km. – akan disambung akan datang. Beliau juga berterima kasih kepada pihak-pihak yang sponsor keperluan-keperluan termasuklah makanan dan peralatan.



Adun Bangi dalam ucapan perasmian berterima kasih di atas jemputan. Adun berkata, ``Saya turut mengikuti senaman robik, tapi tak lengkap, hanya separuh, tapi cukup untuk memanaskan badan dan akan ditambah bila berjalan nanti.`` Adun menekankan bahawa exercise secara regular amat penting bagi menggerakkan seluruh anggota dan melancarkan perjalanan darah serta mengurangkan lemak. Ia ibarat enjin kereta, kalau tidak dihidupkan boleh rosak. Senaman lebih baik daripada mengamalkan makan pil tambahan makanan, kerana pil boleh mendatangkan side effect jika diamalkan berterusan, manakala dengan senaman adalah merupakan terapi anggota secara normal yang mencergaskan.  Adun menambahkan ungkapan, bahawa ``Akal yang sempurna bergantung pada kesihatan tubuh badan yang sempurna.`` Secara bergurau Adun menyebutkan bahawa pentas yang Adun berada yang antaranya Adun turut menyumbangkan peruntukan membinanya, amat bermanfaat, termasuk fungsinya sebagaimana hari ini. Ada antara hadirin menyebut, ``Perlu bahagian atap menggantikan khemah.`` Ada yang menambah ``Dapat betis mau peha`` ditambah dengan ketawa. Adun menjawab, ``Tengoklah jika ada rezeki masa hadapan.`` Berikut dari itu Adun melafazkan Bismillahir Rahmanir Rahim merasmikan:


Program Masjid Sejahtera – Berjalan 10,000 langkah

Dengan mendoakan kepada Allah memberi kesejahteraan kepada kita, anak-anak dan keluarga kita dan kepada semua.

Selepas daripada itu Adun turun dari pentas diiringi  Tuan Haji Nazri dan lain-lainke jalan keluar untuk memulai langkah permulaan bagi 10,000 langkah dengan memotong reben sebagai permulaan perjalanan. Sebelum daripada itu peserta diberi penerangan seharusnya melalui check-check point bagi membuktikan laluan yang diikuti (3 check point). Perjalanan adalah merupakan round secara bulat melalui jalan taman-taman mulai dari kiri dan round ke kanan hingga kembali ke Dataran Surau. Adun juga sertai perjalanan yang memakan masa kurang dari satu jam, tetapi cukup memenatkan, oleh kerana sudah lama tidak berjalan sedemikian.
















Setelah semua peserta pulang ke Dataran Surau, pengumuman pemenang-pemenang dibuat dan hadiah-hadiah disampaikan oleh Adun. Hadiah-hadiah penghargaan turut juga disampaikan oleh Tuan Haji Nazri Pengerusi Surau kepada yang berkenaan. Program dapat menceriakan peserta di samping meningkatkan tahap kesihatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment